fbpx

Bunyi bising dan OKU di PBAKL 2022

Jumlah kehadiran di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 Ke-39 melepasi sasaran penganjur dengan lebih 1.3 juta orang direkodkan sepanjang 10 hari. Dikatakan penganjur sejumlah 1,363,757 pengunjung direkodkan menghadiri PBAKL sejak 3 Jun lalu sehingga pukul 4 petang hari terakhir. Jumlah itu melepasi sasaran awal yang menjangkakan kehadiran sekitar 700,000 hingga sejuta pengunjung.
Sejak pandemik Covid-19 melanda antara industri yang terjejas teruk adalah industri buku. Sebelum pandemik boleh dikatakan jualan buku walaupun tidak seperti masa gemilangnya, masih antara perolehan terbesar syarikat penerbitan dan penulis.
Apabila pandemik melanda dengan sekatan menyusul kemudian, banyak kedai buku terpaksa gulung tikar, kilang cetak terus ditutup, dan syarikat penerbitan dalam perit berjuang bagi mengurangkan kos. Ada penerbit terpaksa memberi cuti tanpa gaji dan terpaksa memberhentikan pekerja.
Sewaktu tempoh yang kelam kabut dan dijangka mati pada bila-bila masa itu, tanpa disangka, jualan dalam talian pula melonjak. Jualan dalam talian menunjukkan luar biasa rancak dan mencanak dengan berlumba-lumba menggunakan platform media sosial untuk mempromosi buku. Buku-buku baharu mampu kembali diterbitkan dan syarikat penerbitan kembali menugaskan pekerja baharu.
Pada 1958, Pesta Buku ABA pertama; diadakan di Liga Buku Kebangsaan di Albemarle St.
Pesta Buku Frankfurt di Frankfurt, Jerman pula memang cukup terkenal. Ia adalah pameran perdagangan antarabangsa terbesar di dunia untuk buku dan majalah. saya pernah ke sana dan turut menghantar buku melalui DBP iaitu Zea Mays.
Pesta buku profesional dan pengguna adalah penting untuk industri buku. Terasa luar biasa mengenai PBAKL 2022. Sambutan masyarakat sangat menakjubkan.
Saya pempamer yang mempunyai dua reruai, terletak di belakang pentas utama di tingkat dua. Saya terpegun melihat manusia yang begitu sesak dan pencinta buku atau ulat buku menyerbu Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Ada pengunjung masuk ke dewan mengusung beg pakaian untuk mengisi buku yang bakal diborong.
Pencinta dan peminat komik, novel cinta, novel remaja, novel sastera, antologi cerpen, biografi, autobiografi dan ilmiah dengan setiap sudut dipenuhi dengan peminatnya yang tersendiri.
PBAKL menjadi syurga dunia kepada pencinta buku. Sambutan hangat membuktikan industri buku tidak mati dan tidak pupus. Boleh terus hidup dengan rakyat yang memang suka meraikan sesuatu yang dinamakan pesta. Mungkin pesta buku boleh berlangsung sebulan kerana tempoh seminggu terlalu singkat.
Sebagai pempamer saya memberi maklum balas kepada penganjur bahawa pembesar suara dari pentas utama memekakkan telinga. Apa lagi saya duduk di belakang pentas utama yang asyik dengan persembahan menyanyi bukan membaca atau bersajak. Boleh dikatakan dengan limpahan manusia telah menjadikan lebih bingit apatah lagi menyanyi kuat bagai di kenduri kahwin.
Mahu pasang muzik lembut, silakan untuk penghayatan namun jangan samakan pesta buku dengan pasar malam atau fun fair.
Buku adalah wadah ilmu dan wahana ketamadunan yang sentiasa segar dalam membaca. Biarkan pembaca membelek dan meneliti buku dengan tenang.
Saya bertemu dua OKU berkerusi roda, berpeluh dengan bunyi hiruk pikuk. Saya juga OKU yang bersembang dengan pembeli dengan meneriak kerana kurang jelas pendengaran.
Sewaktu Pesta Buku Selangor ada kemudahan disediakan dengan sambutan Hari OKU. Membuktikan kecaknaan Selangor untuk meningkatkan kemahiran individu OKU melalui Jabatan Anak Istimewa Selangor.
Saya sebagai OKU diberi peluang untuk pelancaran buku “50!” bersama tiga karyawan lain. Tetapi tidak di PBAKL yang meriah dengan karyawan sempurna anggota badan.
Saya melancarkan buku baharu seperti kumpulan puisi Aku OKU, Seribu Puisi, kumpulan cerpen Vogue, travelog Haji Tanpa Visa, novel remaja Cenwey Penaney, artikel Dari Dubai dan Fajar Arabia dan pengalaman pelajar Malaysia di New Zealand pada 70-an dan 80-an. Saya sempat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di hari pembukaan yang juga senior di sekolah dan berbual mengenai OKU dan PBAKL.
Dalam pada itu, bagi saya buku fizikal akan bertahan dalam ujian masa apabila industri berkembang untuk kekal relevan dan diminati. Mungkin kontemporari buku digital membunuh banyak masa membaca dengan kebimbangan untuk hayat buku fizikal melawan e-buku.
Penulis boleh tawarkan kelainan daripada kelaziman dengan menulis kisah dan cerita pendek serta inspirasi yang dibukukan dan didokumentasikan.
Setiap ilmu boleh dipilih dan dibantu dengan teknologi digital namun nikmat membaca tidak akan pernah sama walau berlainan. Apa lagi industri buku fizikal bertempur dengan telefon pintar dan penstriman filem dan video dengan Youtube, TikTok, Facebook yang makin bercambah pantas mengisi hari.
Pada hakikat kehidupan baharu yang perlu digarap oleh semua pemain industri dan buku tetap akan wujud, tidak mati walaupun ada meramalkannya. Kita tidak pasti apa akan muncul pada masa depan. Mungkin wabak lebih ganas menyerang industri namun vaksin sebenar terletak kepada sihat ekonomi dan pembaca, selain yang berkarya dan menulis.
Buat masa sekarang, saya masih mencintai buku fizikal walau tetap menulis e-buku, selepas strok lebih tiga tahun lepas. Saya telah membaca 3,000 buku untuk mengingatkan balik yang saya lupa. – Mingguan Malaysia

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!