Tanah kubur

Tanah kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu
PENYAKIT asthma Mak Su semakin menjadi-jadi sejak akhir ini.Mungkin berpunca dari cuaca hujan yang kerap saban hari dan rasa kedinginan pada waktu malamnya, mendorongkan penyakit Mak Su semakin menjadi-jadi.

“Berehatlah, Su. Biar saya cuci pinggan mangkuk di dapur tu,” ujar Pak Din melihatkan sosok isterinya kurang sihat tu.

Pak Din telah membelikan alat inhaler yang dikenali sebagai symbicot itu dari farmasi bawah bukit dan memang sentiasa ada di dalam tas tangan Mak Su. Pak Din yang selalu menasihatkan Mak Su supaya membawa alat pernafasan tersebut ke mana sahaja Mak Su pergi.

Dengan adanya alat pernafasan itu sahaja yang boleh membantunya ketika sesak nafas. Selain mereka berdua berdoa kepada Tuhan supaya penyakit alahan itu tidak lagi berulang dan segera sembuh.

Selain menggunakan alat pernafasan itu, Pak Su membawa juga Mak Su ke Klinik Dr. Naharajan yang terletak di Jasin itu. Beberapa kali Pak Din menasihatkan Mak Su supaya elakkan memakan buah-buahan.

“Bukankah dengan memakan buah-buahan mengelakkan kulit saya itu daripada kering?” Soal Mak Su.

“Bukankah buah-buahan itu ada vitamin C?” Jerkah Mak Su.

Pak Din menggeleng-gelengkan kepalanya kerana berasa rimas dengan gelagat isterinya itu.

“Kandungan buah-buahan itu ada yang sejuk. Ingatlah pesan Dr. Naharajan tu. Elakkan makan buah-buahan,” ujar Pak Din.

Menurut Dr.Naharajan lagi, rasa alah (allergic) pada buah-buahan tertentu yang kita makan itu menyumbangkan penyakit asthma kepada diri sendiri menjadi bertambah teruk.
“Aghh, sewaktu nyawa masih dalam badan nilah saya nak makan apa yang saya suka. Kalau dah mati nanti nak makan apa? Nak makan tanah!” Jerkah Mak Su.

Pak Din melihat kesihatan Mak Su semakin merosot apabila isterinya itu begitu tertekan dengan perbuatan Suratman dan Zaharah yang memutuskan silaturahim dengan mereka.

Suratman dan Zaharah membawa kedua-dua anak mereka iaitu Lokman dan Aufa ke rumah pengasuh.

Rasa tertekan di dalam sanubarinya itu bertukar menjadi racun dalam darah dan mendatangkan keresahan Mak Su. Selama ini dua cucu itu adalah di bawah jagaan Mak Su dan Pak Din ketika Suratman dan Zaharah bekerja.

Pak Din menjadi ‘drebar’ menghantar Lokman dan Aufa ke sekolah dan menyediakan makan minum sebelum ke sekolah. Diam tak diam sudah 10 tahun mereka menjaga cucunya itu.

“Saya bimbang anak-anak kami tidak jadi orang. Terlalu manja pada Atuk dan Neneknya,” ujar Zaharah.

“Aku manjakan apa Zaharah? Sebab biarkan mereka asyik dengan telefon bimbitnya tu? Mereka pun perlu rehatkan otaknya juga. Takkanlah nak menghadap buku 24 jam,” balas Mak Su.

“Mereka dah tidak suka tinggal dengan kami lagi mak. Mereka lebih suka tinggal di rumah Atuk dan Neneknya,” tingkah Suratman.

“Lagi pun mak tak sihat. Biarlah kami jaga. Kami sudah dapatkan pengasuh berhampiran dengan tempat kerja kami,” tambah Zaharah.

Sejak dari tarikh itu, Suratman dan Zaharah tidak akan datang ke rumah Pak Din dan Mak Su. Sikap luar biasa mereka itu menusuk perasaan Pak Din dan Mak Su. Ini mengingatkan Pak Din dan

Mak Su pada waktu silamnya yang dibesarkan ibu bapa masing-masing di kampung dalam serba kekurangan tidak sama sekali melakukan perbuatan sedemikian kepada ibu bapa mereka.

Mungkin mereka berasa takut dicampakkan ke api neraka kerana melukakan perasaan orang tua. Tetapi, apabila dibuat bandingan masa lalu dan masa sekarang, cara mendidik anak-anak di zaman dahulu lebih berkesan daripada cara ibu bapa mendidik pada zaman sekarang.

Sungguh pun mereka memiliki agama tetapi moral mereka lemah dan tidak menghidupkan aspirasi agama dan moral dalam mendisiplinkan maruah diri. Salahkan kami mendidik Suratman anak kami itu?

Walaupun, perubahannya ketara setelah berumahtangga dengan Zaharah dan ditentukan persekitaran yang ada pada masa sekarang, kami berpendapat Suratman kurang mendalami dari amalan dan peraturan serta pesanan yang ada di dalam agama itu.

Mungkin Suratman dan Zaharah merasakan balasan yang bakal mereka terima pada lambat lagi – setelah mati atau bila tiba hari kiamat. Walaupun telah berkali-kali kami mengingatkan mereka bahawa dosa ke atas ibu bapa itu adalah tunai di dunia dan sebahagian lagi adalah di akhirat.

Mungkin perkara-perkara yang saya cakapkan itu bersifat ghaib, tidak nampak pada pandangan mata kasar dan ini menumbuhkan keyakinan tegar ke dalam dirinya tentang kekuasaan Allah SWT.

Malam itu, Pak Din dikejutkan dengan keadaan Mak Su yang sepi di sebelahnya. Pak Din berasa letih siang tadi kerana membetulkan saluran air masuk ke dalam mesin basuhnya.

Memang Pak Din suka menukang sendiri dengan membeli peralatannya di kedai DIY bagi membaiki alat-alat keperluan harian di rumah seperti lampu kalimantang yang tidak menyala di rumah.

Pak Din juga membuka ‘stop cock’ di dinding rumahnya sekiranya air yang mengalir terlalu perlahan.

Biasanya sebelum tidur, Mak Su akan akan membaca novel Inggeris, Judith McNaught iaitu penulis kegemarannya dan sesekali kedengaran suara Mak Su bercakap-cakap di dalam tidurnya itu kerana mungkin terbawa-bawa dengan watak-watak dalam novel yang dibacanya itu. Butiran daripada percakapan Mak Su kedengaran tidak jelas di celuping telinga Pak Din.

Pak Din mengambil ‘inhaler’ di tangan Mak Su. Pak Din meleraikan alat itu dari tangan Mak Su dan meletakkan di atas meja kecil bersebelahan dengan katil tidur. Pak Din berasa cemas melihat muka Mak Su bertukar pucat.

Pak Din mendekatkan cuping telinganya ke dada Mak Su. Alunan nafasnya telah terhenti. Degupan jantung Mak Su sudah tidak bergerak lagi. Pak Din meribakan kepala Mak Su di atas pahanya.

Perasaan Pak Din sebak dan terharu kerana pemergian Mak Su tanpa sebarang pesan ditinggalkannya.

Benar sangkaan Pak Din, Mak Su telah pergi buat selama-lamanya meninggalkannya. Matanya yang terbuka yang bermaksud pada hajat yang tidak kesampaian itu, Pak Din rapatkan dengan jemarinya.

Sampai hati Suratman, detik hati Pak Din. Niatnya untuk berjumpa Suratman dan Zaharah bersama-sama cucu mereka itu disifatkan kecundang di tengah jalan. Pak Din memaklumkan jiran sebelahnya bagi memaklumkan pemergian Mak Su buat selama-lamanya itu.

Dua

“Saya baru balik dari tanah perkuburan bapak. Kalau bapa tidak percaya ini tanah yang saya bawa pulang dari tanah perkuburan mak tu,” ucap Suratman sambil membuka ikatan beg plastik kecil berada di tangannya. Pak Din berasa terkejut dengan perbuatan Suratman.
“Kenapa kamu bawa pulang tanah kubur ni, Suratman?” Tanya Pak Din.

“Salahkah bapak saya bawa pulang tanah kubur ini untuk dijadikan kenang-kenangan saya terhadap emak?” Soal Suratman.
Pak Din menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Banyak perkara kau boleh lakukan Suratman untuk roh mak kamu itu. Kamu boleh sedekahkan bacaan yasin untuknya supaya rohnya tenang di alam barzakh sana,” balas Pak Din.

“Ampunkan saya, bapak,” ujar Suratman sambil memegang tangan Pak Din dan luahan apa yang ingin diluahkan tersekat di kerongkongnya.

Di kelopak matanya digenangi dengan air jernih. Zaharah bersama dua anak mereka mendapatkan suaminya Suratman.

Tangannya memegang bahu suaminya supaya bersabar. Suratman menepis tangan Zaharah dengan keras. Kedua-dua anak mereka iaitu Lokman dan Aufa mendekati Pak Din dan memeluknya.

“Pulangkan tanah dari kubur tu ke tempat asalnya, Suratman. Kalau ada yang nampak timbul fitnah pula nanti kamu dan Zaharah juga mendapat malu,” ujar Pak Din.

Melihatkan Suratman masih memegang plastik berisi tanah kubur itu mendatangkan tanda tanya pada Pak Din. Zaharah juga berasa pelik dengan sikap Suratman itu.

“Kau hendak buat apa dengan tanah dari kubur tu,Suratman?” soal Pak Din.

“Tanah dari kubur ini mengingatkan saya tentang kematian. Tanah kubur ini juga mengingatkan saya tentang arwah emak.

“Saya banyak berdosa pada emak kerana membuatkan mak rasa susah hati. Saya menyesal Bapak kerana terikut-ikut hasutan Zaharah,” tambah Suratman sambil mengesat air matanya yang membasahi pipinya dengan hujung lengan baju. Pandangannya berpaling pada isterinya yang tunduk memandang ke lantai.

Zaharah terdiam kerana berasa bersalah kerana mendesak suaminya, Suratman berpindah ke Putrajaya dan berhampiran dengan tempat kerja mereka. Zaharah juga mendesak supaya Lokman dan Aufa dipindahkan di bawah jagaan pengasuh yang dianggap sebagai mak angkatnya.

Malam itu, Suratman bermimpikan arwah emaknya, Mak Su.

Beberapa kali Mak Su menyebut nama cucu-cucunya Lokman dan Aufa. Kedengaran suara Mak Su menangis teresak-esak. Suratman mendapatkan Mak Su.

“Pulangkanlah tanah kubur itu, Suratman ke tempat asalnya jangan sesekali kau cemari akidah agama kita dengan perkara tahyul,” ujar suara Mak Su.

“Tapi, saya banyak membuat dosa pada emak.Tanah dari pusara emak ini bagi membolehkan saya mengingatkan emak setiap masa,” balas Suratman.

“Mak sudah ampunkan segala dosa kamu dan Zaharah,” kata Mak Su.

Kelibat Mak Su tiba-tiba hilang daripada pandangan mata Suratman. Berkali-kali menjerit-jerit memanggilkan Mak Su.

Zaharah yang tidur bersebelahan dengan Suratman mengoncang-goncang badannya. Suratman terjaga daripada mimpinya. Esoknya sewaktu di meja makan, Zaharah cuba bertanyakan kepada suaminya tentang mimpi dialaminya semalam hingga mendorongkan Suratman menjerit-jerit dalam tidurnya.

“Sudah beberapa kali, saya pesan pada abang jangan ambil tanah kubur tu. Abang belajarlah menghormati roh mak yang telah menghadap Ilahi,” ujar Zaharah.
Mohsen yang sedang menyudukan nasi goreng ke dalam mulutnya berasa seleranya hambar.

“Abang ambil tanah dari kubur emak itu untuk abang simpan jadi ingatan setelah sekian lama kita memisahkan Lokman dan Aufa dari mereka.

“Abang semakin rasa bersalah apabila berkali-kali bapak dengan emak menyeru nama abang…nama Zaharah tak pernah sekali pun kita bukakan pintu dan membenarkan mereka masuk berjumpa dengan cucu-cucu mereka itu,” terang Suratman.

“Dahlah Suratman … Zaharah. Reda apa yang telah berlaku ke atas diri mak kami. Ajal dan maut di tangan Tuhan.

“Kalau kamu keberatan nak memulangkan plastik yang berisi tanah kubur tu, biarlah ayah sendiri yang memulangkan tanah kubur ke tempat asalnya,” ujar Pak Din dengan panjang lebar.
Pak Din mengambil plastik yang berisi tanah kubur itu daripada tangan Zaharah. Pak Din menuruni anak tangga kayu menuju ke motosikalnya. Plastik yang berisi tanah kubur itu dimasukkan ke dalam raga motosikal itu.

Setelah mengeluarkan tanah kubur itu daripada plastiknya, Pak Din membaca Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada arwah Mak Su,isterinya.

“Semoga roh awak tenang di sana, Su. Saya pun akan ke sini juga akhirnya nanti. Suratman dan Zaharah telah pun menerima pengajarannya di sebalik perbuatannya itu,” ucap Pak Din sambil memegang batu nisan pusara Mak Su.

Beberapa ketika kemudian, kelihatan kelibat Suratman, Zaharah membawa dua anak mereka Lokman dan Aufa menemankan Atuk mereka, Pak Din di depan pusara arwah Mak Su. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×