Kesamaran semiotik dalam puisi - Utusan Malaysia

Kesamaran semiotik dalam puisi

INTERAKSI peserta bersama penceramah, Zaen Kasturi dalam Bengkel Perolehan dan Pemurnian manuskrip, di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN puisi semiotik sudah berkembang sejak zaman Yunani Kuno sekitar tahun 534 Sebelum Masihi (SM), namun di Malaysia penggunaan teori itu dalam kalangan penulis masih pada tahap ‘samar-samar’.
Pengkaji sastera, Dr. Mohamad Shahidan berkata, penggunaan teori itu dalam kalangan penulis boleh dianggap kurang memuaskan bukan saja di Kota Kinabalu, malah di Kuala Lumpur yang menjadi pusat pertemuan sasterawan dan penulis prolifik.
Katanya, semiotik yang dikaitkan dengan teori dan kajian mengenai tanda dan simbol sangat bermanfaat bukan saja dalam sastera dan budaya, malah disiplin ilmu lain.
Penguasaan penulis dalam puisi semiotik Riffaterre (Pengarang kelahiran Perancis, Michael Riffaterre) membolehkan mereka mengenal, mentafsir dan memberi makna dalam karya masing-masing.
“Saya yakin Sabah boleh menjadi pusat perkembangan teori puisi semiotik di negara ini, kerana ada beberapa penulis cenderung menggunakan kaedah ini walaupun masih lemah” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi pembimbing Bengkel Perolehan dan Pemurnian Manuskrip anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah bersama Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Seorang lagi pembimbing bengkel dua hari yang dihadiri oleh 25 peserta itu ialah penerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2010, Zainal Palit atau lebih dikenali Zaen Kasturi.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Razali Che Mat; Pengarah DBP Sabah, Aminah Awang Basar; Timbalan Pengarah DBP Sabah, Rusdi Awang dan Jennitah Noordin dan Presiden PSBS, Norawi Kata.
Dalam pada itu, Aminah berkata, penulis yang menyertai bengkel berkenaan berpeluang diterbitkan karya mereka dalam bentuk antologi persendirian atau berkumpulan.
Katanya, berdasarkan komitmen penulis dalam sesi dialog sekurang-kurangnya 20 antologi puisi persendirian bakal diterbitkan selewat-lewatnya tahun depan.
Katanya lagi, jika tiada aral melintang karya berkenaan akan dibincangkan secara terperinci untuk pemurnian dan dibengkelkan sebelum diterbitkan.
“Kedua-dua penceramah iaitu Dr. Mohamad Shahidan dan Zaen Kasturi menjadi pengarang antologi berkenaan dengan setiap antologi setebal 70 muka surat, “ jelasnya.
Sementara itu, Zaen melihat puisi mutakhir Malaysia yang dapat dijadikan teladan dan sempadan akan membezakan puisi dengan bukan puisi yang kelihatannya mengisi baris mengikut teori semiotik.
Katanya, walaupun antologi berkenaan setebal 70 muka surat, namun penulis digalakkan menghantar lebih daripada 80 puisi bagi memastikan puisi yang ‘ditolak’ dapat ditampung karya lain.
“Kita mementingkan kualiti karya dan saya yakin semua peserta memiliki ciri-ciri ini kerana ada dalam kalangan mereka penulis mapan yang dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah di nusantara,” katanya.
Dalam pada itu, Norawi yang dipertanggungjawabkan menyelaras penerbitan antologi berkenaan berkata, hasil perbincangan dengan DBP Sabah dan pengarang, tarikh akhir penghantaran manuskrip kumpulan puisi adalah pada 15 September depan.
“Saya harap penulis menyertai projek penerbitan ini mengutamakan disiplin dalam menyiapkan manuskrip mereka mengikut batas waktu ditetapkan dan mengutamakan kualiti karya,” katanya.

PENULIS ialah Ketua Penerangan Ikatan Penulis Sabah (IPS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya