Ramai kawan-kawan memuji kecantikan saya dan mengaitkannya dengan genetik emak. Tentu emak juga cantik dan putih gebu, tebak mereka. Saya tersengih seperti biasa menampakkan barisan gigi yang putih bersih. Bukan hanya di kampus, sejak di sekolah rendah lagi, pujian ini sering menjadi makanan saya.
Cikgu-cikgu yang belum mengenali emak turut berkata begitu. Tetapi sebaik saja emak hadir mengambil buku rekod di sekolah, mereka menukar pernyataan. Genetik ayah pula yang dijulang-julang.
Mereka belum pernah melihat ayah yang memang tampan, berhidung mancung dan berkulit cerah. Dahinya agak luas, keningnya hitam lebat dengan sepasang mata menawan yang berubah agak sepet apabila ayah tersenyum lebar. Pendek kata, fizikal ayah dan emak saling tidak sepadan.
Tetapi itu dari sudut mata orang, bukannya pandangan ayah terhadap emak. Tidak keterlaluan saya katakan, ayah sangat menyayangi dan menghormati emak bersandarkan layanannya terhadap emak. Pada ayah, emak terlalu istimewa.
Saya tidak mengerti sebabnya. Emak cuma seorang surirumah dan belajar juga tidak tinggi. Emak tidak pandai berbahasa Inggeris setiap kali saya bertanyakan kerja sekolah.
Adakala, saya mengadu kepada ayah kerana emak tidak mampu membimbing pelajaran saya di rumah, tetapi ayah akan segera meminta maaf kepada saya kerana banyak masanya terisi dengan kerja. Tidak pernah sekali pun ayah merendah-rendahkan emak, apatah lagi memarahinya kerana tidak berupaya membantu saya.
Banyak hal yang mendorong pandangan rendah saya terhadap emak terutama jurang pendidikan yang semakin menjarakkan kami. Sebenarnya saya malu mengakui kepada teman-teman sekampus bahawa pekerjaan emak cuma mengurus rumah tangga, tidak seperti emak mereka yang kebanyakannya berkerjaya hebat dan menjadi role model kepada keluarga.
Saya mengimpikan emak saya seorang doktor pakar yang tugasnya paling getir, menyelamatkan nyawa manusia. Tentu saya amat mengagumi jasa bakti emak yang begitu besar terhadap masyarakat.
Atau emak menjadi peguam yang memperjuangkan kebenaran. Kehebatan emak berhujah di mahkamah mematahkan kebatilan pasti memberi semangat luar biasa untuk saya lebih berjaya.
Seronok juga jika emak bergelar pensyarah, mencurah bakti memandaikan masyarakat. Bukankah besar jasa emak kerana di tangannya lahir segala macam tenaga profesional. Pasti saya amat berbangga dan akan menjadikan emak sebagai idola.
Malangnya, impian itu tidak akan tercapai. Emak cuma terpuruk di rumah menjalani hidupnya yang biasa. Tiada apa-apa yang boleh saya banggakan daripada emak, berbanding ayah berkerjaya hebat, selain penampilannya yang berkarisma.
Bagai langit dengan bumi, begitulah perbezaan di antara mereka berdua, tetapi ayah yang pengasih dan setia tidak pernah menjadikan itu sebagai jurang pemisah. Lembut ayah bercakap dengan emak dan sering juga mereka bergurau senda. Ayah memang pandai membuat emak riang tertawa.
Cuti semester menjelang tiba dan seawalnya lagi saya sudah meminta keizinan ayah untuk menyertai program pertukaran pelajar di universiti luar negara tetapi permintaan saya ditolak ayah. Saya tahu ayah mampu menyediakan biayanya.
“Pulanglah…teman emak. Emak pun tak berapa sihat,” pujuk ayah. Seperti selalu, pujukan ayah sering membuatkan saya mudah mengalah.
Emak dan saya baru pulang daripada berbelanja keperluan dapur di pasar raya. Terlanjur berjanji kepada ayah, maka saya meringankan tulang membantu emak mengemaskan barang-barang yang banyak dibeli tadi. Daripada sebuah troli, bertambah menjadi dua. Kata emak, persediaan untuk menyambut bulan puasa.
“Kita bertiga saja. Banyak sangat mak beli ini,” rungut saya. “Macam nak buat kenduri!”
Entah apa ada dalam fikiran emak, saya tidak tahu. Lauk-pauk sudah dihimpunkan di dalam besen besar. Saya mengasingkan pula sayur-sayuran yang hendak dipotong sebelum menyusun barang-barang kering.
“Apa salahnya masak lebih? Boleh sedekah pada jiran-jiran,” jawab emak.
“Assalamualaikum mak cik. Mak nak minta beras secupak, boleh? Sejak semalam kami belum makan nasi, cuma ubi rebus.”
Anak jiran sebelah, dengan riak dukacita, merengek di muka pintu dapur yang luas terbuka. Saya yang betul-betul duduk mengadap pintu berasa terkejut dengan kemunculannya yang tiba-tiba.
Rumah kami rumah kampung yang dibina agak luas kerana kemampuan ayah yang berjawatan besar. Ayah memang sukakan suasana kampung yang disegarkan pohon-pohon hijau, berbanding rumah taman yang banyak berasaskan batu-batuan. Kerana rumah itu besar, mungkin orang kampung mengagak ayah orang berada.
“La.. kenapa tak datang semalam? Beri sini mangkuk itu.”
Emak mencedok bukan secupak tetapi empat cupak beras yang menyebabkan saya mengerutkan dahi. Melihat wajah anak itu yang bersungguh-sungguh menagih simpati emak, saya yakin dia sering ke sini meminta-minta. Emak memang begitu, amat mudah bersimpati.
Tiba-tiba saya berasa marah kerana memikirkan emak sepatutnya meminta kebenaran ayah terlebih dahulu.
“Nanti minta emak berikan mak cik sesudu garam, boleh?”
Anak itu dengan pantas mengangguk seraya menyambut mangkuk yang berat isinya. Senyumannya lebar dan sepasang matanya melimpahkan kelegaan.
Emak melakukan sistem barter? Tetapi…berat sebelah. Langsung tidak sebanding nilai barang yang ditukar! Emak tentu maklum akan harga beras yang mencanak naik sekarang.
Eh.. garam? Dengan pantas saya menarik keluar bungkusan garam dari dalam plastik. Tidak mungkin emak terlupa dia baru saja membelinya tadi.
Sebaik sahaja anak itu berlalu, saya bertanya emak. “Kita dah beli dua bungkus garam, mak tak ingat?”
Kata-kata ayah tentang kesihatan emak mengganggu saya. Saya bimbang emak mengidap simptom dementia, kondisi yang berkait dengan penurunan fungsi otak mengingat, berfikir dan sebagainya. Salah saya juga tidak bertanya lebih lanjut tentang kesihatan emak yang ayah maksudkan. Mungkin didesak kekecewaan kerana permintaan saya tidak ditunaikan, maka saya mengambil remeh hal tersebut.
Emak tersenyum. “Bukan mak lupa.”
Tangan emak seperti lipas kudung menyambung kerja menyiang empat ekor ayam di sinki. Saya dijerut rasa bersalah kerana tidak begitu mengambil berat tentang emak. Bukan saya tidak kasihkan emak. Bukan!
“Mak cuma tak mahu jiran kita berasa rendah diri terpaksa bergantung kepada kita. Biarlah dia pun dapat memberi apa yang kita perlu. Kalau tak ada garam, mak akan minta ulam-ulaman yang banyak di tanamnya. Itu yang dia mampu.”
Saya terhenyak dengan kata-kata emak. Daripada mana emak belajar? Kisah begini sering saya baca dalam buku-buku berkaitan falsafah hidup dan saya begitu yakin, emak tidak membacanya.
Belum pernah pula saya mempraktikkan segala yang saya baca. Bukan tiada rakan sekuliah saya yang terjerut hidupnya begini. Pernah beberapa kali saya melihatnya cuma makan nasi bersama sayur tanpa lauk. Saya tahu dia bukan pengamal vegetarian, tetapi malangnya saya tidak pernah bertanyakan kesulitan yang dilaluinya itu. Mudah kata, saya sengaja tidak mengambil tahu dengan alasan hanya mahu menjaga tepi kain sendiri. Teruk betul saya rasa!
Sepanjang hari ini saya cuba mengingat semula segala yang emak lakukan sepanjang membesarkan saya, anak tunggalnya. Emak yang menguruskan semua keperluan saya yang tidak dapat dipenuhi ayah yang sering sibuk. Emak yang mendidik dan meluruskan langkah saya agar tidak tersasar daripada landasan iman.
Emak yang sentiasa beralah dengan tingkah kurang sopan saya terhadapnya. Emak yang hanya pandai tersenyum setiap kali saya menghiris perasaannya. Dahulu saya menyangka kerana emak kurang terpelajar, maka emak berkelakuan begitu. Ternyata saya tersilap!
Emak dengan jayanya menguasai ilmu parenting dan falsafah yang saya bertungkus lumus mempelajarinya di kampus. Malah, emak mempraktikkannya secara konsisten dan sangat berkesan. Maka, yang sebenarnya lemah dan bodoh itu adalah saya. Saya yang sombong dan berasa diri lebih baik daripada emak yang telah membesarkan saya dengan setulus jiwa.
Begitu luruh hati saya mengenangkan semua perlakuan kasar saya terhadap emak. Banyak juga yang terselindung dalam hati dan itu lebih membuat saya berasa berdosa. Saya yang tidak tahu bersyukur memiliki emak sebaik itu. Emak yang sentiasa ada dan memberikan sokongan sepenuh jiwa untuk saya lebih berjaya daripadanya. Juga emak yang sabar meluruskan saya dengan hikmah.
Saya mengaku, saya telah dibutakan kesombongan. Sedangkan ilmu itu cahaya, sepatutnya saya dipimpin kepada kebenaran. Syukur Tuhan masih sayang dan mahu menyedarkan saya sekarang.
Usai menunaikan solat Isyak berjemaah, dengan sesungguhnya saya meminta maaf dan mendakap emak penuh kasih. Benar-benar saya menyesali perbuatan saya yang tidak sepatutnya dilakukan seorang anak kepada ibunya.
Emak telah lebih dahulu memaafkan semuanya dan emak juga sentiasa mendoakan kebaikan sepanjang hidup saya di dunia hinggalah ke akhirat sana. Hati emak benar-benar putih bersih dan saya berasa sangat beruntung emak menjadi cahaya memandu hidup saya.
Belum habis saya melempiaskan kekesalan, telefon tangan emak nyaring menjerit. Emak bingkas mencapainya dan saya mengerling jam di dinding. Ayah masih belum pulang.
“Innalillahiwainnailaihiroji’un..”
Mata emak yang tadi basah kian deras mengalirkan air mata. Saya cemas melihatnya dan mendesak emak memberitahu khabar yang menghiriskan kepedihan itu.
“Ayah kemalangan..”
Lidah saya serta-merta kelu. Dunia terasa ligat berputar-putar. Terasa saya hendak menekup telinga dan menolak untuk mendengar butir bicara emak seterusnya. Saya langsung tidak bersedia dan saya tidak mahu bersedia.
“Ayah…dah kembali kepada Pencipta-Nya” Tutur emak tersusun biarpun saya tahu, emak yang paling terluka.
Saya pula hampir pengsan. Tiba-tiba pesan ayah menyuruh pulang dan membantu emak terngiang-ngiang di telinga. Saya sedar ayah cuma beralasan emak kurang sihat kerana ayah mahu saya berada di sisi emak pada saat paling getir ini. – Mingguan Malaysia