JAM 4 pagi. Berteman kedap bilik bujang yang selalu menyempit fikiran, saya buku membaca Hadi Jaafar. Katanya dalam sajak Ode Kepada Penyair:
“Untuk sajak-sajakmu yang selalu memancur hangat di malam-malam matiku yang dingin, terima kasih. / Untuk sajak-sajakmu yang selalu melantarkan jalan pulang tika aku tersesat dalam kabut kesenduan, terima kasih. / Untuk sajak-sajakmu yang menusuk masuk sebegitu lembut dan keras pula mengasak jiwaku, terima kasih.”
Para penggemar buku dan sastera (dan sebenarnya seni-seni lain juga) berkongsi satu alasan untuk gemar pada seni-seni itu. Tiada bukti empirikal tapi saya yakin. Saya beriman dengan penyataan di bawah ini.
Kita gemar, malah sayang, cinta dan kerap rindu pada sajak, novel, cerpen, lagu, filem, lukisan dan buku kerana ada detik, mungkin banyak detik, karya seni itu membantu kita menghadapi liuk liku hidup yang mencabar, yang menyakitkan, yang merapuhkan, yang membenam kita sampai ke mantel bumi.
Ada masa kita rasa keseorangan. Tiada kawan, saudara atau keluarga yang dapat faham ujian yang dikurnia Tuhan tetapi entah bagaimana, jarum halus sajak, contohnya, dapat menembus masuk menemui hati. Benang rima, metafora, struktur, bentuk dan makna menyusul sama, menjahit luka yang kita fikir tak ada ubat dapat menyembuh.
Hadi Jaafar menzahirkan perasaan itu dengan baik. Sajak jadi haba hangat di malam dingin. Sajak jadi kompas saat sesat sendu. Sajak menusuk serentak lembut dan keras mengasak jiwa. Lalu dia berterima kasih.
Aksi-reaksi susastera
Setiap detik, ada karya seni terlahir di dunia. Jumlahnya banyak – kalau mahu negatifkan konotasinya, kita sebut melambak. Tapi cukupkah hanya dengan kelahiran karya yang banyak dan melambak?
Editor Dewan Sastera, Fadli Al-Akiti dalam balasannya kepada Jack Malik di Facebook berkata, karya yang banyak atau melambak tidak negatif. Yang negatifnya adalah apabila karya terbiar tidak dibicara.
Saya setuju. Sastera (dan seni lain), seperti hidupan lain di muka bumi, membesar dan berkembang melalui interaksi. Aksi dan reaksi. Karya yang terbiar tak dibicara akan cepat bertemu ajal.
Sebab itu, bicara tentang karya itu penting.
Bukan tak ada apa-apa acara atau usaha untuk membincangkan karya seni, khususnya sastera. Ada sahaja. Digerakkan oleh persatuan, kolektif, orang perseorangan atau mahasiswa.
Cuma mungkin, gerakannya yang menjalar di tanah orang kebanyakan tidak dapat dihidu mereka yang tinggi dijulang gelar. Mungkin sebab itu, Dr. Aminudin Mansor atau Ami Masra menulis esei di portal Dewan Sastera, lalu mencetuskan sedikit polemik.
Itu natijahnya apabila gerakan tanpa persatuan berbuat sesuatu tanpa menumpang nama-nama besar sastera. Usahanya dilihat terlalu kecil sampai tak diperasan langsung. Atau ini masalah elit sastera yang rabun dan tak mahu ambil tahu?
Oh, ranah sastera juga ada elit?
Perkumpulan
manusia buku
Aksi Ami Masra mencetuskan reaksi, lalu terbukalah ruang untuk saya menghebahkan tentang sebuah kolektif yang semakin hari semakin dekat di raga saya. Namanya Kultus Kata.
Harapannya, dengan tersiar hebahan ini di akhbar mingguan bahasa Melayu paling laris, bau segar cinta buku Kultus Kata dapat dihidu mereka yang risau sastera dan buku sudah hilang peminat.
Kultus Kata merupakan sebuah perkumpulan manusia pencinta buku. Sejak Januari tahun lalu, perkumpulan yang digerakkan Fazleena dan Maizatul Akma (dengan sokongan beberapa ahli) itu konsisten mengadakan sesi perbincangan buku setiap bulan.
Setiap bulan, diusahakan aktiviti berbual tentang buku yang pelbagai genre, jenis, bidang dan penerbitan di lokasi berbeza.
Saya perhatikan, Kultus Kata bergerak dengan dua pendekatan utama: demokratik dan kekeluargaan. Para penggerak utamanya tidak membiarkan kecenderungan peribadi terlalu mendominasi pilihan buku atau penerbit yang mahu dibincang.
Sebab itu perbincangannya ada kepelbagaian, tidak tertumpu kepada genre sastera popular. Buku muzik, kanak-kanak, politik, novel fantasi, noir, semuanya ada dibincang dalam acara bulanan mereka.
Yang lebih menyenangkan, Kultus Kata dikendali seperti perjumpaan keluarga. Beberapa kali, perjumpaan diisi dengan berkongsi makan, bertanya khabar, berkenal-kenal sesama ahli.
Ini nilai besar Kultus Kata sebab melaluinya, ramai peminat buku yang lebih suka diam apabila bertentang mata dengan manusia lain jadi selesa untuk ikut serta. Tak ramai ahli Kultus Kata yang lantang dalam media sosial atau terkenal dalam ranah sastera dan buku.
Mereka pembaca senyap yang tidak mahu menonjol tetapi selesa bersuara dalam bulatan kecil Kultus Kata. Ini hasil suntikan kekeluargaan yang saya fikir, menjadi tiang seri kewujudan kolektif itu.
Senyap-senyap menyebar benih
Ketika sasterawan-akademia menulis esei mendakwa masyarakat tak peduli sastera, ahli Kultus Kata tersenyum mengenangkan kekayaan rasa dendeng bawaan Airul Affendi Ali dalam pertemuan terakhirnya bulan lepas.
Dan dalam menara buku di bilik kedap ini, terlentang dua buku dari aktiviti pertukaran buku dalam acara sama.
Kadang-kadang, lontaran pandangan boleh jadi jengkel, terutamanya kalau ia dibuat dengan separuh masak. Yang sukar jadi jengkel ialah tindakan, lebih-lebih lagi tindakan bermanfaat yang tidak dihebah-hebah jasanya.
Bagi saya, itu yang dibuat Kultus Kata. Kolektif itu sedang menyebar benih cinta buku kepada masyarakat. Jumlah yang ikut serta tidak ramai tapi sedikit demi sedikit, kolektif itu menghidupkan penghargaan karya dengan cara sendiri.
Kultus Kata, selama lebih setahun, sedang menghela setiap patah kata Ode Untuk Penyair lalu dihembus menjadi bulatan kecil bual buku. Meski kecil, sekurang-kurangnya karya yang melambak tidak terbiar tidak dibicara.
Inilah penzahiran terima kasih terulung daripada pembaca kepada penulis. Kepada sajak, cerpen, novel dan sebarang bentuk penulisan yang menjadi teman dalam detik-detik gelap.
Inilah interaksi aksi dan reaksi yang kita perlu. – UTUSAN










