Mendengar novel-novel Andrea Hirata diterjemahkan ke lebih 40 bahasa dunia, termasuk kumpulan cerpen dan penulisan nonkreatif beliau tentulah sesuatu yang sangat mengujakan.., tetapi apakah nasib sastera Melayu kita
Demikian, kita pernah mendengar bagaimana pengarang muda Wei Hui yang menghasilkan novel Shanghai Baby (2001), sepantas kilat diterjemah ke puluhan bahasa utama dunia juga, menjadi bacaan pilihan di banyak tempat di dunia, berita ini sangat menjentik iri.
Karya sastera kita, dengan maaf, umumnya berlegar di sekitar pembaca tempatan, dengan sedikit menjalar ke luar mungkin ke wilayah nusantara, yang berjiranan. Novel SN A. Samad Said
Salina pernah terjual dengan sangat meriahnya di China setelah diterjemahkan ke Bahasa China. Begitu, beberapa novel sasterawan kita yang diterjemahkan ke bahasa lain, sudah tentu mendatangkan keterujaan yang besar untuk melihat sastera Malaysia dikenali bahkan berkembang di dunia juga.
Dengan hadirnya buku-buku kita di merata-rata tempat, sudah pasti akan terbitlah rencana susulan; ilmiah mahupun semiilmiah memperkatakannya. Selain, ia diperkatakan dalam sesi diskusi dan resensi di media.
Jika sastera kita sudah mencapai tahap perkembangan seumpama sedemikian, sastera kita jelas telah masuk ke arena antarabangsa serta pengarang dan sasterawan kita bukan sahaja dikenali malahan pemikiran mereka juga dihadam serta diapresiasi.
Pengarang dan sastera kita memainkan peranan serta memberi sumbangan. Laskar Pelangi (2005) Andrea Hirata menjadi contoh besar bagaimana dunia menginginkan karya yang dibungkus kemanusiaan yang besar seperti ini.
Kita pernah memiliki Ranjau Sepanjang Jalan (1966) Shahnon Ahmad yang kemudian diterjemahkan (Adibah Amin, 2018) dengan penuh bergaya. Kita juga pernah memiliki Menyeberang Sempadan (2012) Anwar Ridhwan edisi terjamahannya. Serta, beberapa lagi yang meninggalkan impak membanggakan.
Akan tetapi, cukupkah kita dengan jumlah atau bilangan yang sedemikian?
Untuk meletakkan sastera kita dengan lebih jauh ke arena antarabangsa, sudah tentu memerlukan gerak kerja yang tidak terbatas besarnya. Ia tidak mungkin boleh berlaku dengan secara alamiah dan seada-adannya.
Dalam dunia yang segala-galanya memerlukan perancangan yang rapi dan teliti, penggunaan khidmat ejen tidak terelakkan lagi. Penggunaan khidmat ejen akan mempercepat tersebarnya karya ke peringkat yang lebih tinggi serta sebaran ke rantau yang lebih luas.
Sudah tentu ia akan memakan belanja. Saya teringat bagaimana pengalaman negara yang menggunakan khidmat ejen dalam penjualan hakcipta buku di Frankfurt dengan jayanya. Ternyata, ejen bekerja keras. Daripada 13 judul buku kulinari Korea, 12 terjual dengan amat larisnya.
Penggunaan ejen juga meletakkan nama pengarang pantas dikenali. Menjadi pengarang ini dikenali bukan langkah palsu ejen, ia benar dan dilakukan dengan cara yang benar. Apakah bersalah andai ejen memperkenalkan karya SN Anwar Ridhwan ke serata tempat di dunia kerana kita di sini pun ketahui karya-karya beliau hebat dan diterima. Demikian, negara-nengara lain tidak terkecuali Indonesia dan Thailand melaksanakannya.
Kita ada banyak pengarang yang harus dibawa ke arena antarabangsa karya-karya mereka. Penerbit yang bertanggungjawab dan serius boleh menamakan pengarang dan sasterawan mereka.
Penerbit sama-sama menanggung biaya khidmat ejen yang tentunya akan lebih mempunyai kepakaran serta tahu apakah tugas mereka.
Pengarang-pengarang baharu kita muncul dengan penuh bergaya di ranah sastera tanah air. Setiapnya dengan gaya penulisan terkini yang segar dan sedang digemari di dunia. Karya ini apakah tidak boleh menerobos masuk arena antarabangsa jika tepat cara atau kaedahnya sebagai Wei Hui melalui Shanghai Baby di usia 25 tahun dikenali serta karya dicari di seluruh dunia!
Persatuan Penulis Nasional Malaysia ringkasnya PENA baru sahaja diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bidang kesenian yang seharusnya sama-sama kita banggakan. PENA benar berperanan besar di dalam negara, akan tetapi melalui pengiktirafan ini nama PENA sudah besar di peringkat antarabangsa.

Dengan yang demikian, PENA pastinya wajar merebut peluang yang luas terbuka ini dalam memainkan peranan bagi memperkenalkan lebih banyak karya Malaysia ke serata pelosok dunia, atau bermula beberapa negara yang berpotensi menggemari hasil kesusasteraan pengarang dan sasterawan kita. PENA tentu ada kekuatannya.
Penerbitan 100 karya dalam gerak kerja terkininya, PENA-MADANI sesuatu yang sangat membanggakan. PENA ada pasukannya yang kuat bahkan sangat berpengalaman dalam bidang ini.
Menerbitkan 100 judul dengan satu siri jerayawara panjang di seluruh negara untuk memperoleh manuskrip bukanlah calang-calang, manakala tenaga kerja PENA yang dinamik mempunyai rantaian hubungan antarabangsa yang sudah dikenalpasti.
Tidak mustahil daripada 100 judul akan muncul banyak yang sesuai diterjemahkan ke bahasa yang bersesuaian pula dengan andaian khalayak yang menghekendakinya sebagai bacaan serta menjadi data kajian, terutama penuntut institusi pengajian tinggi luar negara dalam menghasilkan disertasi mereka, atau menghasilkan makalah di jurnal-jurnal.
Apa yang perlu ialah sebaran yang luas tanpa sempadan. Ketika dunia terbuka dengan luas pemasaran bukan soal lagi. PENA boleh mengatur susun langkah mereka setelah lama berjasa kepada penulis dan persuratan tanah air. Anjakan ini perlu.
Kerjasama penerbitan juga satu lagi peluang yang wajar difikirkan. Sudah tentu mereka yang berada dalam dunia dagang akan lebih memahaminya. Kerjasama bahkan menjadi sangat penting apabila buku-buku turut diterbitkan rakan di peringkat setempat; dengan memahamai selera pembaca tempatan, kesesuaian karya dan kredibiliti pengarang, genre dan sebagainya menjadi asas yang diutamakan.
Saya mendapat faham bahawa FIXI antara lain mempunyai kekuatan ini. Buku FIXI diterbitkan di United Kingdon jika tidak salah saya, membuktikan penerbit tempatan berkeupayaan menjalarkan ruang di dunia yang sedia memberinya impak yang besar.
Keupayaan-keupayaan seperti ini bukan sahaja memerlukan pengorbanan sementelah dunia dagang juga harus disimpati akan untung ruginya pula. Dana yang berpatutnya mungkin elok difikirkan. Jika dana untuk PENA menerbitkan buku yang sedemikian wajar demi literasi dan mempersegar budaya membaca bangsa, peruntukan menterjemah dan bekerjasama secara inprint itu juga bukan sedikit. Bersendirian sudah tentu membebankan organisasi, bahkan rakan-rakan penerbit kita yang kerap berhempas pulas dengan risiko.
Kita memerlukan percambahan fikiran yang luar biasa. Abaikan pandangan yang meremehkan bahawa karya kita hanya mewangi di kampung halaman sendiri dan tidak mungkin pergi jauh daripada ini. Sastera Malaysia mampu menjelajah dunia.
Persuratan bangsa kita pernah besar. Karya kita dahulu telah banyak dilarikan orang untuk menggeledah ilmu serta pemikiran dalam peradaban dan tamadun kita yang hebat. Karya sastera kita yang ada sekarang pun bukan calang-calang. Kita memerlukan satu titik keberanian yang lain jika kita mahu melihat sastera kita kukuh serta berjenama sebagaimana karya oleh pengarang timur yang lain seumpama Jepun (sekarang sedang meriah oleh karya-karya Haruki Murakami), dan tidak terkecuali China juga.
Kita tidak lebih rendah daripada itu jika benar kita ada keazaman! – UTUSAN
DATUK Dr. Lim Swee Tin ialah penerima S. E, A Write Award pada 2000.










