BAGI mereka yang lahir ketika era 1980-an dan 1990-an pasti mengenali Sireh, kartunis yang popular dengan karyanya berjudul Student Life dan Life Journey.
Dia antara salah seorang kartunis yang mewarnai industri komik pada satu ketika dahulu sebaris dengan nama lain seperti Sukun, Gayour, Ubi dan Bawang.
Kita tidak boleh menafikan sentuhan mereka ketika zaman kemuncak masih tetap dirindui terutama bagi sesiapa yang membesar dengan karya-karya kartunis terbabit.
Kini nama Sireh masih ‘bergema’ walaupun mungkin tidak sekuat seperti dahulu.Apatah lagi dia kini menjadi salah seorang tenaga pengajar dalam bidang animasi dan visual naratif di Fakulti Kreatif Multimedia, Universiti Multimedia.
Walaupun mempunyai tugasan tetap, Sireh masih berkarya di beberapa syarikat penerbitan tempatan.

“Antara karya terbaharu saya ialah karya bertajuk Sekapur Sireh di ruangan tetap yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! setiap Ahad.
“Saya juga masih berkarya sebagai kartunis jemputan di majalah Ujang dan APO? dan juga beberapa penerbitan tempatan, menghasilkan karya-karya yang menyentuh tentang jenaka kehidupan masyarakat di Malaysia,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dalam pada itu, Sireh ketika ditanya tentang kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk dalam industri kartun dan animasi berkata, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengkarya.
“Akan tetapi saya percaya pada masa akan datang ciptaan teknologi AI dan karyawan akan sama-sama berkembang seiring keperluan industri kreatif mengikut penggemar masing-masing.
“Di sinilah letaknya kebijaksanaan karyawan untuk menghasilkan suatu jenama karya unik yang lebih menarik daripada teknologi AI atau berevolusi dengan menggunakan teknologi AI untuk memantapkan idea-idea mereka,” katanya.
Tambah Sireh lagi, penggunaan AI mempunyai kesan positif walaupun ada pihak yang melihat sisi negatif dan kesannya terhadap karya-karya yang dihasilkan.
“Dari segi positif, ia akan mempercepatkan proses mencipta kandungan kreatif untuk kegunaan-kegunaan tertentu yang mampu menjana keuntungan.
“Namun begitu, oleh kerana umum merasakan ia adalah mudah, maka buat masa ini, terjadi lambakan karya-karya yang cantik dan berkualiti dihasilkan oleh AI tetapi kurang dihargai oleh khalayak kerana meragui keasliannya,” jelasnya.
Sementara itu, Sireh ketika ini melihat dunia kartun masih dipenuhi dengan ‘keceriaan’ dan diterima masyarakat yang konsisten sejak dahulu.
“Kartun adalah medium seni visual yang mudah diterima tanpa mengira setinggi mana pun tahap umur dan pendidikan pembacanya. Kartun juga adalah medium yang popular untuk menyampaikan mesej, sama ada pendidikan, kritikan atau hiburan secara efektif jika disalurkan dengan tepat.
“Cuma pada era masa kini, medium pembacaannya sudah berevolusi dengan kecanggihan teknologi. Boleh dilihat, penerbitan kartun secara fizikal (buku dan majalah) yang pernah popular dahulu sedang mengalami penguncupan edaran dan digantikan dengan penerbitan secara digital di pelbagai talian dan aplikasi serta animasi. Apa pun kartun tetap popular dalam kalangan pembaca,” ujarnya.
Dia dalam masa yang sama berkata, untuk mereka yang bercita-cita menjadi seorang kartunis terbaik perlu ‘ditanam’ dengan sifat tertentu selain pandai mencari peluang.
“Minat yang mendalam dalam bidang ini adalah satu titik permulaan yang bagus. Bakat boleh diasah dan dipupuk dengan ilmu, peluang dan latihan.
“Seterusnya kartunis itu perlu gigih untuk terus mencari idea, meneroka gaya lukisan, mencipta identiti dalam berkarya, dan mencari atau mencipta peluang-peluang yang boleh mempamer atau menerbitkan karya-karya secara konsisten untuk dinilai oleh para pembaca,” katanya yang kini dalam perancangan untuk menerbitkan karya terbaru dan penerbitan semula karya sedia ada yang pernah popular satu ketika dahulu.
Antara karya yang bakal diterbitkan ialah Komik Novel Cinta Gadis Bunian dan siri jenaka bertajuk Loving Couple selepas banyak permintaan dari pembaca. – UTUSAN










