Dikepuk padi tinggal habuk - Utusan Malaysia

Dikepuk padi tinggal habuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU selepas habis musim panen pesawah kembali sibuk bercakap tentang benih padi. Misalnya benih apa menjadi pilihan musim berikutnya. Sama ada mengekalkan Mahsuri dan Malinja atau berubah fikiran mencuba benih lain. Namun kebanyakan pesawah belum berani mencuba. Kebanyakan ragu-ragu, takut dan khuatir. Mereka bimbang hasilnya tidak sebagaimana diharapkan. Justeru kebanyakannya masih selesa memilih dua jenis benih itu sejak berzaman.
Meski ada yang berani mencuba dan memilih padi jenis baru seperti Ria, Murni, Bahagia atau Jaya yang diperkenalkan sejak beberapa musim dulu tetapi bilangan mereka tidak begitu banyak. Boleh dibilang dengan jari. Justeru dari mereka yang telah mencuba itu pesawah lain mendapat sedikit sebanyak maklumat. Misalnya, berapa guni per ekar boleh diperoleh dengan menanam padi baru itu termasuk tarikh matangnya, tinggi pokok, panjang tangkai dan lain-lain. Tidak ketinggalan mereka turut bertanya tentang rasanya. Lebih enak, sama atau kurang berbanding jenis lama. Begitu juga di segi penjagaannya. Apakah jenis baru bajanya juga sama seperti baja urea yang kerap digunakan selama ini atau memerlukan baja tertentu.
Pesawah tidak kurang bijaknya. Mereka akan mencongak dan membuat kira-kira sebelum bertindak melakukan perubahan. Demikian meski setelah mendengar keterangan dari rakan-rakan pesawah yang lebih dulu menanam padi jenis baru itu misalnya, mereka tetap berfikir banyak kali. Mereka tidak tergesa-gesa dan terikut-ikut. Mereka masih berhati-hati meski apa yang didengar lunak di telinga.
Mereka turut mengambil kira beberapa faktor lain yang dapat menentukan hasil diperoleh bertambah atau berkurang. Jika hama perosak seperti tikus, burung, benah dan pelbagai penyakit lain tidak ditangani sewajarnya maka akan menjejaskan hasil. Begitu juga dengan air mencukupi dan kekerapan bajanya. Sedikit sebanyak ia menjadi penentu hasil diperoleh.
Begitu pun semuanya terpulang kepada diri masing-masing. Ada yang suka ikut suara ramai dan sebaliknya. Sama ada mereka memilih untuk menanam padi jenis baru atau lama tiada sesiapa menghalang dan menegah. Selama ini semua itu belum pernah menjadi masalah dan menyemakkan kepala mereka. Mereka sudah merasa cukup bahagia asalkan pada setiap musim memperoleh hasil.
Dalam tempoh tertentu sementara menunggu air dimasukkan semula, menjadi kebiasaan pesawah melakukan pelbagai kerja. Bagi yang kesuntukan masa mengerjakan semua perkara ketika di sawah dulu, mereka akan kembali melakukannya di rumah. Misalnya, ada menjemur padi supaya tidak cepat lapuk dan tahan lebih lama. Ada juga menganginkan atau menampi semula dengan tujuan memisahkan berbagai kotoran selain hampa padi supaya benar-benar bersih sebelum disimpan di dalam kepuk. Bagi mereka yang ingin menjadikannya beras, padi akan dijemur beberapa kali terlebih dulu hingga benar-benar kering supaya tidak mudah patah atau hancur ketika di mesin.
Walaupun tidak sebanyak padi, pulut biasanya turut ditanam pesawah. Kebiasaan bagi mereka menanam pulut hitam dan putih. Disebabkan tidak banyak, ia ditanam sekadar cukup untuk keperluan sendiri. Pulut hitam enak dimakan bila dibuat bubur bersama santan mentah. Di sawah, selain padi, pulut hitam paling digemari burung pipit kerana isinya ketika masih muda seperti susu cair yang begitu lemak.
Bagi pesawah yang menanam dan menginginkan hasil yang tidak menghampakan, mereka akan mengunakan pelbagai cara bagi menghalau kedatangan kawanan pipit perosak itu. Selalunya mereka memasang ‘orang-orang’, selain membuat bunyi-bunyian yang terdiri daripada tin-tin kosong yang diisi ketulan batu dan digantung pada batang kayu. Ia dihubungkan dengan tali yang panjang dan mudah ditarik dari pondok. Kawanan burung akan terbang bertempiaran bila terdengar bunyinya.
Sementara pulut putih pula begitu lembut dan berbau wangi. Selalunya setelah ditanak ia sedap dimakan dengan kelapa atau ikan masin. Ia turut dibuat wajik.
Kemeriahan tidak ubah seperti pesta menjelma di sawah ketika air mula dibuang atau kian surut. Terpancar kegembiraan para pesawah termasuk sekali penduduk di sekitar kawasan berdekatan. Bagi mereka, waktu itu adalah waktu terbaik meraih rezeki. Air dibuang bermakna air di petak sawah akan dikeringkan sepenuhnya secara beransur-ansur. Ia tidak diperlukan lagi kerana padi telah matang. Warna padi juga secara keseluruhan bertukar keemasan.
Akan kelihatan kanak-kanak, lelaki, perempuan, dewasa, tua dan muda berbondong-bondong sedari pagi menuju ke daerah sawah yang seluas sekira-kira hampir 1,000 ekar itu. Sambil itu mereka membawa pelbagai peralatan seperti jala, sauk, jaring, pongkis, baldi, bakul, mangkuk dan lain-lain bagi menangkap ikan.
Di saliran-saliran kecil, parit, di petak-petak sawah, kolam juga lopak-lopak terdapat pelbagai jenis ikan seperti haruan, keli, sepat, puyu, seluang dan lain-lain yang terperangkap. Bilangannya cukup banyak kerana ikan-ikan telah terdampar di air cetek serta tidak dapat melarikan diri dengan bebas lalu mudah ditangkap. Dari ikan-ikan yang dipungut biasanya ia dijadikan lauk selain dikeringkan untuk dijual.
Suasana yang hampir serupa juga dapat dilihat ketika menjelang musim panen. Namun kali ini kedatangan mereka dengan tujuan lain. Kebanyakan pesawah yang tinggal jauh atau dekat sudah mula berpindah ke sawah. Mereka akan menjadikan pondok sebagai rumah kedua selama berbulan sehingga selesai padi dipetik. Segala keperluan dan peralatan dibawa bersama.
Mereka berbuat demikian supaya dapat melaksanakan pelbagai kerja dengan segera. Mereka tidak boleh berlengah kerana padi-padi yang matang cepat tanggal dari tangkai sementelah lagi bila rebah ditiup angin. Selain itu, memetik padi dengan mengunakan tuai juga memakan masa, lambat serta memenatkan.
Semua padi yang dituai dan dikumpul perlu melalui proses mengilas bagi mengasingkannya dari tangkai. Ia dilakukan dengan memijak-mijak gemal-gemal padi di atas lantai yang agak jarang. Tikar atau plastik disediakan di bawahnya bagi menampung butiran-butiran padi yang gugur.
Era pesawah mengunakan tuai kemudiannya bertukar kepada sabit. Kerja menjadi lebih mudah dan ringkas. Dengan penggunaannya itu sepetak padi dapat dihabiskan dalam masa sehari atau kurang.
Kerja mengilas berganti dengan membanting. Rumpun-rumpun padi yang disabit dengan anggaran setengah depa tangan akan dipukul ke atas tangga kecil yang terdapat di dalam sesebuah tong. Tong biasanya dikepung dengan guni atau kanvas. Setelah tong penuh dan padat berisi, padi akan dimasukan ke dalam guni sebelum dijahit dan diusung ke pondok atau terus dibawa balik ke rumah.
Sawah turut memberi impak tersendiri dikala menikmati makanan. Terasa apapun makanan atau minuman begitu nikmat. Misalnya, sewaktu makan tengah hari meski sekadar berlaukan ikan asin, sambal belacan atau tumis kangkung. Sungguh enaknya tidak terkata. Aroma dari daun pisang atau upih yang kerap dijadikan bungkusan makanan juga sudah membuka selera dan menjadikan hidung kembang kempis.
Suasana di sawah jelas berbeza dengan tempat-tempat lain. Umpamanya terhidang di depan mata pemandangan lautan padi, pohon-pohon kelapa di kejauhan, pondok-pondok juga puputan angin yang kerap. Atau mungkin juga disebabkan pemandangan lain yang menyejukan hati dan menenangkan seperti terdapat kawanan bangau, gerombolan pipit dan tempua, kicauan pelbagai jenis burung lainnya. Atau juga kerana asyik melihat layang-layang terbang tinggi serta mendengar dengung wau yang sayup diangkasa.
“Kau tak mahu mencuba benih baru?” Pak Mior mencetus kesepian. Berdua dengan Pak Leman mereka sedang bersembang di pondok pisang sesikat milik Pak Mior. Atap pondok yang terdiri dari nipah itu kebanyakannya sudah usang dan reput. Sementara lantai dan dinding papannya banyak yang berlubang.
“Menurut Arif di pejabat tu sudah ada beberapa jenis benih baru. Bila-bila masa boleh datang ke sana.” Jelas Pak Mior lagi. Pak Leman memandang tanpa sepatah kata. Dia maklum bekalan benih padi yang diperkatakan itu boleh diperoleh dari pejabat pertanian yang terletak di Kampung Sungai Dalang. Ia boleh dibeli dengan harga berpatutan.
“Aku tak kisah sangat pasal benih tu, Mior. Apa benih pun boleh kita semai dan tanam. Bagi aku yang penting kita dapat hasil bagi menyambung dan menampung seisi keluarga kita dari musim ke musim.” Pak Mior angguk-angguk macam belatuk. Namun pandangannya masih jauh ke tengah sawah yang dipenuhi menerung dan rumput-rumput liar setinggi dada. Musim yang sepatutnya sudah dimulai dengan menajak bagi membersihkan tunggul-tunggul padi dan segala rumput-rumput itu nampaknya tergendala lagi.
“Apa ceritanya sekarang? Tak ada kau dengar berita terbaru?” Tanya Pak Leman lagi.Pak Mior geleng. Rusuh di hatinya bermain semula. “Tidak.”
“Perkara inilah yang paling merisaukan aku melebihi yang lain, Mior.” Suara Pak Leman sedikit meninggi.
“Apa kurangnya aku. Entah bila akan berakhir dan selesai. Aku fikir musim ini melopong lagi kita. Dah masuk dua musim, Man. Bila dah tak dapat bersawah ini mati akal dibuatnya.”
“Ya, segalanya telah diusahakan. Apa yang patut dibuat sudah dibuat. Bertemu wakil rakyat, pegawai pertanian, ketua kampung, penghulu, naik turun pejabat tertentu di bandar. berunding, bermesyuarat semuanya sudah. Apa lagi? Tapi apa hasilnya? Masih juga terbengkalai hingga ke hari ini.” Luah Pak Leman yang betul-betul terkilan dengan projek saliran yang masih tidak berfungsi itu.
Diam tak diam masuk dua musim mereka tidak dapat bersawah. Mana tidak menyirap darah dibuatnya. Beberapa waktu kebelakangan turut terdengar pula bermacam khabar dan bualan mereka ketika bersembang di kedai kopi. Dia cuma memasang telinga. Ada yang didengar hendak menyaman syarikat swasta itu. Ada yang hendak menyaman pihak kerajaan. Ada yang menyalahkan ketua kampung dan mereka bersungguh menyokong projek tersebut. Namun setelah terbengkalai begini masing-masing membisu. Senyap.
“Selama berpuluh tahun kita bersawah belum pernah timbul masalah sebegini. Aku lebih suka dengan sistem yang digunakan dulu. Meski dilihat agak ketinggalan namun tidak pernah mendatangkan masalah kepada kita para pesawah.”
“Memang betul,” sahut Pak Leman.
Kini bekalan air yang sepatutnya mengairi petak-petak sawah tidak dapat berjalan sebagaimana perancangan. Sebaliknya air tersekat di longkang-longkang besar yang dibina mengelilingi keseluruhan tepi sawah. Saliran yang lebih moden itu jelas tidak membawa sebarang perubahan yang gah dicanang malah tambah menyusahkan. Akhirnya pesawah menjadi mangsa. Siapa yang hendak membela?
Sistem digunakan dulu mudah. Air disedut dari Sungai Sabari yang terletak di hujung kampung. Sungai berair coklat yang tidak pernah kering meskipun kemarau itu merupakan sumber utama pengairan. Dengan jentera penyedut sebesar batang kelapa, air sungai yang disedut akan masuk melalui parit yang membawa terus ke pintu kawalan air di kawasan sawah. Melalui pintu kawalan, air yang diperlukan akan terus mengalir hingga ke takah tertentu.
“Bukankah senang kalau ikut cara dulu? Habis saja panen tak sampai beberapa bulan air sudah boleh dimasukkan semula. Kita pun senang memulakan kerja.” Pak Mior memecah keheningan petang yang kian redup.
“Betul. Aku setuju dengan cara dulu. Tak menyusahkan langsung.” Sambil keduanya mula bangkit meninggalkan pondok dan kawasan sawah yang semakin terbiar itu. Entah bila semuanya akan kembali meriah seperti dulu.
Barangkali bukan saja mereka berdua yang merasa gelisah dan susah sebegitu malah hampir ke semua pemilik sawah turut merasainya. Setiba di rumah, setelah menyandarkan basikal di tiang, Pak Mior berjalan longlai ke bawah rumah.
Dibukanya pintu kepuk sebelum menjengukkan kepala. Kelihatan dilantai kepuk sisa-sisa padi yang tinggal dan bergaul dengan habuk. Kepuk yang dulunya sentiasa penuh dari musim ke musim begitu kritikal. Namun Pak Mior masih berharap semuanya pulih seperti dulu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya