Aripin Said kental perjuang lagu rakyat. penyambung penglipur lara

Kental perjuang lagu rakyat dan penyambung legasi penglipur lara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tokoh Budaya Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr. Aripin Said teruja aksinya menyanyi lagu-lagu rakyat sambil menepuk rebana diabadikan dalam bentuk lukisan oleh pelukis Pahang, Osman Limat baru-baru ini.

Keterujaan beliau kerana usaha dan minatnya memartabatkan seni warisan Melayu seperti menepuk rebana sambil menyanyi lagu-lagu rakyat, bersyair, bergurindam dan lain-lain bermula sejak tahun 1970 dihargai orang !

Menurutnya, lagu-lagu rakyat sudah dipersembahkan di televisyen hitam putih tahun 1974 dengan penampilan pertama lagu Amboi-Amboi sebelum ditukar Lemak Manis. Demikianlah perjuangan menyambung kerja penglipur lara zaman silam.

ARIPIN SAID

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Aripin mengakui telah bertemu dengan tokoh-tokoh penglipur lara semasa hayat mereka menjadikan lagu-lagunya sangat mutlak dan asli sebagai warisan silam.

“Mereka mengekalkan identiti asal lagu-lagu rakyat dan seni Melayu dan menarik minat pencinta seni orang luar seperti melihat rebana ditepuk sambil menyanyi menggunakan suara asal.

“Pendengar di negara Asia Pasifik, Eropah, Sri Lanka, Afrika Selatan ( Cape Town) sangat gemar mendengar lagu-lagu rakyat kerana katanya mempunyai nilai pendidikan membentuk manusia,” ceritanya baru-baru ini.

Ketokohan Aripin dalam bidang tersebut diperakui di dalam dan luar negara. Sehingga ini lebih daripada 4,000 sarjana sudah merujuk lagu-lagu beliau khususnya di Asia Pasifik.

Lebih menarik, perjuangan Aripin berterusan hingga kini. Rujukan lagu-lagu rakyat oleh cendekiawan asing menjadikan lagu-lagu beliau sangat mutlak khususnya lagu rakyat Pahang.

Menge­nang masa lalu Aripin menemui lebih 10 penglipur lara. Mereka tidak ramai kerana yang terpilih memiliki keistimewaan dan bertahan sebagai sebagsi penglipulara.

Mengulas lanjut mengenai Osman Limat, 76, Aripin berkata, beliau masih lagi berkarya walaupun pergerakan agak terbatas atas faktor usia tetapi cintanya terhadap seni lukisan terus hidup meniti arus zaman.

Menurut Aripin lagi, dia datang ke Kuantan apabila dimaklumkan pelukis serba boleh itu melukis aksinya menyanyi lagu-lagu rakyat sambil menepuk rebana dalam satu majlis rasmi di bandar raya Kuantan tahun lepas.

“Lukisan Osman hidup seperti gambar yang dirakam menggunakan kamera digital. Oleh itu memang layak beliau dianugerahkan pelukis kebangsaan beberapa tahun lepas.

“Osman atau Pak Man selain dianugerahkan kemahiran melukis, dia adalah bekas pelumba basikal negara dan digelar sebagai ‘Raja Bukit’ dalam sukan lumba basikal pernah melatih M Kumaresan,” ujar Aripin.

Menurutnya lagi, menyanyi lagu rakyat dengan aksi sedemikian sudah melangkaui seluruh ASEAN, Eropah, Sri Lanka, Afrika Selatan.

Tambah beliau, selain membuat penyelidikan lagu-lagu rakyat yang dirakam dalam tujuh album, beliau juga menulis kira-kira 200 buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Menurutnya, lukisan hadiah Pak Man antara koleksi berharga yang disimpan dalam dalam galeri bersama bahan lain di kediaman di Bangi, Selangor.

LAGU lagu rakyat yang dirakam dan diabadikan dalam bentuk digital.

Justeru, beliau bercadang mewujudkan galeri pribadi yang lebih luas di rumah keduanya di Kuala Semantan, Temerloh dalam tempoh terdekat ini.

Tambah beliau, Osman Limat antara tokoh anak Pahang yang memiliki pelbagai bakat anugerah Allah menyumbang bakti menaikkan nama Pahang di peringkat nasional.

“Dalam usia yang semakin senja ini, seharusnya ada pihak mengambil peduli akan kehidupannya khususnya membabitkan kos perubatan dan sebagainya, “ ujarnya.

Tambahnya, beliau adalah figura yang dihormati dan banyak memberi inspirasi kepada seniman seniman yang sebayanya dan tentu sahaja kepada golongan yang lebih muda.“Semangat kental beliau yang tidak pernah jemu berkarya mengangkat statusnya sebagai seniman luar biasa dan aset kepada  Bumi Pahang,”katanya.

Bagaimanapun tegas Aripin, berdasarkan bakatnya, Osman mampu pergi lebih jauh dalam garisan seni dan warna-warni lukisan beliau mampu pergi ke peringkat antarabangsa.

Oleh itu, Aripin berharap ada organisasi atau mana-mana agensi mahu korporat dapat membantu karyawan rakyat Pahang ini melangkah ke peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, beliau berkeyakinan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man mengambil inisiatif bagi merealisasikan hasrat besar Osman.

Menurutnya, wakil rakyat DAP dari Triang dalam Kerajaan Perpaduan itu dilihat lebih terbuka, ikhlas dan komited membangunkan aset dan bakat istimewa rakyat dalam pelbagai bidang.

Tambahnya, nasib Osman yang dilihat tidak dipedulikan bakatnya dalam bidang seni lukis antara figura yang hanya akan dikenang jasanya apabila’ nyawanya sudah tiada’.

Tegas Aripin, ungkapan popular orang Melayu ‘ Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama’ tidak lagi bererti kepada seseorang tokoh jika sudah kembali ke dunia abadi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×