Ramadan sering membawa kita kembali mengimbau kenangan lama. Saat berbuka puasa bersama keluarga dan sahabat handai menjadi detik yang paling dirindui, terutama apabila meja dipenuhi hidangan yang membangkitkan nostalgia rasa kampung halaman.
Mengambil semangat itu, Concorde Hotel Shah Alam menghidupkan kembali kenangan tersebut menerusi bufet Ramadan bertemakan ‘Jelajah Rasa Warisan’. Bufet istimewa ini berlangsung dari 19 Februari hingga 20 Mac di restoran utama hotel itu, Melting Pot Café.
Sebaik melangkah masuk ke ruang restoran, pengunjung akan disambut aroma masakan tradisional yang memikat selera. Dari dapur terbuka hingga ke meja hidangan, cef-cef hotel mempersembahkan pelbagai sajian Melayu klasik yang dimasak dengan penuh teliti.
Bufet ini menampilkan empat set menu berbeza yang disajikan secara berselang hari. Pendekatan ini memberi peluang kepada tetamu menikmati variasi hidangan yang sentiasa berubah, menjadikan setiap kunjungan satu pengalaman rasa yang baharu.
Menurut Cef Eksekutif, Alham Ahmad Daldiri, sebanyak 160 jenis hidangan digabungkan bagi mencipta pengalaman berbuka yang lengkap. Katanya, setiap menu dirancang untuk bukan sahaja mengenyangkan, tetapi juga meninggalkan kenangan manis buat para tetamu.
“Setiap tahun, antara tarikan utama di sini ialah aneka sup yang dimasak dalam periuk besar. Kita hidangkan sup ayam, sup kambing dan sup daging yang menjadi kegemaran ramai,” katanya.
Beliau berkata, setiap hidangan disediakan dengan perhatian teliti terhadap rasa, bahan dan kaedah memasak. Usaha itu penting bagi memastikan kualiti sajian kekal konsisten sepanjang Ramadan.
Pengurus Besar hotel, Felix Yeo berkata, tetamu turut boleh menikmati pelbagai hidangan popular seperti kambing panggang, tiga jenis bubur lambuk, kerabu perut lembu pedas, lemang dan ketupat. Tidak ketinggalan, udang masak lemak rebung, aneka mi, hidangan goreng panas serta pelbagai menu lain yang menggamit selera.
Bagi melengkapkan pengalaman berbuka, pengunjung boleh memilih minuman kegemaran ramai seperti air bandung, air cincau dan air tebu. Teh tarik istimewa hotel yang terkenal dengan rasa pekat dan berkrim turut menjadi pilihan ramai pengunjung.
Bufet Jelajah Rasa Warisan ditawarkan pada harga RM155 bersih bagi dewasa, RM115 bagi warga emas dan RM85 bagi kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun. Terdapat juga harga promosi pada empat hari pertama Ramadan serta tiga hari terakhir menjelang Syawal, selain kemudahan solat tarawih, kaunter zakat fitrah dan pakej penginapan khas yang menjadikan pengalaman Ramadan di sini lebih lengkap dan bermakna.










