Kehilangan yang aneh

Kehilangan yang aneh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGUNAN yang bernama sekolah itu berdiri megah di tengah-tengah bukit melambai-lambai menggamit dan menghulurkan tangan kepada pelajar-pelajar yang sudah mencapai akil baligh untuk menuntut ilmu di situ.

Sekolah setinggi empat tingkat itu tidak seperti kebanyakan bangunan di ibu kota malah langsung tidak gah di mata mereka yang suka berpeleseran atau pun membeli-belah. Malah sekolah tidak langsung melekap di bibir masyarakat. Paling tidak disebut acapkali tatkala bermulanya sesi persekolahan. Maka akan berduyun-duyunlah ibu bapa, pelajar-pelajar yang akan ke bangunan tersebut. Tatkala itu, bangunan yang bernama sekolah akan tersenyum dan mendepakan tangan mengalu-alukan kehadiran para pelajar untuk menuntut seberapa banyak ilmu di dadanya.

Namun berita pukul 8 malam yang ke udara di skrin televisyen benar-benar mengejutkan semua penghuni di seluruh negara. Sekolah yang sering menggamit dengan kerdipan cahaya penyuluh kepada pencarian ilmu tiba-tiba ghaib daripada pandangan mata manusia.

Pandangan ditumpukan ke skrin kaca dengan penuh kejutan. Perhatian diberikan segenapnya menyorot inti utama berita. Berita yang berlegar-legar dalam skop yang amat mengejutkan. Wartawan berpusu-pusu membuat liputan menyeluruh tentang ghaibnya sebuah sekolah.

Di suatu sudut di atas sofa empuk, Datuk L duduk tercatuk seperti seekor burung. Memerhati dengan penuh kehairanan. Remote control ditekan-tekan berulang kali. Sekejap pada saluran 10 sekejap pada saluran 12. Kesemua saluran televisyen hanya memaparkan cerita sama iaitu ghaibnya sebuah sekolah secara tiba-tiba.

Mustahil! Sekolah sebesar itu boleh ghaib begitu sahaja tanpa dapat dikesan? Siapa pula yang berniat jahat menganiaya anak-anak untuk menuntut ilmu? Soal Datuk L bertalu-talu di dalam hati.

Beberapa minit kemudian, kedengaran telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Hatinya yang sudah semakin berdetik kuat seperti bom jangka itu bertambah berdebar apabila tertera nama pemanggil yang memang dikenalinya.

Datuk L cuba mengerahkan seluruh kekuatannya untuk menjawab panggilan daripada pihak atasan. Serta-merta dia menjawab panggilan itu dengan sedikit gugup.

“Datuk, sudah tengok berita di televisyen?” tanya pihak atasan.

“Su…Sudah.” Datuk L menjawab terketar-ketar menahan takut.

“Apa yang telah berlaku Datuk?” soal pihak atasan lagi.

Datuk L tidak menjawab. Dadanya berombak-ombak menahan getaran. Dia paling takut apabila diajukan soalan yang dia sendiri tidak tahu akan jawapannya.

Selama ini jika ada sesuatu masalah yang berkaitan dengan sekolah, dia pasti dapat menjawabnya dengan lancar. Namun kali ini dia tidak mampu memberikan jawapan. Sungguh! Pada detik itu nyawanya seperti melayang entah ke mana. Hanya jasad sahaja yang masih berdiri teguh di situ.

“Datuk L!” sergah pihak atasan menyebabkan Datuk L tersentak dan terus terjunam ke alam nyata.

“Sa…saya.” Datuk L membalas dengan suara yang tersekat-sekat di hujung talian.

“Saya mahu Datuk siasat perkara ini. Ini perkara yang sangat serius. Perkara yang melibatkan pendidikan. Jika sekolah tidak ada, mana mungkin sesebuah negara dapat melahirkan generasi yang mempunyai pelajaran dan berpendidikan?

“Negara kita pasti akan jadi mundur. Mana mungkin negara kita dapat bersaing dengan negara lain di luar sana? Saya rasa tentu Datuk faham betapa pentingnya sekolah kepada negara!”

Penjelasan yang panjang lebar mengenai pendidikan di sekolah itu hanya didengar oleh Datuk L dengan anggukan kepala. Dia juga bersetuju dengan pendapat itu.

Sekolah adalah sebuah bangunan atau tempat yang berfungsi untuk memberikan pendidikan kepada pelajar. Malah banyak sekolah dibina untuk tujuan pendidikan. Datuk L kembali termenung apabila memikirkan tentang definisi sekolah itu sendiri.

“Datuk L! Datuk L!” Jerit pihak atasan dari corong telefon bimbit. Serta-merta Datuk L tersentak.

“Saya mahu Datuk L ke salah sebuah sekolah yang ghaib itu. Saya mahu tahu apa sebenarnya yang telah terjadi? Kumpulkan seberapa banyak maklumat mengenai kejadian ini. Datuk L mesti lebih pantas daripada wartawan-wartawan di luar sana. Faham!”

Tepat puku 6 pagi, Datuk L sudah terpacak di hadapan sebuah sekolah. Dalam samar-samar subuh itu, dia melihat ke arah bangunan sekolah yang dikatakan telah ghaib daripada pandangan mata manusia. Dia berasa sangat aneh kerana situasi di situ sememangnya kosong dan rata. Langsung tidak ada bayangan sekolah di situ.

Hatinya mula berasa cemas. Dia beralih ke kereta dan mengarahkan pemandunya menuju ke sebuah lagi sekolah di kawasan pertempatan penduduk di situ. Juga masih sama pandangannya malah bangunan sekolah di situ juga turut ghaib. Hanya tanah lapang dan sebuah padang yang menghijau menunggu ketibaannya di situ.

Datuk L menggaru-garu kepalanya yang beruban itu berkali-kali. Kemudian dia mengenyeh-ngenyehkan mata berulang-kali seolah-olah tidak percaya dengan apa yang telah terjadi.

Mustahil? Langsung tidak ada bangunan sekolah di sini. Ke mana perginya bangunan itu? Tidak masuk akal jika dicuri orang ataupun sudah dirobohkan? Hmm…siapa yang tergamak berbuat onar begini? Bisik hati kecil Datuk L seketika.

Sedang Datuk L leka memikirkan itu dan ini, tiba-tiba bahunya dicuit orang. Dia melihat seorang pengawal di sekolah itu lengkap beruniform. Datuk L merenung pengawal keselamatan itu dengan penuh tanda tanya.

“Encik…Encik ini siapa?” Soal pengawal itu dengan penuh kehairanan.
“Saya Datuk L. Saya diarahkan untuk melihat sendiri keadaan di sini.” Ujar Datuk L sambil berjabat tangan dengan pengawal keselamatan.

“Oh, maafkan saya Datuk.” Kata pengawal keselamatan itu sedikit gugup.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku/” Soal Datuk L.

“Entahlah Datuk. Semalam ketika saya menggantikan rakan saya untuk bertugas di pondok kawalan, bangunan sekolah masih ada. Tetapi selang satu jam kemudian tiba-tiba sahaja bangunan sekolah terus ghaib.” Jelas pengawal itu.

“Selang satu jam? Pukul berapa bangunan sekolah itu mula ghaib?” Tanya Datuk L dengan kening yang seakan berlaga-laga.

“Lebih kurang pukul 7 pagi,”balas pengawal itu lagi.

“Pukul 7 pagi?” Datuk L kehairanan.

“Iya. Pukul 7 pagi. Kesemua pelajar dan guru tidak dapat memasuki bangunan sekolah kerana bangunan sekolah tiba-tiba ghaib di depan mata mereka.

“Pengetua dan beberapa guru telah melaporkan kehilangan sekolah kepada pihak polis.” Jelas pengawal itu seperti lagak seorang wartawan bebas.
Beberapa minit kemudian, Datuk L mula melihat kelompok orang ramai yang datang berpusu-pusu membanjiri kawasan itu. Ada di antara mereka yang membawa anak-anak berpakaian uniform sekolah lengkap. Masing-masing kelihatan tercari-cari bangunan sekolah di kawasan itu.

Usai memperkenalkan diri, Datuk L terus diterjah dengan pelbagai kata rayuan dan memohon simpati daripada kelompok itu. Datuk L terkedu seketika. Hatinya terlalu sebak.

“Datuk, tolonglah anak saya. Anak saya mahu belajar dan menuntut ilmu. Tolonglah kembalikan bangunan sekolah ini, Datuk. Tolonglah kami!” kata salah seorang penduduk di kawasan itu dengan suara sedu-sedan.

Beberapa minit kemudian, telefon bimbitnya berdering kuat.

“Helo Datuk L,” suatu suara seorang lelaki bergema melalui corong telefon itu. Serta merta wajah Datuk L berubah.

Datuk L melihat di skrin telefon bimbitnya namun langsung tidak ada nama yang tertera di skrin tersebut.

“Siapa?” Soal Datuk L dengan gugup.

“Datuk, mungkin Datuk tidak kenal saya tetapi saya kenal Datuk. Saya tahu apa yang sedang berlaku, Datuk.” Jelas suara itu lagi.

Kali ini Datuk L tersentak. Dia sama sekali tidak dapat mengecam suara si pemanggil itu.

“Apa yang kamu mahu?” Soal Datuk L. Terdengar ketawa di hujung talian.
“Datuk, cuba lihat di hujung sebelah kanan Datuk,” perintah lelaki itu.

Datuk L melihat ke arah kanannya. Di situ dia melihat beberapa pelajar lelaki sedang berpeleseran sesama mereka. Malah ada di antara mereka yang tidak segan silu menghisap rokok di luar kawasan sekolah. Beberapa pelajar perempuan asyik berborak dan tampar-menampar tanpa mempedulikan orang ramai yang lalu-lalang di situ. Meskipun jam sudah menunjukkan pukul 7.45 pagi namun mereka masih leka dengan aktiviti yang tidak langsung menjamin kehidupan mereka.

“Datuk, tentu Datuk nampak apa yang menyebabkan bangunan sekolah itu ghaib. Ini semua adalah natijah daripada perlakuan mereka!” Kata suara itu kuat.

Datuk L tergumam. Sebelum ini dia terlalu sibuk dengan tugasnya di pejabat sehinggakan dia tidak tahu apa yang berlaku di kawasan sekolah. Hatinya tiba-tiba dijentik dengan kekesalan. Rasa sedihnya menjalar ke seluruh sanubarinya.

“Jika pelajar-pelajar itu melakukan kesalahan, mengapa pula pelajar lain yang tidak terlibat turut dikenakan hukuman? Bukankah itu tidak adil?” Bentak Datuk L kuat.

“Datuk, ingat lagi pepatah kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga?” Suara lelaki itu masih lagi ingin berfalsafah.

Untuk kali ini Datuk L benar-benar terjerat dengan pepatah itu. Dia ingat dan tahu maksud yang tersirat. Dia belajar pepatah itu sejak di sekolah lagi. Kali ini hatinya benar-benar keresahan. Perkara ini pernah berlaku pada masa pandemik Covid-19 iaitu sekolah sesi persekolahan langsung tidak dibenarkan. Lantaran itu pelbagai kaedah turut dilaksanakan.

Namun, atas permintaan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka bersekolah dan Pengajaran dan Pembelajaran secara bersemuka maka sekolah dibuka semula. Sukar untuk mengajar jika di alam maya. Barangkali itu tanggapan semua yang terlibat.

“Tolonglah! Jika sekolah tidak ada, bagaimana guru-guru dapat mencurahkan segala ilmu untuk mendidik pelajar? Bahkan, jika sekolah tidak ada sudah pasti ramai yang tidak mempunyai pelajaran dan pendidikan. Tolonglah!” Rayu Datuk L tanpa segan.

Sunyi dan sepi. Tidak ada kata-kata yang keluar dari telefon bimbit itu. Hanya yang kedengaran nafas yang sesak. Barangkali kata-kata Datuk L itu membuatkan si pemanggil turut bersimpati dan berdukacita. Datuk L juga dapat menganggap bahawa rayuannya itu dapat pula mencairkan sifat kemanusiaan si pemanggil misteri itu.

“Datuk, tidak semudah itu! Biar semua orang tahu sekolah juga mempunyai perasaan sama seperti manusia. Jika terus ditindas dan dianiaya sudah tentu sekolah juga merajuk.

“Lebih baik sekolah itu ghaib dan hilang tanpa jejaknya. Biar semua rasakan apa yang kami rasai. Pedih! Sedih! Dan terhina dengan sikap manusia yang tidak pernah menghargai peluang yang diberi!” Bentak suara lelaki itu dengan marah.

Sekali lagi Datuk L tersentak.

“Beginilah. Ambillah apa sahaja daripada saya untuk menebus segala kesalahan pelajar-pelajar itu. Saya rela dan kembalikan sekolah kepada pelajar-pelajar yang tidak berdosa agar mereka boleh menuntut ilmu. Setuju?” Soal Datuk L.

Usai berkata demikian serta-merta otak Datuk L tidak berfungsi. Dia kini hilang ingatan sepenuhnya. Namun di hadapannya bangunan sekolah yang ghaib itu muncul secara tiba-tiba di hadapannya. Orang ramai bersorak keriangan.

Suara misteri itu terus memanggil Datuk L. Dan buat penghabisan kalinya Datuk L menyedari sekolah itu ghaib dan merajuk kerana hasil daripada kerakusan dan ketamakannya selama ini. Tatkala talian dimatikan dia sedar bahawa suara itu sebenarnya datang dari dalam dirinya sendiri. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×