Transisi pelukis kartun kepada wayang kulit - Utusan Malaysia

Transisi pelukis kartun kepada wayang kulit

Pelukis Adeputra menerangkan tentang isi yang terdapat di dalam seni karyanya semasa pelancaran pameran Gerak Bayang di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, baru-baru ini. MINGGUAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIASANYA, wayang kulit seringkali berkait rapat dengan tok dalang dengan watak-watak tersendiri menerusi persembahan bagi memberi kesedaran, pendidikan atau sebagai satu bentuk hiburan dalam masyarakat.
Bagaimanapun, wayang kulit turut diterjemah kepada bentuk lukisan bagi memelihara dan meneruskan perjuangan para penggiat.
Bagi pelukis yang dikenali sebagai Adeputra Masri atau nama sebenar Asmadi Masri, rasa cintanya pada wayang kulit dibuktikan dengan lakaran lukisannya.
Malah, dia yang sebelum ini merupakan pelukis kartun di beberapa majalah humor beralih arah dengan menghasilkan karya berbentuk wayang kulit disebabkan rasa minat mendalam pada seni ini.Menceritakan semula detik awal bergelar pelukis, Adeputra memberitahu, dia bercita-cita untuk menceburi bidang berkenaan sejak mula berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Akan tetapi apabila melihat pelukis-pelukis di pasar seni yang mempunyai kualiti karya yang tinggi saya rasa rendah hati.
“Kebetulan saya juga ada bakat dalam melukis kartun dan sudah melukis sejak di Tingkatan Dua untuk majalah Gelihati dan Humor selain kartunis di Utusan Malaysia serta beberapa penerbitan lain.
“Namun satu hari, kenalan saya yang juga pelukis Harris Ribut membuka minda saya bahawa karya dan kartun saya juga boleh dihasilkan dalam bentuk catan akrilik di atas kanvas.
“Dia memberi contoh seperti lukisannya sendiri, Picasso dan ramai lagi pelukis yang mana karya catan (lukisan dengan cat) mereka tidak semestinya berbentuk realis.
“Sejak itu, saya mencuba ilmu baru ini dengan menyertai Perkampungan Pelukis Jalan Conlay, di ibu negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambahnya, selepas menerima bimbingan daripada beberapa pelukis ternama seperti Allahyarham Yusof Gajah dan pelukis senior, dia berjaya menempatkan diri dalam dunia catan Malaysia dengan menjadikan wayang kulit sebagai subjek catannya.
“Dari situlah saya mula menghasilkan catan karakter wayang kulit.
“Saya mengadaptasikan dalam karya mengikut bentuk yang direka sendiri dan kebanyakannya tentang kritikan sosial (komentar sosial) berkaitan politik, ekonomi atau budaya,” katanya.
Bercakap tentang permintaan terhadap lukisan berbentuk sedemikian, katanya, terdapat ramai peminat dan pengumpul koleksi lukisan berkaitan wayang kulit sama ada berbentuk realis mahupun berbentuk ekspresionis.
“Ada peminat dalam negara dan dari luar negara termasuk Eropah. Ada yang mengumpul karya kerana olahan cerita dalam karya itu sendiri dan ada yang mengumpul kerana kagum dengan seni rekaan wayang kulit.
“Selain itu, ada karya siri wayang kulit yang sudah jadi koleksi tetap di Balai Seni Negara dan Maybank. Di samping itu, karya saya juga pernah dipamerkan di Sepanyol dan Jepun sebelum ini,” terangnya.
Pada masa sama, dia turut memasang impian agar hasil karyanya dapat dipamerkan di New York, Amerika Syarikat atau dapat dijadikan koleksi tetap di galeri atau muzium kesenian di luar negara. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya