Tok Janggut wajar ke layar perak

Tok Janggut wajar ke layar perak

HILAL Azman mengakui tanggungjawab besar terpaksa digalas semasa melakonkan watak sebagai Tok Janggut semasa Teater Tok Janggut 13 Liang di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEATER Tok Janggut 13 Liang adalah wadah tepat untuk menyatakan kisah perjuangan Haji Hassan Panglima Mat Munas membela kedaulatan agama, bangsa dan tanah air suatu ketika dahulu, layak diangkat ke layar perak.

Naskhah diadaptasi dari novel Perwira, karya agung Sasterawan Negara, Allahyarham S. Othman Kelantan itu bukan hanya sarat dengan semangat patriotisme dan mesej perjuangan bangsa, malah mendedahkan komplot politik jahat penjajah bersama tali barutnya yang jarang sekali didedahkan.

Kesemua elemen yang mewarnai hitam putih kehidupan rakyat Kelantan pada awal abad ke-20 itu digarap dengan baik oleh pengarah teater, Jihan Meghaa Ismail melalui plot penceritaan ringkas dan mudah difahami khalayak penonton.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd. Amran Mohd. Haris secara terbuka bersetuju kisah perjuangan Tok Janggut sudah layak untuk diangkat ke layar perak.

“Pementasan teater Tok Janggut 13 Liang ini mungkin boleh menjadi cetusan ke arah itu. Andai ia ditonton oleh sutradara atau pengarah-pengarah filem, mungkin mereka akan turut merasakan wajar perjuangan Tok Janggut dibawa ke layar perak.

“Selepas Mat Kilau, tidak mustahil Tok Janggut juga boleh difilemkan kerana ia juga mempunyai mesej, jalan cerita dan plot yang bagus. Namun tanggungjawab itu mungkin berada pada tangan agensi-agensi berkaitan seperti Finas tetapi bukan JKKN.

“Peranan JKKN lebih menjurus kepada seni persembahan pentas dan kita telah laksanakan tanggungjawab itu melalui Pementasan Karya Agung Teater Tok Janggut 13 Liang,” katanya.

Mohd. Amran menjelaskan, Tok Janggut 13 Liang boleh menjadi rujukan kerana ia membawa mesej jelas mengenai orang Melayu perlu mempunyai prinsip dalam perjuangan dan matlamat mereka untuk menjaga kedaulatan tanah air.

Katanya, kesemua mesej tersebut disampaikan dengan jelas dan nyata tanpa ada simpang siur atau berkias-kiasan, malahan Tok Janggut 13 Liang bukan karya yang terlalu berat untuk difahami dengan mudah.

“Untuk pementasan kali in saya rasa mesej disampaikan adalah sangat mudah untuk difahami oleh masyarakat terutama generasi muda

“Kita dapat lihat bagaimana karya ini menceritakan petualang kepada kejatuhan dan kebobrokan masyarakat itu datang daripada bangsa kita sendiri yang berpaling tadah dan lebih mengagungkan orang luar berbanding bangsa dan budaya masyarakat tempatan,” katanya.

WATAK TOK JANGGUT SATU AMANAH

Pelakon utama Tok Janggut 13 Liang, Datuk Hilal Azman menganggap naskah garapan Jihan Meghaa sebagai satu karya amanah dan bukan sekadar dibuat untuk mengisi ruang kebudayaan JKKN atau ruang naskah sedia ada.

Katanya, kerana itu setelah menerima dan menelurusi skrip teater tersebut beliau memberanikan diri untuk meminta izin pengarah serta penulis skrip, Lamia Aimal untuk membuat beberapa improvisasi di atas pentas.

“Saya tidak mahu karya agung ini menjadi rigid apabila dipersembahkan di atas pentas. Mahu elak ia menjadi seperti naskhah-naskhah lain atau sekadar sebuah dokumentari perjuangan Tok Janggut.

“Saya mahu ia menjadi satu karya hidup untuk menyampaikan sesuatu kerana Tok Janggut sebenarnya memperingatkan bahawa apa yang dilalui rakyat pada ketika itu berlaku pada masa kini dan disedari dalam kelalaian kita semua,” katanya.

Hilal atau nama kelahirannya Nor Hilal Abdullah menegaskan, karyawan termasuk aktivis teater perlu mengisi ruang pengetahuan generasi lama dan baharu kerana setiap seorang daripada mereka mempunyai tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.

“Ia bukan soal kerajaan mahu atau kita mahu tetapi tanggungjawab dan kerana itu apabila menerima tawaran ini saya sematkan dalam hati bahawa ia adalah amanah dari Allah dan saya perlu lakukan sesuatu yang bermakna dalam lipatan usia mencecah 64 tahun ini.

“Malah sepanjang menunggu untuk menaiki pentas tadi pun saya sentiasa berdoa agar Allah memberikan sesuatu kebaikan yang boleh meninggalkan kesan kepada penonton teater Tok Janggut 13 Liang ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar ini bukan kali pertama dan terakhir JKKN dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganjurkan pementasan teater di Kelantan dan seluruh negara.

“Kelantan tidak mempunyai pawagam atau panggung wayang. Jadi, rakyat memerlukan satu bentuk hiburan alternatif tetapi biarlah ia menjadi suatu bentuk hiburan bermanfaat, patuh syariah dan disukai Allah SWT,” ujarnya.

TAKUT

Dalam pada itu, Hilal mengakui takut untuk membawakan watak Tok Janggut bukan hanya kerana menganggap ia satu tanggungjawab besar malah turut disebabkan oleh faktor usia, kecergasan dan waktu singkat bagi melakukan persediaan.

“Satu perkara yang saya sebutkan kepada pengarah adalah saya bukan lagi Hilal di era HVD yang sinonim dengan siri TV, Pendekar serta lincah dengan aksi silat dan pertarungan. Saya kini sudah berusia 64 tahun,” katanya.

Hilal memberitahu, beliau bersama rakan pelakon, Hasnol Rahmat terpaksa menggunakan segala pengalaman untuk menjayakan watak masing-masing memandangkan mereka hanya mempunyai masa tujuh hari untuk berlatih berbanding pelakon-pelakon lain yang menjalani latihan selama sebulan.

“Dengan tempoh sesingkat itu saya terpaksa guna segala pengalaman selama 45 tahun dalam bidang lakonan untuk buat kajian siapa Tok Janggut melalui pembacaan dan menonton video berkaitan di YouTube.
“Sebenarnya naskhah ini tidak susah namun sukar untuk memperhalusi motivasi dalaman yang mendorong hala tuju perjuangan Tok Janggut. Perlu dicari kuncinya dalam dialog dan daripada situ kupasan-kupasan lain akan timbul,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×