Gema puisi Patriotik Hari Malaysia

Gema puisi Patriotik Hari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sempena sambutan hari Malaysia yang diadakan pada 16 September setiap tahun, banyak acara bercorak kenegaraan dan patriotik dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat dan pihak tertentu berdasarkan asas penubuhan organisasi berkenaan.

Program atau acara tersebut mungkin berkisar tentang bagaimana seharusnya semangat cintakan negara dipupuk, disemai khususnya dalam kalangan generasi muda termasuklah antaranya baca puisi, konsert , pementasan teater bangsawan dan sukan.

Namun apakah acara yang mampu memberi impak dalam usaha pemupukan sayangkan tanah air dalam konteks menghargai nilai kemerdekaan?

Ini kerana, bukan mudah menyatakan rasa cinta kepada negara hanya menerusi acara kerana sepatutnya memberi impak dan relevan kepada maksud menghargai nikmat kemerdekaan.

Acara bercorak kebudayaan nyata memberi impak tersendiri kerana daripada situ ada kata kata halus yang membawa maksud jelas, berkias dan metafora pada tahap tertinggi serta artistik , sejauh mana kita sayangkan negara.

Dalam hal ini, Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) ialah sebuah NGO seni, sastera,bahasa dan budaya bertaraf kebangsaan kelihatan ke depan apabila menganjurkan Hari Puisi Malaysia (HPM) .

PEMUISI disertai golongan pemuisi dan sasterawan seluruh negara dan juga terdapat Kerabat PEMUISI dar beberapa negara. Sesuai dengan nama dan asas penubuhannya, aktiviti utama

PEMUISI yang ditubuhkan enam tahun lalu adalah dalam bidang puisi, di peringkat nasional dan antarabangsa yang bermatlamat mengangkat dan memartabatkan puisi dan pemuisi di persada sastera negara. Visi PEMUISI ialah Suara Kemanusiaan Sejagat.

Antara aktiviti PEMUISI merangkumi kegiatan puisi seperti program baca puisi, bengkel, forum, konvensyen berkaitan puisi, penerbitan secara bulanan majalah Jurnal Pemuisi yang sudah memasuki bilangan ke-60, penerbitan buku-buku puisi dan sebagainya.

Program besar PEMUISI antaranya adalah memulakan sambutan Hari Puisi Malaysia (HPM) yang diisytiharkan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya pada 13 Jun setiap tahun bermula tahun 2021, mengadakan Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES) dua tahun sekali di Pantai Chap Bachok dan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) sempena sambutan Hari Malaysia pada setiap tahun bermula 2020.

SDPAHM ke-5, yang akan diadakan di Shah Alam, Selangor anjuran PEMUISI dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Media Karangkraf malam ini.

Menurut Presiden PEMUISI Datuk Dr. Radzuan Ibrahim @Wanrazuhar, sehingga 25 Ogos lalu, semua negeri berjaya menganjurkan pertandingan di peringkat negeri memilih seorang deklamator mewakili negeri masing-masing.

Beliau berkata, terdapat 15 deklamator yang mewakili negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan akan bertanding di peringkat akhir di Shah Alam.

Katanya, sayembara Puisi Artistik tersebut berbeza dengan sayembara puisi yang dianjurkan oleh pihak lain.

“Artistik merujuk kepada segala unsur kreatif seni untuk tujuan memantapkan sesuatu persembahan supaya pentas menjadi menjadi lebih hidup. Unsur-unsur artistik adalah segala sesuatu yang dimanfaatkan dalam sesuatu persembahan untuk menjadikannya lebih berseni dan berkesan, “ ujarnya.

Sementara itu seorang penyair tempatan Datuk Dr. Lim Swee Tin berkata, sayembara puisi artistik merupakan pembaharuan atau reformasi dalam deklamasi puisi.

 

Beliau berkata, pelbagai elemen teaterikal dan muzikal , penggunaan peralatan bantuan persembahan dimasukkan dalam persembahan pendeklamator. Yang turut dibenarkan adalah penggunaan props, props orang hidup, slaid, lagu-lagu, alat-alat muzik termasuk muzik secara langsung dan gambar.

Pendeklamator
1. Saari Nong (Kuala Lumpur/Putrajaya)
2. Ahmad Sa’idun Mohamad Mokhtar (Selangor)
3. Akilul Nazar Arbain (Johor)
4. Mohamad Amir Mohtaram (Melaka)
5. Umar Mokhtar Abdullah (Negeri Sembilan)
6. Elvine Petrus (Perak)
7. Muhammad al-Azim Mohd Effendi (Pulau Pinang)
8. Ameerul Zafran Saiful Amir (Kedah)
9. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman (Perlis)
10. Maizatun Akmam Md Nor (Pahang)
11. Nor Atiekah Hidayah Hussain (Terengganu)
12. Che Mariatul Qibty Che Abdul Hadi (Kelantan)
13. Muhammad Firdaus Sharuddin (Sarawak)
14. Amuddin Saifudin Zulqurnain (Sabah)
15. Aiman Afiq Ismail (WP Labuan).

Kata beliau lagi, cara persembahan juga dirancang meliputi kebebasan mengadakan persembahan dengan kreativiti tersendiri, tetapi bersesuaian dengan puisi yang dideklamasikan.

“Reformasi ini dilakukan sesuai dengan arus kemajuan dunia, termasuk media sosial yang luas tersebar dan puisi diharapkan diterima dan mendapat sambutan masyarakat sejagat.

Adalah menjadi harapan PEMUISI dengan adanya reformasi atau pembaharuan dalam persembahan puisi akan berupaya menarik perhatian masyarakat, khususnya anak muda generasi kini dan generasi akan datang supaya meminati sastera negara, khasnya puisi.

Barisan juri juga terdiri daripada tokoh-tokoh dalam bidang sastera, puisi, seni dan budaya tanah air.

Puisi astisdtik merupakan bentuk menyampaian puisi satu bentuk deklamasi dengan upaya untuk mengekspresikan inti karya dengan kebebasan gerak dan cocok situasi (tidak terikat).

Tujuannya untuk menyampaikan isi teks kepada penonton melalui deklamasi yang bersahaja akan tetapi memiliki nilai estetik terutama kesesuaian nada dengan isi sajak serta jika mungkin memberi ruang kepada keperluan gerak dan bantuan muzik. Melalui kaedah tersebut, puisi lebih akrab kepada penonton. Deklamasi lebih natural dan intipati karya bukan sahaja difahami tetapi juga dirasai. Deklamasi artistik katanya ialah satu upaya memberi pesona kepada penonton.

Menurut beliau, deklamator boleh mengekspolit setiap bakat serta ruang kreativiti yang ada bagi menyampaikan deklamasi yang sebaik-baiknya kepada penonton.

“Deklamator juga boleh memanipulasikan ruang,” ujar beliau lagi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN