Bagaimana dengan yang mencari populariti?

Bagaimana dengan yang mencari populariti?

ANTARA yang turut menghadiri forum ‘Suara dari Anjung Dewan Sastera: Antara Intelektualisme dengan Kepopularan dalam Sastera’ di Anjung DBP, adalah penuntut Universiti Putra Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGIKUTI forum ‘Suara dari Anjung Dewan Sastera: Antara Intelektualisme dengan Kepopularan dalam Sastera’ di Anjung DBP, Menara DBP pada 26 Jun lalu, mengingatkan saya pada forum ‘Antara Cantik dan Bakat, di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti?’ di Dewan Perdana, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 14 November 2022.

Bagi saya secara peribadi, tentulah lebih baik dan diharapkan intelek dengan popular, serta cantik dengan bakat berjalan seiring, atau sekali gus meskipun sukar wujud, dan payah terjadi.

Apa yang selalu ada dan sering berlaku adalah intelek, tetapi tidak popular (dan sebaliknya), dan cantik, tetapi tiada bakat (dan juga sebaliknya). Semua orang mengharapkan keseiringan, tetapi harapan tinggal harapan.

Menjelang forum anjuran majalah Dewan Sastera bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-68 DBP: Kesaktian Lidah Rakyat itu berakhir, saya terfikir pula satu perkara sambil mencatat-catat, tetapi tidak menyatakannya dalam sesi soal jawab. Ketika ahli-ahli panel bertungkus-lumus menjawab yang manakah lebih penting atau perlu dipilih, benak saya bertanya bagaimana dengan mereka yang memang mencari populariti, dan berapa ramai yang mahu menjadi intelek.

Saya tidak pasti persoalan ini relevan, ataupun lari sedikit atau lari banyak daripada topik perbincangan. Namun begitu, saya pasti saya hanya menunjukkan kepada mereka yang tahu perkara yang dibangkitkan itu tidak kosong, atau bukan sia-sia membuang masa.

Saya menyatakan sedemikian kerana ramai yang menganggap populariti, dan perkara yang menyebabkannya popular hanya glamor, serta tidak bermanfaat. Jadi, jika mengambil sesuatu yang tidak hanya nampak sensasi, tetapi sebenarnya besar dan penting, populariti yang diraih itu bukan klise, dan merosakkan. Sebaliknya, baik dan berfaedah.

Seperkara lagi yang pasti adalah tidak semua ahli panel forum selama dua jam itu sepakat. Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, dan Rebecca Ilham menyatakan boleh memilih, sementara Nazmi Yaakub menganggap sebaliknya.

Saya turut terfikir berapa ramai yang mahu menjadi intelek. Yang saya lihat, ramai yang hanya mahu menunjuk pandai, dan memandai-mandai. Biarpun pada awalnya agak risau menunggu bilakah pemudah cara, Saifullizan Yahaya akan membuka pembicaraan kerana setengah jam berlalu diisi dengan sejarah DBP, Dewan Sastera, dan penulisan ahli panel, tetapi mujur ada pusingan kedua yang memfokuskan kepada topik, dan rumusan dalam pusingan ketiga.

Awang Azman, pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang lebih dikenali sebagai pengulas politik tanah air mengatakan terpulang pada penulis sendiri, sama ada mahu mencari popular ‘kosong’ atau popular ‘berisi’.

“Pilihlah ikut berapa peratus yang dapat dikesan, sama ada intelek atau popularnya. Ini kerana dalam popular ada unsur intelek, dan begitu juga sebaliknya,” kata beliau yang tidak menafikan kewujudan budaya popular. Sebelum itu, Dr. Awang Azman berpendapat Dewan Sastera wajar terus menyiarkan karya-karya sastera sebagai memenuhi salah satu peranannya.

Bagaimanapun, tambah beliau, penyiaran tulisan-tulisan berupa resensi, perbincangan teori sastera, bercorak akademik dan lain-lain, tambahnya, perlu juga diteruskan.

“Kesemuanya penting kerana boleh membantu ke arah kemajuan, mendorong penghasilan karya berunsur lama menjadi kontemporari, mencabar pengarang menggarap isu semasa, misalnya kemiskinan kerana definisi kemiskinan sekarang sudah berbeza, dan berkarya semasa dengan unsur lama,” katanya.

Dr. Awang turut menjelaskan antara punca kelesuan kritikan sastera tanah air adalah perbezaan abad. Sebagai contoh, katanya, novel terbitan 1990-an dikaji pada 2024.
Begitu pun, beliau memuji amalan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UKM, Che Abdullah Che Ya yang juga pengkritik sastera terkenal yang membaca semua novel baharu sebaik diterbitkan.

Mengenai pertanyaan Saifullizan yang juga Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP, adakah penulis muda perlu memenuhi selera editor, atau membawa pemikiran sendiri, Rebecca menjawabnya dengan menjelaskan makna sastera.

“Sastera adalah satu cabang ilmu. Justeru, ia perlulah intelek. Dikaitkan dengan Islam, agama suci ini telah mengosongkan sastera yang berunsur bukan Islam. Penulis beragama Islam pastilah menjadi pewaris penulisan sastera yang baik,” kata Rebecca sambil menegaskan iman adalah penapis keburukan, sementara nafsu hanya menurut kehendak sahaja. Tambah cerpenis dan novelis prolifik suatu masa dahulu ini, tidak mengapa jika mahu menghasilkan karya popular, tetapi tetap berpandukan Islam.

Penulis, katanya lagi, perlu tahu meletakkan yang mana lebih utama.

“Masyarakat umum ada ilmu, tetapi mungkin tidak mendalam. Mereka juga menggemari kisah cinta tiga segi. Tetapi, saya tetap memegang prinsip, walaupun mengakui karya sastera ada pengikut sendiri. Karya yang baik mengundang pahala, tetapi karya yang buruk sebaliknya,” ujar Rebecca.

Bagi Nazmi, intelektualisme dengan kepopularan adalah dua perkara berbeza di tempat yang sama. Intelek adalah rumah yang tetap, sementara popular adalah kenderaan yang membawa tuan rumah ke mana-mana.

“Kedua-duanya adalah keperluan. Kedua-duanya penting. Jika dikaitkan dengan akhbar, populariti memang penting untuk halaman satu, dan dua. Halaman 10 dan 11 baru memuatkan bahan bersifat analisis,” jelas beliau yang berpendapat tidak perlu memilih antara intelektualisme dengan kepopularan, sebaliknya wajar menggabungkan.

Nazmi memberikan alasan ada cerpen daripada penulis luar negara yang jumlah perkataannya kurang daripada 10 patah, tetapi ada pemikiran kerana merangkumi semua aspek intelektualisme, dan kepopularan.
“Popular datang kemudian. Ia tidak dicipta. Yang dicipta karya, sama ada baik dan bermutu atau sebaliknya,” jelas pengarang akhbar arus perdana ini lagi memperkuat alasannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×