Cerita di sebalik sejarah 100 tahun Piala H. M. S Malaya - Utusan Malaysia

Cerita di sebalik sejarah 100 tahun Piala H. M. S Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMINAT bola sepak tanah air wajib mengetahui segala cerita tentang sukan nombor satu di negara ini. Tidak lengkap rasanya kalau sekadar tahu beberapa nama legenda bola sepak tanpa mengetahui asal usul trofi yang penuh berprestij iaitu Piala H. M. S Malaya yang kini telah digantikan dengan Piala Malaysia dan Piala Agong.
Bagaimanapun, sebenarnya masih belum terlambat lagi untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang piala penuh bersejarah ini dengan lebih dekat.
Bukan setakat itu, lebih menarik, kalau dapat melihat sendiri koleksi pakaian pemain termasuk milik Allahyarham Mokhtar Dahari pernah dipakai beliau semasa Sukan SEAP 1973.
Apatah lagi kalau dapat melihat tiket perlawanan akhir bagi merebut trofi ini pada 1953 dan beberapa pingat lama. Boleh dikatakan segala tentang perjalanan awal bola sepak negara dan trofi ini ada dalam Pameran 100 tahun Trofi H.M.S Malaya di Muzium Negara yang sedang berlangsung sehingga 31 Januari nanti.
Di samping itu, pameran ini turut menceritakan kajian dan langkah konservasi yang dijalankan oleh Muzium Negara dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia melibatkan piala ini.
Menurut Pengarah Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria, antara bentuk kajian yang dilakukan termasuklah dalam menentukan kesahihan dan kerosakan pada piala yang dibuat pada 1921 ini.
Selain itu, katanya, kerja-kerja konservasi turut dijalankan bagi memastikan trofi yang dibuat di London tersebut sentiasa terpelihara.
“Konservasi kuratif bagi artifak logam terbahagi kepada tiga peringkat iaitu pembersihan, mengilat dan melindungi trofi.
“Untuk penentuan keaslian bahan serta penilaian kekuatan struktur pada trofi pula, ia menggunakan teknik nuklear seperti X-Ray Fluorescence (XRF), Pengaktifan Neutron Sinar Gama Pantas (PNSGP), pengimejan neutron, radiografi dan teknik eddy current,” jelasnya.
Dalam pada itu Zamrul Amri berkata, kajian pencirian bahan seperti XRF dan eddy current yang dijalankan berjaya membuktikan bahan koleksi dua trofi H.M. S Malaya ini asli dan diperbuat daripada aloi perak dan argentum.
Jelasnya, kajian pengimejan seperti radiografi dan pengimejan neutron pula memberikan gambaran nyata tentang kaedah cantuman pada tangkai dan badan trofi.
Untuk rekod, trofi H.M.S Malaya ini digunakan selama lebih kurang 46 tahun dalam dunia sukan bola sepak dan 65 tahun dalam sukan ragbi sebelum digantikan dengan Piala Malaysia dan Piala Agong.
Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia pada 1966 membuat keputusan menggantikan trofi tersebut manakala piala ragbi pula diserahkan Kesatuan Ragbi Malaysia kepada Muzium Negara untuk disimpan dan dipelihara pada 1983.
Sejarah trofi ini bermula apabila kapten kapal H.M.S Malaya iaitu H. T Buller menghadiahkan dua trofi kepada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk dipertandingkan dalam sukan bola sepak dan ragbi pada 1921 sebagai tanda penghargaan.
Banyak lagi sebenarnya yang perlu dilihat dan dipelajari tentang piala-piala penuh bersejarah yang usianya mencecah 100 tahun ini. Jadi tidak rugi bagi peminat bola sepak dan ragbi untuk bersama-sama melihat piala sebenar dan mengetahui pelbagai cerita lagi di sebalik trofi ini dalam pameran itu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya