Gema sastera Sabah

Gema sastera Sabah

JASNI MATLANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bidang kesusasteraan di mana pun akan tetap ada peminatnya. Perkembangan bidang tersebut bergantung kepada sejauh mana aktifnya penggiat sastera merencana dan menganjurkan program dan berapa banyaknya karya sastera dihasilkan.

Hal yang sama berlaku di Sabah. Perkembangan bidang sastera dan bahasa di Sabah sama seperti di Semenanjung, tidak ada beza dan tidak kurang menariknya.

Perkembangan tersebut berdasarkan beberapa perspektif. Misalnya, dari segi pelaksanaan program sastera, Sabah adalah antara negeri yang paling aktif di negara ini dalam menganjurkan pelbagai kegiatan sastera terutama yang dianjurkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).

Berkongsi perkembangan bidang kesusasteraan di Sabah, Presiden BAHASA dan juga Presiden Komuniti Puisi Esei ASEAN, Datuk Jasni Matlani berkata, pelbagai kegiatan sastera dianjurkan secara konsisten setiap tahun di negeri di bawah bayu itu seperti Festival Antarabangsa Kesusasteraan dan Kesenian Sabah dan juga Festival Puisi Esei.

Malah BAHASA sering dianggap sebagai NGO berkaitan sastera yang paling aktif yang menganjurkan pelbagai program sastera, selain Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara dan juga Persatuan Penulis Johor, di Johor.

“Jika kita lihat dari segi penerbitan buku pula, Sabah juga antara negeri di Malaysia yang menerbitkan buku yang banyak dalam pelbagai genre, buku ini ditulis oleh generasi muda dan penulis mapan, sama ada diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau penerbit lain,” ujarnya yang juga pemenang Sea Write Award 2015.

Ada juga penerbit lain yang ditubuhkan di Sabah seperti Iris Publishing and Distributor, yang banyak menerbitkan bukan sahaja buku kreatif, tetapi juga buku bukan kreatif.

Perkembangan ini tidak berlaku sebelumnya. Malah dari 1970 hingga 2010, Sabah merekodkan jumlah buku yang diterbitkan di negeri ini tidak pernah melebihi lapan judul buku setahun. Namun selepas 2012, jumlah itu semakin meningkat kepada lebih 15 judul buku setahun dan ini menunjukkan perkembangan yang positif.

Menurut Jasni, 61, ada antara buku tersebut memenangi Hadiah Sastera Sabah, bagi kategori buku.

Malah, pada penilaian 2019/2020, tiga buku hasil karya beliau memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Masing-masing bagi kategori buku kumpulan cerpen yang berjudul Perempuan Aneh Yang Meletupkan Diri di

Dalam Gelas (Iris Publishing & Distributor: 2020), buku Kumpulan esei kritikan yang berjudul Angin Perubahan : Memperkasakan Sastera Melayu di Sabah (DBP:2019) dan juga buku memoir/buku biografi yang berjudul Angin Perubahan: Memoir Jasni Matlani.

“Saya fikir selama ini tidak ada mana-mana penulis di Malaysia, malah Sasterawan Negara sekali pun, yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, untuk tiga buku hasil karyanya sendiri, dalam tempoh satu tahun penilaian

“ Malah banyak lagi pencapaian penulis Sabah dalam pertandingan menulis karya kreatif di peringkat kebangsaan dalam beberapa tahun mutakhir ini.

“Seterusnya, kita di Sabah juga melahirkan ramai pendeklamator puisi yang berjaya menjadi juara deklamator puisi di peringkat kebangsaan dalam tempoh lapan tahun terakhir ini.
“Kalau semua ini dijadikan ukuran, kami di Sabah sebenarnya bergerak ke arah yang betul dalam memperkasakan sastera Melayu di Sabah, malah di peringkat kebangsaan dan serantau,” ujar anak kelahiran Beaufort, Sabah ini.

Justeru kata Jasni, berdasarkan perkembangan itu, beliau tidak pernah melihat sastera Sabah terpinggir berbanding Semenanjung, sebaliknya sastera Sabah kini menjadi bahagian daripada sastera kebangsaan.

Kata Jasni, sekiranya satu program sastera dianjurkan di Sabah ramai penulis dari seluruh negara datang dan berkampung di negeri berkenaan.

Malah bukan itu sahaja, penulis dari rantau ASEAN terutama dari Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand setiap tahun datang ke Sabah, malah turut memperkaya dan mengimarahkan sastera Sabah.

Dari satu sudut, kalau dilihat dari segi jumlah karya yang dihasilkan oleh penulis Sabah dan disiarkan dalam majalah sastera yang prestij seperti majalah Dewan Sastera, dapat dilihat ada saja karya penulis Sabah yang tersiar dalam majalah itu, baik dalam genre puisi, cerpen dan esei kritikan.

Menurut Jasni, buku-buku karya penulis Sabah juga semakin banyak diterbitkan oleh pelbagai penerbit di negara ini, malah ada buku penulis Sabah yang diterbitkan di Indonesia.

Selain itu, ada novel karya penulis Sabah yang dipilih menjadi buku teks sekolah yang dipelajari di Malaysia dan ada yang dipilih menjadi buku teks di Singapura. Justeru bagi Jasni, pencapaian sastera Sabah luar biasa.

Maka, andaian bahawa sastera Sabah itu terpinggir tidak benar.

Menyorot perkembangan bidang dan pengkaryaan sastera di negeri itu, berbanding era 1980-an dan 1990-an, ketika awal pembabitannya dalam bidang sastera dan penulisan, perjalanan sastera di Sabah, bergerak di landasan yang betul.

Meskipun terdapat beberapa akhbar tempatan di Sabah ditutup menyebabkan penulis negeri ini semakin kekurangan wadah bagi menampung karya, tetapi mereka terus berkarya dan menghantar karya di mana-mana wadah penerbitan yang masih aktif.

“Saya juga optimis Sabah boleh menjadi penunjuk jalan dalam bidang sastera, dan hal ini bukan sesuatu yang mustahil direalisasikan. Malah saya yakin lebih banyak karya penulis Sabah, akan mendapat pengiktirafan di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya juga yakin, pasti akan ada penulis Sabah yang akan diiktiraf ketokohannya di peringkat kebangsaan dan serantau dengan izin-Nya. Sampai waktunya, jauhari akan mengenal manikam juga akhirnya,” ujarnya lagi.
Jasni yang kerap turun padang, berziarah ke beberapa sekolah menengah terpilih di seluruh Sabah setiap tahun, dan seterusnya bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Sabah, berkolaborasi dengan guru-guru, demi untuk melahirkan generasi pelapis dalam bidang penulisan di Sabah.

Setiap kali BAHASA menganjurkan program bengkel penulisan ia mendapat sambutan yang amat baik daripada pelajar.

Tubuh syarikat penerbitan sendiri

Selain aktif dalam bidang sastera, Jasni juga menerbitkan buku sendiri atau menerbitkan karya para penulis lain di Sabah.

Beliau menubuhkan syarikat penerbitan sendiri bermula 2009, dengan iltizam supaya lebih banyak buku karya penulis Sabah diterbitkan.

Alhamdulillah sehingga kini syarikatnya menerbitkan lebih daripada 500 judul buku yang dihasilkan oleh penulis Sabah.

“Saya turut menulis dan menerbitkan sekurang-kurangnya 43 judul buku dalam pelbagai genre seperti puisi, cerpen, novel, buku kajian, esei kritikan, memoir dan biografi di sepanjang kerjaya saya sebagai penulis,” kata Jasni.

Daripada jumlah itu, empat daripadanya menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan enam lagi menang Hadiah Sastera Sabah, sebuah diberikan anugerah Buku Ketua Menteri Sabah dan sebuah lagi menang Anugerah Buku Negara.

“Saya fikir, inilah antara sumbangan saya yang termampu, demi memartabatkan bahasa dan sastera Melayu bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di peringkat kebangsaan dan serantau,” katanya.

Pernah suatu ketika, beliau menganjurkan pertandingan menulis novel dan sebagai urus setia pihaknya menerima lebih daripada 15 novel dan sebahagian daripada novel itu telah diterbitkan.

Pihaknya dan DBP juga sering menganjurkan bengkel perolehan manuskrip novel dan cerpen.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×