Daripada Salina
kepada Hujan Pagi
dia menitip lara bangsa
yang dipenggal suasana
tanpa lelah tanpa janji
dia terus berjalan
dengan pena pujangga
menyubur nurani insani
lalu berpesan dalam Al-Amin
kepada Ilahi mencari diri.
Itu antara kata kata akhir Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari apabila menutup secara rasmi Program Apresiasi Sasterawan Negara Datuk Seri Dr. A. Samad Said yang beliau sifatkan amat bersejarah dan bermakna.
Sebenarnya tidak ada bahasa yang paling afdal dalam mengungkapkan atau menghurai bicara tentang pengabdian Samad dalam dunia kepengarangan tanah air.
Semua genre sastera beliau terlibat yang akhirnya menghasilkan sekian banyak karya besar yang kita nikmati hari ini.
Karya besanya seperti novel Salina yang diterbitkan pada 1961, Sungai Mengalir Lesu (1967) Di Hadapan Pulau (1978) Adik Datang (1980) Hujan Pagi (1980) Langit Petang, Daerah Zeni, Wira Bukit, Benih Harapan dan beberapa karya agungnya yang lain menunjukkan betapa sumbangan SN negara ini tidak ada tolok bandingnya .
Justeru terasa kerdilnya membicarakan dunia kepengarangan Samad dalam ruangan sekecil ini tetapi sebagai tanda penghargaan, maka biarlah ramai akan membuka mata dengan ketokohan beliau yang sewajarnya diteladani.
Namun langkah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Ilmu khas Cheras baru-baru ini yang menganjurkan Malam Apresiasi Sasterawan Negara Dr. A Samad Said bukan sahaja wajar mendapat pujian tetapi sepatutnya diteladani oleh pihak lain sebagai sumbangan kepada tokoh yang banyak berjasa.
Penganjuran program itu mendapat kerjasama DBP dengan pengisi program baca puisi dan sketsa serta nyanyian lagu tradisional.
Malah salah satu pengisian program adalah baca puisi panjang selama 20 minit oleh Datuk Dr. Lim Swee Tin dan Lin Hazlinaz yang mengandungi bait-bait kata berdasarkan judul karya Samad.
Namun, kata Swee Tin program tersebut belum mencukupi kerana tidak menguraikan secara menyeluruh kehebatan Sasterawan Negara itu.
Beliau berkata, perlunya ada pengisian program yang lebih mendalam contohnya puisi-puisi dalam kumpulan al-Amin yang dilagukan kerana itu antara karya agung karya Samad.
“Sebahagian segmen teater Wira Bukit juga dinanti-nantikan,” ujarnya.
Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.
Ketika berumur enam bulan, beliau dibawa oleh keluarganya ke Singapura dan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja sehingga lulus Darjah IV (1940- 1946) sebelum meneruskan pelajaran dalam kelas petang di Victoria Institution.
Beliau seterusnya belajar sendiri sehingga lulus Sijil Senior Cambridge pada tahun 1956.
Dalam dunia kepengarangan beliau sering menggunakan pelbagai nama seperti Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra atau Shamsir .
Setelah menamatkan pelajaran, Samad memulakan kerjaya sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.
Beliau kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.
Setelah enam bulan di Kuala Lumpur, beliau kembali ke Singapura dan bekerja di akhbar Utusan Zaman di bawah pimpinan Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang.
Apabila syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, Samad turut berhijrah. Beliau dipujuk oleh Tan Sri A. Samad Ismail untuk menyertai New Straits Times Press (M) Bhd. dan dijadikan pengarang Berita Harian.
Mengikut satu rekod pada 1978, beliau meminta dibebaskan daripada menjadi pengarang, lalu ditugaskan sebagai penolong khas dengan tugas-tugas tertentu seperti menulis rencana pengarang dan ‘feature article’. Kemudian pada 1981, beliau mengetuai penerbitan Warta Teberau.
Sehingga kini beliau tidak pernah jemu mewarnakan dunia penulisan tanah air dan antarabangsa dalam genre novel, puisi, drama, cerpen mahupun esei.
Karya pertama beliau, novel Salina dikatakan mengangkat kesusasteraan Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa dan seterusnya menjadi garis pemisah penulis lama dan baru dan antara Samad dan penulis Angkatan Seniman Abad (ASA) 50.

Karya besar lain yang dihasilkan oleh beliau ialah seperti Bulan Tak Bermadu Di Fatehpur Sikri, Di Hadapan Pulau, Langit Petang Lantai T. Pinkie, Wira Bukit dan Benih Harapan.
Terdapat juga novel beliau yang diadaptasikan menjadi teater atau drama pentas, iaitu Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T. Pinkie dan Di Hadapan Pulau.
Di samping itu, Samad juga memperlihatkan kekuatan beliau dalam puisi menerusi Antalogi Liar di Api, Benih Harapan, Daun Semalu Pucuk Paku, Benih Semalu dan Balada Hilang Peta.
Pencapaian dan sumbangan Samad telah mendapat pengiktirafan daripada pihak kerajaan.
Beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera pada 1976 dan dilantik sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera Negara pada 1979. Pada tahun sama, beliau juga dianugerahkan South East Asia (SEA) Write Award.
Kemuncak pencapaian Abdul Samad apabila dinobatkan sebagai Sasterawan Negara melalui Anugerah Sastera Negara pada 1985.

Sementara itu, IPG sudah mengambil inisiatif menubuhkan Galeri Sasterawan Negara di 27 kampusnya bertujuan sebagai mendedahkan kepada bakal guru mengenai bidang bahasa dan kesusasteraan.
Justeru dengan inisiatif tersebut, IPG menjadi institusi pendidikan pertama yang menggunakan pendekatan menghargai jasa dan sumbangan karyawan seperti Sasterawan Negara.
Usaha tersebut akan menyemarakkan bidang bahasa dan sastera di IPG sesuai dengan peranannya melahirkan guru terlatih dalam pelbagai bidang termasuklah antaranya bahasa Melayu.
Dalam pada itu, Hazami mengucapkan sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada IPG, khususnya pihak IPG Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), yang telah bersinergi dalam pelaksanaan majlis yang amat penting, bagi menzahirkan penghargaan tidak terhingga serta penghormatan yang amat tinggi kepada Sasterawan Negara yang telah mengabdikan hidup mereka dalam dunia kepengarangan di tanah air.
Pelaksanaan program tersebut beliau sifatkan amat penting bagi membuktikan masyarakat Malaysia yang bertamadun tinggi, begitu menghargai keilmuan dan jasa Sasterawan Negara, sepertti Samad.
“Dalam konteks pembinaan negara bangsa, kita sebagai warga negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik perlulah menghayati karya-karya Sasterawan Negara bagi menggarap luahan pemikiran dan nyala rasa insan yang hebat dan terpilih, yang telah dianugerahkan oleh Allah di bumi tercinta ini,” ujarnya. – UTUSAN










