Rahsia kebaya yang belum dirungkai - Utusan Malaysia

Rahsia kebaya yang belum dirungkai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH jarang dapat melihat wanita muda berpakaian kebaya dan kalau adapun hanyalah dalam majlis-majlis rasmi. Kemunculan pelbagai jenis fesyen terkini yang mungkin lebih nampak elegan bagi sudut mata wanita menyebabkan kebaya bukan lagi pilihan utama mereka.
Namun, kebaya hakikatnya mempunyai keunikan dan cerita lain tersendiri selain rahsia yang mungkin masih ramai tidak tahu.
Menurut salah seorang pengumpul koleksi kebaya, Zubaidah Sual , antara rahsia perlu dirungkai kepada masyarakat umum adalah tentang sejarah baju kebaya yang telah berusia sejak kurun abad ke-15 lagi.
Malah katanya, kebaya juga antara pakaian tertua di dunia dan turut diperkatakan dalam beberapa teks penulisan pelayar Eropah satu ketika dahulu.
“Sebenarnya baju kebaya adalah antara pakaian tertua di dunia dan dicipta pada abad ke-15 lagi. Dalam penulisan telah dicatatkan oleh masyarakat Eropah dan pakaian lain memang tidak disebut.
“Sebagai contoh ada dinyatakan apabila mereka (pelayar Eropah) pergi ke Melaka, kelihatan pakaian sama sebagaimana di Goa. Di Goa kebaya disebut Kabaya dan kita ambil sejarah daripada situ,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia dalam majlis Perasmian Pameran Rahsia Kebaya anjuran Jabatan Muzium baru-baru ini.
Menerusi pameran ini, sebanyak 60 koleksi baju kebaya dipamerkan daripada pelbagai koleksi antaranya milik Istana Perlis; Istana Selangor; Perbadanan Muzium Negeri Kelantan; Arkib Negara; Lembaga Muzium Negeri Perak dan koleksi peribadi.
Baju kebaya merupakan pakaian nusantara yang dipakai wanita di Brunei, Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Terdapat pandangan yang mengatakan baju kebaya berasal dari Tanah Arab oleh pedagang sehingga tersebar di Melaka, Jawa, Bali dan Sumatera sehingga berlaku asimilasi dan diterima penduduk setempat.
Bagaimanapun, menurut Denys Lombard menerusi bukunya bertajuk Nusa Jawa:silang Budaya (1996), baju Kebaya diperke­nalkan Portugis ketika mereka mendarat di Asia Tenggara.
Terdapat beberapa jenis baju kebaya antaranya Kebaya Nyonya, Kebaya Riau-Pahang, Kebaya Chitty, Kebaya Saloma, Kebaya Selangor, Kebaya Pulau Pinang dan Kebarung.
Dalam pada itu, Cedric Tan yang juga pengumpul koleksi kebaya berkata, banyak yang tidak tahu intipati penggunaan baju kebaya sehingga menyebabkan dilihat sebagai fesyen lama.
“Ada ramai yang tidak tahu sama ada baju kebaya ini merupakan pakaian harian atau pada majlis-majlis rasmi.
“Bagi komuniti Baba Nyonya, baju kebaya menjadi ikonik. Orang melihat dan terus berfikir bahawa baju kebaya ini merupakan pakaian masyarakat Baba dan Nyonya,” katanya yang menjadi pengumpul koleksi sejak 30 tahun lalu.
Tambah Cedric, dia mula mengumpul baju kebaya sejak kematian neneknya.
“Kalau ikut kebiasaan masyarakat Baba Nyonya, mereka akan masukkan semua pakaian dalam peti apabila pemiliknya meninggal dunia. Jadi, sebelum mereka masukkan, saya minta untuk dijadikan koleksi,” jelasnya yang mempunyai pelbagai koleksi baju kebaya lama.
Dia dalam masa sama berharap agar baju kebaya terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda dengan memberi kebebasan dan dimodenkan mengikut arus semasa.
“Mungkin kebaya boleh dipakai dengan seluar jeans sebagai contoh dan dipakai secara kasual. Namun pada majlis rasmi, ia perlu mengikut standard asal,” ujarnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya