Seperti negeri lain, Perlis juga memiliki pengkarya sasteranya. Terdapat dua golongan pengkarya di Perlis yang mungkin sama dengan golongan pengkarya di negeri lain.
Golongan pertama pengkarya ini merupakan pengkarya yang dilahirkan, menetap dan berkarya di Perlis. Golongan kedua pula pengkarya yang dilahirkan di Perlis tetapi berkarya di luar Perlis.
Golongan pertama merupakan pengkarya yang sememangnya dikenali di Perlis. Nama-nama pengkarya seperti Rejab FI, Nahmar Jamil (arwah), Nazel Hashim Mohamad, Ridzuan Kamis, Solihin Osman, Sharif Shaari, Mokhtar AK, Pawana, Kamarudin On dan Shahkang (sekadar menyebut beberapa nama) merupakan pengkarya yang dilahirkan, menetap dan berkarya di Perlis.
Pengkarya-pengkarya ini sememangnya diakui sebagai penulis atau pengkarya Perlis.
Golongan ini pula terbahagi kepada tiga kelompok lagi, iaitu pengkarya yang menjadi ahli Persatuan Penulis (3P), pengkarya ahli Angkatan Sasterawan Indera (Aksara) dan pengkarya tiada berpersatuan. Malah terdapat juga kalangan pengkarya ini menganggotai persatuan penulis di luar Perlis.
Walaupun seolah-olah terdapat pengasingan golongan pengkarya Perlis, namun komitmen mereka terhadap penghasilan karya tidak pernah tergugat. Malah, hubungan sesama pengkarya di negeri terkecil di negara kita ini tetap wujud dan kekal.
Dalam hal ini, sukar untuk menafikan pengkarya yang lahir, menetap dan berkarya di Perlis ternyata lebih akrab dengan pembaca di negeri ini.
Rejab FI misalnya, merupakan nama yang cukup sinonim dengan bidang penulisan karya kreatif ini. Lebih-lebih lagi, Rejab dan beberapa rakannya seperti Allahyarham Nahmar Jamil, Pawana dan Mokhtar AK telah berusaha dan berjaya menubuhkan Persatuan Penulis Perlis (3P) lebih setengah abad lalu.
Rejab turut mengetuai hampir 20 tahun persatuan penulis ini. Kejayaan Rejab menerima anugerah SEA Write Award 2016 dan Anugerah Penyair GAPENA 2024 ini adalah kemuncak kejayaan warga pengkarya Perlis. Malah, Rejab juga sebelum ini ialah penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) selain Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU).
Beberapa karya Rejab seperti novel kanak-kanak, cerpen dan sajaknya turut terpilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan teks Komponen Sastera Bahasa Melayu (Komsas).
Rejab masih tetap berkarya sehingga ke hari ini.Begitu juga dengan Allahyarham Nahmar Jamil. Beberapa puisinya turut terpilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu dan teks Komsas. Nahmar yang meninggal dunia pada 24 Mac lalu cukup dikenali dengan puisinya bertajuk Kucuba Bunuh Engkau.
Dalam hal ini ternyata Rejab bersama-sama rakannya seperti Mokhtar AK, Pawana, Mastono, Sharif Shaari, Nahmar, Ramli Ismail dan beberapa penulis lagi yang mempopularkan penulisan karya sastera ini lebih setengah abad lalu ternyata berjaya meletakkan Perlis setanding dengan negeri lain dalam bidang penulisan karya kreatif ini.
Selepas angkatan Rejab dan rakan-rakannya yang boleh dianggap sebagai peneroka karya kreatif Perlis, muncul pula penulis golongan pertengahan seperti Mustaffa Ahmad, Roslan Bidin, Siti
Zubaidah Haris, Bibi Baharum, Haniza Hamzah, Nooramilia Hussain, Muhammad Harun dan Kamarudin On.
Diikuti oleh penulis-penulis hebat seperti Dr. Norhasimah Ismail, Ridzuan Kamis dan Solihin Osman (sekadar beberapa nama). Mustafa dan Solihin lebih banyak menumpukan bidang penulisan puisi manakala Ridzuan pula menulis puisi dan rencana.
Golongan penulis muda pula mula mengisi tempat dalam dunia sastera Perlis dengan kemunculan beberapa nama seperti Shahkang, Khairol Anuar Harith Fadilah, Zalina Ahmad, dan beberapa penulis lagi yang menganggotai Persatuan Penulis Perlis (3P) dan Angkatan Sasterawan Indera (Aksara).
Aksara merupakan persatuan penulis kedua di Perlis yang diusahakan penubuhannya oleh Allahyarham Abdul Ahmad sekitar tahun 2007 setelah bersara sebagai editor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kembali menetap di Perlis.
Bagaimanapun, senarai pengkarya sastera Perlis pasti akan menjadi lebih panjang jika dimasukkan penulis-penulis kelahiran Perlis tetapi berkarya di luar Perlis.
Antaranya tokoh penulis tanah air seperti SN Dato’ Rahman Shaari, Dr. A. Rahim Abdullah dan Dr. Mohamad Shahidan, di samping Shukri Abdullah, Jimadie Shah dan A. Hamid Halim (sekadar menyebut beberapa nama).
Besar kemungkinan juga, nama-nama penulis yang selama ini tidak diketahui kewujudannya akan muncul jika ditemukan dalam himpunan atau pertemuan pengkarya-pengkarya Perlis.
Pengkarya yang bergerak secara bersendirian tanpa menganggotai persatuan penulis di Perlis juga sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk bertemu muka dan mewujudkan hubungan demi kebaikan bidang penulisan karya sastera.
Seharusnya diakui terdapat beberapa penulis kelahiran Perlis, sama ada pengkarya yang berkarya di Perlis atau di luar Perlis sudah ada yang mulai menyepi diri dengan meninggalkan dunia sastera ini. Selain itu, terdapat beberapa penulis Perlis juga sudah dijemput Ilahi. Antaranya, Nahmar Jamil, Abdul Ahmad, Adnan Jahaya, Saleha Ahmad dan Wan Khazim Wan Din.
Kita juga tidak harus lupa dengan pemergian penulis bukan Melayu yang turut mewarnai sastera Perlis suatu ketika dahulu, iaitu mendiang Cheng Poh Hock.
Pastinya, kita amat mengharapkan penulis-penulis Perlis akan terus berkarya dan mewarnai dunia sastera tanah air. Malah, generasi penulis pelapis juga seharusnya terus membenih dan bercambah sebagai suatu kelangsungan warisan bangsa. – UTUSAN










