Kita ketandusan penulisan biografi

Kita ketandusan penulisan biografi

ROOSFA HASHIM menunjukkan buku biografi Einstein The Life Of a Genius di pejabatnya di UIA Gombak Selangor. – mingguan/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penulisan biografi dan memoir melibatkan tokoh-tokoh ternama di negara ini masih kurang dan ini satu kerugian kepada khazanah ilmu.

Penulisan biografi atau memoir ini penting memandangkan ia satu kaedah mengumpul maklumat ketokohan individu yang ditulis mengenai dirinya untuk dijadikan sumber inspirasi, dan panduan dalam kerjaya hidup.

Penulis biografi melibatkan orang lain menulis tentang ketokohan individu berkenaan manakala memoir merujuk kepada individu itu sendiri menulis tentang dirinya atau ditulis oleh orang lain. Mengapa penulisan sedemikian belum dijadikan budaya bagi menampilkan ketokohan seseorang? Apakah Malaysia kurang tokoh yang boleh diketengahklan sebagai subjek atau penulis tidak berminat disebabkan oleh faktor tertentu

Betul, cabarannya agak besar dan risikonya juga besar.

Cabarannya agak besar kerana individu berkenaan mungkin tidak bersedia untuk berkongsi kisah hidupnya yang dianggap terlalu peribadi dan mungkin ada cebisan kisah yang menjatuhkan reputasi maruah dan air mukanya.

Risikonya pula besar kerana kita tidak tahu siapa pembaca yang berminat mengetahui mengenai individu berkenaan.

Justeru, tidak ada makna jika kita menulis sebuah penerbitan tetapi tidak ada sesiapa yang berminat membacanya.

Berkongsi pengalaman menulis buku genre tersebut pensyarah di Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr. Roosfa Hashim berkata, antara masalah kenapa penulis buku biografi kurang ketika ini berdasarkan kepada masalah semasa rakyat kita yang kurang minat membaca.

“Perlu ada kempen menanam minat membaca dalam kalangan rakyat (Malaysia) macam dulu, perlu ada pembudayaan dan buat pengisian yang bermakna, bukan sekadar slogan,” ujar anak jati Bangsar, Kuala Lumpur ini.

Cabaran menulis buku ini besar kerana berhadapan dengan kerenah individu yang disasarkan , kemungkinan beliau enggan memberi kerjasama sepenuhnya, tidak selesa berkongsi kisah hidup terutama sisi sisi gelap dan terlalu peribadi.

Roosfa memberi tips supaya penulis mendapatkan maklumat peribadi atau vitae kurikulum (CV) tokoh berkenaan bagi mendapat gambar menyeluruh mengenai dirinya.

Kemudian, penulis perlu berusaha mendapatkan individu yang rapat dengan tokoh berkenaan seperti sahabat rakan, saudara mara atau keluarga terdekat.
“Selain itu, bagi mendapatkan maklumat lain, perlu juga mendapatkan individu lain yang yang dianggap musuh atau pesaing kepada tokoh berkenaan terutamanya jika beliau seorang ahli politik, “ ujarnya kepada Mingguan Malaysia.

Semua maklumat tersebut penting bagi mendapatkan gambaran penuh tokoh tersebut tentang dirinya dan sisi sisi gelap jika ada dalam hidupnya.

Roosfa turut berkongsi tips bahawa menulis sebuah buku biografi ibarat penulis menghasilkan sebuah novel

Apabila maklumat-maklumat itu diperoleh, penulis perlu merangka sebuah plot besar dan disusuli plot-plot kecil bagi menghasilkan cerita menarik bagaikan sebuah cerita novel yang disulami unsur unsur saspens, dramatik, anekdot dan gabungan cerita yang benar benar seronok untuk dibaca pada setiap bab. Beliau memberi contoh biografi saintis terkenal dunia Albert Einstein: The Life Of The Genius turut disertakan tulisan tangan tokoh berkenaan yang diselitkan dalam buku tersebut.

Roosfa turut kagum dengan biografi yang menceritakan sejarah panjang kisah hidup pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela yang dipenjara selama 27 kerana perjuangan menentang apartheid.
Begitu juga biografi pemimpin India, Mahatma Ghandi yang menarik untuk dijadikan inspirasi sebagai seorang pemimpin.

Roosfa juga berpe­ngalaman menghasilkan beberapa buku biografi antaranya termasuklah Perjalanan Politik Khaled Nordin, dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjudul Perjalanan Politik Abang Johari Premier Sarawak dan sebuah lagi buku mengenai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar :Meredah badai memimpin transformasi. Mohd Ghazali Abdul Rahman 1938-2007 Dari Mercu ke Mercu.

Roofsa pernah menjadi Pengarah IIUM Press dan pernah menerbitkan sejumlah buku tentang penerbitan dan penulisan serta menjadi anggota Lembaga Pengarah International Union of Islamic Book Publishers (IUIPB).

Roosfa juga sedang menyiapkan biografi Abang Johari dalam versi Inggeris serta biografi parti pimpinan Premier Sarawak itu, PBB

Pengalaman manis beliau banyak tercatat ketika menghasilkan biografi Abang Johari kerana kemesraan tokoh politik daripada Sarawak itu dan kakitangan pejabatnya banyak membantu penghasilan biografi berkenaan yang berjaya disiapkan dalam tempoh 12 tahun.

Perjalanan hidup Abang Johari sangat menarik kerana beliau sebenarnya tokoh yang didik menjadi ahli politik yang jujur, berdedikasi dengan tugas, apatah lagi bapanya Tun Openg merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang pertama.

Kejayaan Abang Johari mendaki tangga politik dengan cermat, sopan dan perlahan-lahan tetapi disulami sikap kematangan beliau dipenuhi peristiwa dramatik, berwarna- warni akhirnya menjadi tokoh terbilang pemimpin nombor satu Sarawak. Roosfa bagaimanapun berharap dapat menulis biografi mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana berpendapat banyak lagi maklumat mengenai negarawan berkenaan yang tidak dikongsikan kepada orang ramai.

“(Saya berpendapat) Tun (Mahathir) tidak berkongsi semua isu, beliau perlu menjawab beberapa persoalan lain kepada masyarakat,“ ujar Roosfa yang berharap penulis biografi dan memoir diperbanyakkan di negara ini.

Beliau berpendapat sikap segelintir individu yang enggan berkongsi kisah hidup terutama mereka yang dianggap berjaya menjadi penghalang.
Ini kerana beliau mendakwa, individu berkenaan bimbang pengkongsian kisah kejayaan hidup itu boleh dianggap sebagai riak sedangkan ia penting untuk dijadikan inspirasi kepada orang lain.

Bagaimanapun katanya, sekiranya ia tidak dilakukan, tidak ramai yang tahu kisah hidup Nabi Muhammad SAW.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×