Masih relevankah puisi pada zaman teknologi serba pantas ini?

Masih relevankah puisi pada zaman teknologi serba pantas ini?

SASTERAWAN Negara Datuk Rahman Shaari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Manusia banyak menggunakan platform media sosial untuk tujuan komunikasi secara pantas dan bukan berkongsi sesuatu yang lebih serius seperti puisi.

Bahasa yang membin­cangkan sesuatu yang berat dan serius tidak lagi popular dalam media sosial.

Justeru, sesiapa yang menghasilkan puisi dan berkongsi dalam media sosial mungkin tidak mendapat maklum balas yang panjang hanya kerana tidak ramai mahu membacanya secara serius. Itu cabaran puisi dalam zaman ini.

Puisi moden mula dihasil­kan di Tanah Melayu sejak dekad 1930-an. Sebelum itu, puisi dikenali ialah pantun dan syair.

Banyak aliran puisi kini bergantung kepada sikap dan gaya penciptanya. Dalam dekad 1930-an puisi moden dan 1940-an dan 1950-an, kebanyakannya beraliran romantisme dan protes. Kini, kita temukan aliran surealisme oleh Latiff Mohidin, intelektualisme oleh Muhammad Hj. Salleh dan beberapa pemuisi.

Kekuatan sesebuah puisi bergantung kepada beberapa faktor antaranya termasuklah unsur-unsur diksi, metafora, pembinaan baris, dan beberapa lagi. Dalam bidang pementasan puisi, puisi menjadi kuat jika berjaya dideklamasikan dengan baik.

Puisi juga menjadi kuat jika bahasa yang digunakan membawa makna yang mendalam. Penyair yang ingin berjaya dengan cemerlang hendaklah mendapatkan kaedah penghasilan puisi yang tersendiri dan mantap.

Penggunaan metafora penting kerana menunjukkan kekayaan bahasa dan nilai puisi tersebut, namun pengulangan metafora lama akan menyebabkan puisi jadi klise.

Metafora yang digunakan oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, amat memikat pembaca. Namun, jika penyair baharu cuba menirunya, mereka akan gagal bukan sahaja tidak mampu mengatasi gaya Usman Awang, malah karya-karya mereka akan hilang dalam arus penghasilan puisi.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia Sasterawan Negara Datuk Rahman Shaari berkata, metafora terbahagi kepada dua iaitu metafora lama dan metafora baharu. Contoh metafora lama ialah ‘segunung intan’, manakala contoh metafora baharu ialah ‘sebuah kehadiran’.

Setiap yang baharu akan menjadi lama juga. Kini, jika sebut ‘permata hati’ kita tidak merasai kebaharuan, kerana frasa itu telah diulang-ulang sejak lebih dua puluh tahun.

Setakat ini, kata beliau, terdapat beberapa aliran puisi yang diperkenalkan oleh beberapa pengkarya. Usman Awang membawa aliran humanis- romantis. Puisi ini menghargai keindahan alam.

Puisi yang melukiskan rasa cinta antara pasangan juga tergolong dalam aliran ini. Puisi “Kekasih” karya Usman ialah puncak puisi romantisisme sejauh ini.  Puisi humanisme pula ialah puisi yang memuatkan rasa simpati kepada manusia yang bernasib malang. Antara lain, Usman menghasilkan puisi “Kemanusiaan”

Menurut Rahman, Latiff Mohidin, menghasilkan puisi beraliran surealisme. Pada dasarnya, aliran ini berasaskan mimpi, iaitu muncul daripada bahagian tak sedar (unconscious).

Puisi ini menurut beliau adalah hasil pengaruh psikologi Freudian. Ini tidak membawa maksud Latif mengkaji psikoanalisis Freud. Seseorang yang memilih aliran yang memuatkan unsur sedemikian, dikategorikan sebagai pengamal gaya Freudian. Sajak

“Sungai Mekong” karya Latif Mohiddin ialah contoh yang jelas.

Sasterawan Negara Muhammad Haji Saleh pula membawa aliran intelektualisme, sementara sejumlah karya Zurinah Hasan dikategorikan sebagai beraliran falsafah.

Berkaitan dengan puisi yang membawa makna secara kabur, iaitu yang sukar difahami, Rahman mengatakan puisi sedemikian hendaklah dihadapi melalui penggunaan Teori Resepsi (Penerimaan). Teori ini dikemukakan HR Jauss.

Berkaitan deklamasi, Rahman Shaari mengatakan, dalam menyampaikan puisi kepada khalayak, kemahiran kemahiran tertentu wajar dikuasai. Dalam deklamasi yang berkesan, deklamator hendaklah menunjukkan gerak badan dan mimik muka yang sesuai dengan kandungan puisi. Suara juga mesti diterbitkan secara berpadanan dengan tema. Tujuannya adalah agar puisi itu berjaya dipersembahkan dengan tepat dan berkesan.

Kata Rahman, kemahiran dimaksudkan adalah kema­hiran psikomotor. Rahman menyebutkan cadangan yang pernah dikemukakan oleh Sasterawan Negara A Samad Said, iaitu aplikasi dekon.

Dekon ialah akronim bagi deklamasi lakon. Rahman mengatakan, persembahan puisi artistik yang sempurna hendaklah disertai mestamu bersama-sama dekon. Mestamu ialah melodi sajak tanpa alat muzik.

Justeru dalam pengucapan artistik puisi, elemen deklamasi, dekon dan mestamu, hendaklah bergandingan. Seorang deklamator, atau gabungan beberapa orang deklamator bolehlah memikirkan kaedah terbaik untuk memperluaskan penyebaran seni puisi, agar diminati oleh masyarakat.

Perlu disebutkan, Rahman mempelopori persembahan dalam tahun 1993, iaitu semasa beliau menjadi pensyarah di Universiti Malaya.

Ukuran kejayaan sesebuah persembahan puisi artistik adalah kekaguman penonton, tetapi itu adalah subjektif, tambahnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×