Teater Haji Murat angkat semangat perjuangan

Teater Haji Murat angkat semangat perjuangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapakah Haji Murat ini sehinggakan dia diangkat sebagai hero dan wataknya dipentaskan sebagai seorang pejuang.?

Teater Haji Murat mengisahkan tentang jihad dan perjuangan bangsa, tentang keberanian, kesetiaan, dendam dan pengkhianatan. Seorang hero yang harus berdepan dengan musuh bangsanya dan musuh peribadinya, dalam suasana tragis apabila keluarganya menjadi galang tebusan. Naskhah Haji Murat telah diadaptasi oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan daripada novel luar biasa karya Leo Tolstoy (War and Peace & Anna Karenina). Teater ini diarahkan oleh Aris Othman dan A. Wahab Hamzah.

Haji Murat (1818-1852) pemimpin dan pejuang hebat bangsa Chechen yang luar biasa keberanian serta kepintaran strategi perangnya dalam pertempuran jihad melawan tentera Rusia.

Haji Murat menjadi musuh yang amat dikehendaki Russia, kerana negara berkenaan tidak pernah menang dalam pertempuran dengan Haji Murat. Perjuangan Haji Murat panjang dan berliku. Namun di sebalik kehebatan Haji Murat, dia turut dimusuhi oleh rakan-rakan seperjuangan.

Haji Murat dimusuhi oleh Gamzat yang telah menggantikan Kazi Mulla pelopor jihad Chechnya melawan Russia.

Semasa Haji Murat menguasai daerah Avaria, Ahmad Khan telah memfitnahnya, sehingga Haji Murat ditawan dan mahu diserahkan kepada Rusia, tetapi Haji Murat berjaya melepaskan diri.

Pada ketika persengketaan Haji Murat dan Ahmad Khan memuncak, Imam Syamil menghulurkan persahabatan dan mahu membantu Haji Murat menangkis serangan Ahmad Khan.

Namun persahabatan Haji Murat dengan Imam Syamil tidak lama apabila Syamil mula menganggap Haji Murat sebagai saingannya yang berbahaya. Syamil menyerang Avaria, merampas tanah dan harta Haji Murat. Haji

Murat diburu tetapi dia dapat melepaskan diri, namun isteri, ibu dan anaknya berjaya ditawan oleh Imam Syamil.

Di ketika inilah Haji Murat terpaksa memihak kepada Russia dengan harapan negara berkenaan akan membantunya menewaskan Imam Syamil dan ahli keluarganya.

Teater Haji Murat mengisahkan tentang jihad dan perjuangan bangsa, tentang keberanian, kesetiaan, dendam dan pengkhianatan. Seorang hero yang harus berdepan dengan musuh bangsanya dan musuh peribadinya, dalam suasana tragis apabila keluarganya menjadi galang tebusan.

Naskhah Haji Murat telah diadaptasi oleh Anwar daripada novel Leo Tolstoy (War and Peace & Anna Karenina). Teater berkenaan diarahkan oleh Aris Othman dan A. Wahab Hamzah.

Teater ini akan dipentaskan oleh Badan Budaya DBP akan mementaskan Teater Perdana Haji Murat pada 26 hingga 29 Jun ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Teater itu dipentaskan sempena sambutan Ulang Tahun ke-68 penubuhan DBP.

Pementasan teater Haji Murat merupakan satu kegiatan pengembangan oleh DBP dalam mengangkat karya yang bermutu untuk dipentaskan agar mesej yang baik dalam penghasilan sesebuah karya itu dapat dikongsikan kepada masyarakat.

Pengerusi Badan Budaya DBP, Aris Othman berkata, pementasan teater perdana DBP itu menggambarkan hasrat dan matlamat DBP untuk memasyarakatkan rakyat Malaysia melalui sastera.

“DBP tidak pernah jemu menerbitkan karya-karya sastera yang bermutu yang bersumberkan bahan daripada dalam dan luar negara. Melalui sastera jugalah jati diri terbentuk seterusnya melahirkan masyarakat yang cinta dan sayang terhadap tanah air,” katanya dalam sidang akhbar pementasan Teater Haji Murat di Wisma DBP di ibu pejabat DBP baru-baru ini.

Aris berkata, teater Haji Murat yang mengangkat tema perjuangan, kebebasan, kasih sayang, dan semangat setia kawan dipilih kerana ia bersesuaian dengan tema sambutan ulang tahun kali ini iaitu Kesaktian Lidah Rakyat.

“Yang menariknya, pementasan ini melibatkan sepenuhnya Karyawan DBP sebagai tenaga produksi dan sebahagiannya juga terlibat sebagai pelakon dalam pementasan kali ini yang juga dijayakan oleh pelakon-pelakon hebat dalam bidang teater seperti Mohd. Kamarulzaman Taib atau Che Kem, Dr. Rusdeen Suboh atau Kudin, Ard Omar dan ramai lagi. Keseluruhan produksi dan pelakon yang terlibat dalam menjayakan pementasan ini kira-kira 70 orang.

“Jika boleh, kami ingin mengulangi kejayaan tahun lepas, iaitu pementasan teater perdana Balada Si Angsa Hitam karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan,” katanya yang juga merupakan Pengarah Bersama teater itu bersama-sama A. Wahab Hamzah.

Teater tersebut diadaptasi daripada sebuah novel pendek yang juga karya terakhir ditulis oleh Sasterawan Dunia, Leo Tolstoy dari 1896 hingga 1904, dan diterbitkan selepas kematiannya sekitar tahun 1912.

Karya agung yang diterjemah oleh penggiat sastera dunia, Dr. Victor Pogadaev pernah diterbitkan oleh DBP pada tahun 2001 melalui suntingan Anwar.

Pementasan teater Haji Murat diterbitkan bersama oleh Badan Budaya DBP, DBP dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN