Siapa generasi keenam Awang Batil? - Utusan Malaysia

Siapa generasi keenam Awang Batil?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEMA suara Awang Batil pernah menjadi sebahagian daripada hiburan bagi masyarakat di Perlis satu ketika dahulu. Ketika itu Awang Batil mengembara ke pelosok kampung dan bertindak sebagai penglipur lara dengan mempersembahkan pelbagai ceritanya.
Ada yang berkisar tentang cerita rakyat atau cerita yang mempunyai siri dan bersambung-sambung dengan menyelit unsur jenaka bagi menarik perhatian terutama golongan kanak-kanak. Dengan bertopeng warna merah dan putih, ia menjadi tarikan.
Malah seni ini antara warisan sastera marhaen di Perlis sehingga menjadikan ia antara khazanah berharga masyarakat di sana. Namun kini, suara Awang Batil semakin tenggelam dek arus moden dan kepesatan teknologi.
Bagi pewaris terakhir Romli Mahmud, dia melahirkan kegusaran apabila melihat kurangnya minat generasi muda terhadap kesenian yang telah wujud ratusan tahun dahulu ini.
Walaupun ada yang mahu mempelajarinya, katanya, ia bukan sesuatu yang mudah dan boleh dikuasai dalam tempoh singkat.
Menurutnya, seseorang itu sekurang-kurangnya perlu tahu perkara asas dalam kesenian dan bukan sekadar minat semata-mata.
“Bukanlah kata langsung yang tidak ada yang mahu mempelajari Awang Batil. Akan tetapi masalahnya mereka ‘kosong’, tidak tahu bermain alat-alat muzik.
“Jadi, bagaimana saya mahu mengajar kalau alat muzik seperti serunai pun tidak pandai main? Sebab itu, pentingnya seseorang itu perlu ada asas dalam permainan alat muzik.
“Ini tidak, nak pukul gendang pun tidak tahu dan nak menyanyi pun tidak tahu. Jadi, saya sendiri buntu di mana mahu memulakan dahulu pembelajaran untuk mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Seperti penglipur lara, Awang Batil perlu berbakat dalam tiga aspek iaitu seni penceritaan, alat muzik dan nyanyian.
Tambahnya, ada generasi kini yang langsung tidak pernah melihat kesenian Awang Batil dan ada segelintir yang masih termangu-mangu sebaik melihat persembahan ini.
“Jadi untuk mengembangkan Awang Batil ini saya fikir kena ada daya usaha dari Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) secara lebih terperinci termasuk memastikan kualiti sesuatu persembahan itu benar-benar asli,” jelasnya yang mewarisi seni daripada ayahnya Allahyarham Mahmud Wahid.
Antara komponen penting dalam persembahan Awang Batil adalah topeng, batil dan serunai untuk menghidupkan jalan cerita yang mempunyai dialog spontan, jenaka dan nyanyian.
Romli berkata, batil dan topeng yang digunakan Romli dalam persembahan merupakan peninggalan berusia ratusan tahun.
Antara cerita lazim yang disampaikan Awang Batil ialah Awang Akad Narak, Awang Kambing Berak Keluar Emas, Awang Golok Besar dan semua diselitkan dengan unsur komedi dan nasihat.
Dalam pada itu, Romli berharap usaha untuk memelihara Awang Batil diteruskan secara agresif lagi bagi memastikan ia dapat kekal terpelihara.
“JKKN telah berusaha melaksanakan beberapa langkah tertentu setakat ini. Namun ia perlu dilakukan secara lebih berfokus termasuk memastikan kualiti sesuatu persembahan tersebut benar-benar asli,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya