fbpx

28 Januari 2022, 8:42 pm

  TERKINI

Menongkah tohmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Titis-titis embun bagaikan mutiara berguguran masIh membasahi pusara yang masih merah. Titis-titis itu adalah airmata yang membasahi nuraninya.Semuanya berlaku terlalu cepat. Sekelip mata sehingga sukar untuk dipercaya. Sehingga kini setelah seminggu pemergian ayahanda terasa bagaikan semuanya masih dalam mimpi. Ayah, hidupmu dalam keterasingan, pergimu jua dalam keterasingan. Bukan takdir yang dia kesalkan, tetapi ayah pergi kerana satu wabak yang barangkali jika bukan kerana kedegilan serta kejahilan, bukan itulah asbabnya.
“Ayah dan ibu kau dah vaksin?” Sapaan dari rakan sekerja, Dr. Ariani menyentak Dr. Emma dari lamunan panjang. Dengan lemah, Dr. Emma menggelengkan kepala. Satu Keluhan panjang dilepaskan. Pening kepalanya memikirkan bagaimana caranya untuk meyakinkan ahli keluarganya untuk mengambil vaksin. Walaupun dia pakar dalam bidang perubatan , tetapi senario ini terlalu peribadi, meyakinkan ahli keluarganya sendiri untuk menerima vaksin untuk Covid-19 adalah tidak mudah.
Meskipun Dr. Emma sering berkongsi informasi tentang peri-pentingnya mengambil vaksin, namun begitu banyak tohmahan tidak berasas yang tular dalam media sosial, telah mengelabui minda mereka sehingga keberatan untuk membenarkan ayah dan ibu divaksin.
Selain itu, dua ahli keluarganya memutuskan untuk tidak mengambil vaksin serta tidak membenarkan anak-anak mereka divaksin. Alasan yang diberi, tidak yakin dengan kesucian vaksin, tidak terbuka hati dan mempercayai vaksinasi adalah usaha segelintir pihak yang telah dirancang sebegitu rupa untuk menakluki dunia dan menjadi fitnah akhir zaman.
Ayah Dr. Emma seorang pesakit skizofrenia kronik serta mengalami beberapa komorbiditi seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, namun keadaannya selalu terkawal kerana ayah tidak culas mengambil ubatan. Meskipun berusia 75 tahun, ayah secara relatif masih sihat. Ibu pula masih relatif muda, mengalami asthma dan penyakit darah tinggi namun mampu bergerak aktif untuk menguruskan ayah.
Memang wajar sekali pada hemat Dr. Emma seandainya ayah dan ibu menerima vaksin kerana mereka tergolong dalam kelompok berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid. Dr. Emma telah menempah slot temujanji untuk ayah dan ibu pada awal Mei, namun apabila tarikh dijanjikan itu tiba, Dr. Emma tidak dapat pulang kerana kekangan perintah kawalan pergerakan tidak mengizinkan dia merentas negeri. Usahanya juga semakin terbatas, apabila dia yang berada pada peringkat awal kehamilan ketika itu , tiba-tiba mengalami pendarahan dan seterusnya keguguran.
Justeru, atas ketidakberdayaan itu, Dr. Emma terpaksa meminta bantuan adik beradiknya di kampung membawa ayah dan ibu mendapatkan vaksinasi pada slot yang telah ditetapkan. Amat dukacita apabila adik menolak mentah-mentah permintaan Dr. Emma, dengan alasan dia langsung tidak yakin dengan kemampuan dan keberkesanan vaksin.
“Fatah tak nak terlibat satu sen pun dalam proses vaksinasi ibu. Itu hanya agenda, untuk menakutkan kita. Penyakit ini hanya sandiwara golongan yang ingin menakluki dunia ini,” sinis suara adiknya Fatah membuat Dr. Emma tergamam. Tidak disangka Fatah juga bulat-bulat mempercayai berbagai tohmahan yang disebarkan oleh segelintir yang menular deras di arus maya.
Puas Dr. Emma cuba menjelaskan mengenai vaksin mengikut ilmu pengetahuannya sebagai pakar perubatan serta kepentingan vaksinasi kepada warga emas dan orang yang mempunyai komorbiditi, tetapi tetap gagal meyakinkan sebahagian adik beradiknya yang tidak mahu divaksin. Sudahlah begitu, tidak juga dibenarkan ayah ibu mengambil vaksin walaupun ia berpotensi menyelamatkan nyawa mereka. Hidup atau mati, itu urusan Allah, begitu tegas Fatah.
“Walaupun Fatah menolak vaksin, Fatah tetap jaga SOP,” ujar adik lelakinya lagi dengan yakin ketika mereka berbahas.
”Ayah ibu takkan terkena Covid-19 kerana penyakit itu tidak wujud, hanya momokan. Kit ujian itu semua palsu,” ujar Fatah lagi penuh yakin.Suaranya ketat.
Dr. Emma tidak mahu berhujah dengan Fatah. Kadang-kadang dia rasakan pandangan Fatah yang selalunya menyongsang arus perdana, menghalang komunikasi dan menangkis maklumat sahih.
Fatah terang-terangan menyatakan kesangsiannya kepada jentera penjawat awam, dan sering melabelkan mereka sebagai kelompok pendusta yang kononnya sedang bersedia membuat persiapan untuk menyambut raja segala pendusta, berkemungkinan dajal yang dimaksudkan Fatah.
Pedih hatinya, apabila pendapat dan maklumat tentang vaksin yang cuba disampaikan Dr. Emma sering saja dipandang lekeh oleh adiknya dengan alasan, pembohongan telah berlaku dengan hebat dan akan berterusan sehingga hari kiamat. Bertambah sakit hati Dr. Emma, apabila dia sebagai penjawat awam dilempar tohmah sebagai proksi dajal oleh adiknya. Untuk menjernihkan keadaan, Dr. Emma memutuskan untuk berdiam diri, hanya mampu berdoa semoga adiknya akan dibukakan pintu hati untuk membenarkan ayah dan ibu divaksin.
Sungguh pelik pemikiran mereka ini, sehingga tiada apa yang mampu mengubah pendirian. Pada waktu sama, menyebarkan fitnah tentang propaganda dan agenda yang belum tentu benar, meletakkan rakyat yang tidak celik informasi sahih, dalam ketakutan dan kebimbangan, tidak pula mereka berasa bersalah.
Waktu terus berlalu, enam bulan lamanya Dr. Emma tidak dapat pulang ke kampung kerana kekangan merentas sempadan. Sukar sekali memujuk ibu untuk menerima vaksinasi kerana ibu ditakutkan oleh Fatah kerana katanya ramai yang sudah meninggal dunia sejurus selepas disuntik vaksin. Ibu juga membayangkan kengeriannya selepas disuntik vaksin kerana Fatah memberitahu di dalam partikel vaksin itu telah ditanam mikrocip oleh pihak berkepentingan untuk mengawal selia penduduk bumi. Aduhai, malang sekali ibu kerana dimomokkan sebegitu rupa. Lebih malang lagi kerana Fatah tergolong dalam golongan terpelajar, berkelulusan sarjana muda kejuruteraan, tetapi menelan bulat-bulat informasi internet.
Dr. Emma cuba bertanya Fatah, dari mana sumber maklumat yang tidak berasas itu, tapi Fatah enggan memberitahu dengan alasan takut dituduh penghasut. Adiknya, Cikgu Alina juga enggan divaksinasi. Malahan adiknya ini mengugut sekiranya berlaku apa-apa ke atas ayah dan ibu selepas divaksin, mereka mungkin menyesal kerana membuat keputusan yang salah.
Suatu hari, panggilan adik bongsunya Mimi membuatkan hatinya berkecai umpama kaca terhempas ke batu. Sudahlah saban hari tiada hentinya menghimpun doa untuk bertemu ayah bonda, kerinduan jika terkumpul barangkali sudah bertimbun menjadi gunung.
“Ayah tak sedarkan diri,” Suara Mimi yang kedengaran amat cemas mengejutkan Dr. Emma dari imbauan silam. Mengikut cerita Mimi, 10 ahli keluarga Dr. Emma di kampung telah dijangkiti virus Covid-19, termasuk Mimi.
Mengikut kronologi gejala, kes indeksnya mungkin sekali Fatah, kerana Fatahlah yang saban hari keluar ke pasar membeli sarapan buat ayah. Ayah pula, bila dinasihatkan janganlah selalu menyuruh Fatah ke pasar, tidak dihiraukan, malahan dimarah pula Dr. Emma.
Ayah sebagai penghidap skizofrenia, selalunya ahli keluarga mengikut saja kehendaknya kerana jika dibantah, ayah akan mengamuk. Dr. Emma pada waktu itu, dek terlalu kecewa dengan keengganan ahli keluarganya, bertindak menjauhkan diri dengan keluar dari kumpulan komunikasi keluarga, maka perkembangan ayah hilang sedikit dari radar, hanya bertanya khabar melalui Mimi yang kebetulan berada di kampung.
Setiap saat Dr. Emma memanjatkan doa, agar dipanjangkan usia ayahnya, sekian lama tidak bertemu kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan. Hatinya menanggung sebak, setiap kali teringatkan ayah. Ayah amat sayangkan Dr. Emma, satu-satunya anak yang berjaya mencapai cita-cita yang diaspirasikan ayah sejak dia kecil, untuk menjadi seorang doktor pakar. Dia juga sangat menghargai ayahnya, kerana dalam cabarannya sebagai pesakit skizofrenia ayah masih mampu merangsang anak-anak untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik sehingga mampu keluar daripada kepompong kemiskinan.
Ayah baik-baik sahaja sejak ditinggalkan kali terakhir enam bulan lalu. Meskipun sudah berusia 75 tahun, keadaan ayah relatif sihat dengan bantuan ubatan yang diambilnya dengan penuh disiplin setiap hari. Covid-19 menyerang ayah dengan durjana, pantas merampas upaya ayah untuk makan dan minum dalam semalaman sahaja.
Keesokan paginya, ibu mendapati ayah tidak sedarkan diri,. Keadaan menjadi sangat gawat kerana ibu juga disahkan positif, dan tidak dapat menguruskan ayah. Ayah akhirnya dibawa ke hospital dan disahkan positif Covid. Ayah juga mengalami sepsis akibat jangkitan paru-paru di samping mengalami strok kerana tekanan darahnya meningkat mendadak setelah tidak dapat makan ubat. Ayah pergi untuk selamanya setelah empat hari menerima rawatan.
Pemergian ayah meninggalkan kekosongan yang mendalam dalam jiwa. Perginya bagaikan begitu sahaja, tiada ucapan selamat tinggal, tiada pesanan terakhir dan tiada pelukan kucupan terakhir, hanya mampu melihat secara maya. Saat pengebumian juga, ahli keluarga hanya mampu melihat dari jauh, hanya seorang adik lelaki yang berpakaian pelindung diri lengkap dibenarkan terlibat dalam proses solat jenazah dan pengebumian.
Bukan tidak reda dengan pemergian ayah, Dr. Emma amat faham inilah yang dikatakan suratan takdir. Sekian lama tidak bertemu, menahan rindu yang sarat di kalbu saban hari, akhirnya, ayah pergi tanpa pesan. Asbab kejahilan dan keengganan keluarganya sendiri, itu yang paling Dr. Emma kesalkan. Mereka begitu yakin dengan keputusan untuk tidak divaksin, sehingga sanggup mempertaruhkan kepentingan orang lain.
“Yang pergi biarkanlah berlalu, tetapi usaha untuk ibu yang masih tinggal tetap ku teruskan. Tidak lagi aku pedulikan tentangan daripada orang lain,” tekad hati Dr. Emma. Sempat juga Dr. Emma bertindak sekali lagi memberi penerangan untuk Cikgu Alina. Sebelum ini Dr. Emma sangat rapat dengan Cikgu Alina, dan sangat menyayangi adiknya itu, namun, perbezaan pendapat mengenai vaksin menghakis kemesraan antara mereka. Sayang sekali andainya Cikgu Alina membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tidak sahih dan daripada sumber maya yang tidak dilakukan verifikasi. Semoga dengan penerangan itu, adiknya akan menukar fikiran memandangkan adiknya merupakan penjawat awam seperti Dr. Emma.
Slot baru untuk vaksin segera ditempah untuk ibu, yang penting ibu mesti dilindungi. Benar, Allah yang menentukan segala-galanya, tapi Allah juga memerintahkan hamba-Nya berikhtiar dengan pelbagai cara. Vaksinasi adalah termasuk salah satu cara ikhtiar yang digazetkan oleh kerajaan.
“Kisah ayahku jadikan tauladan, menongkah tohmah, itu tanggungjawab kita semua untuk mendapatkan info-info yang ditentusahkan oleh pihak mempunyai autoriti. Menongkah tohmah, itu matlamat, demi memastikan negara kita bebas daripada ancaman wabak maut yang telah merampas ayah, memisahkan kami antara dua dunia, kuharapkan tidak terjadi pada mereka di luar sana,” monolog hati Dr. Emma.
Rintik hujan mula membasahi pusara ayah. Dr. Emma melangkah meninggalkan tempat istirahat ayahnya di alam abadi.
“Tenanglah ayah, Emma teruskan perjuangan mencari kesejahteraan kesihatan untuk ibu dan orang lain pula,” bisik hatinya perlahan.
“Besar nanti jadi doktor ya, Emma, boleh rawat ayah nanti, boleh tolong orang lain yang sakit juga,” raut tampan ayah yang selalu Dr. Emma rasakan mirip aktor tersohor Yusof Haslam, sewaktu mudanya, sering menanam cita-cita supaya dia menjadi seorang doktor, terbias dalam cermin memori waktu kecilnya.
Segera mutiara jernih yang berjatuhan di pipi diseka. Senyum manisnya kembali terukir, jiwa Dr. Emma kembali diresapi semangat baru yang berkobar-kobar. – Mingguan Malaysia

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN