Sambal Leman - Utusan Malaysia

Sambal Leman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Karya Azwin Hamdan

Cuaca bertukar mendung dan gelap. Leman mendongak ke atas lalu memandang langit yang luas terbentang. Dia dapat melihat dengan jelas awan stratokumulus bertukar warna. Dia tidak sangka alam turut sama menangis menemaninya pada saat dia kehilangan pekerjaan hari ini.
Dia termenung memikirkan nasib isteri dan dua anaknya yang masih kecil. Malah dia juga tidak tahu bagaimana mahu menyusun ayat memberitahu khabar duka pada belahan jiwanya, Tipah, bahawa syarikat tidak mampu menggaji dia lagi.
Kata bos, “Aku terpaksa membuang engkau supaya syarikat dapat bertahan.” Leman hanya mampu diam seribu bahasa. Dia sedar dia cuma kuli dan tiada makna jika dia naik angin. Kata–kata bos ditelan biarpun terasa perit. Untuk terakhir kalinya dia masih perlu mengintil bos sedangkan dia tahu esok dia tidak perlu datang lagi.
Sudah hampir sebulan Leman tiada selera makan. Biasanya air tangan Tipahlah yang dirasakan paling sedap di dunia ini. Tapi sejak dia kehilangan pekerjaan, tekaknya seakan tidak mampu menelan. Kerongkongnya pun sama naik, menolak apa saja yang dia jamah.
“Aku sedih, Tipah. Aku ini lelaki, kepala rumah tangga. Mengapa Tuhan uji aku sebegini?” luah Leman hiba.
Dia hilang sumber mata pencarian pada waktu wabak menular dan ekonomi berdepan krisis. Ego lelakinya tercalar apabila gagal mencari pekerjaan. Sudah merata–rata dia menghadiri temuduga dan sudah berkali-kali juga dia berasa hampa.
Tipah memegang erat tangan Leman. Dia memujuk hati suaminya dengan mengatakan bahawa bukan mereka sekeluarga saja yang berhadapan masalah sebegini. Leman diam. Ada benarnya kata-kata Tipah itu.
Dia tidak dibenarkan berundur selagi belum berjuang habis-habisan. Nasi dan ikan goreng bersama sambal yang ditumis Tipah dimakan dengan penuh lahap. Tipah memang pandai memasak. Leman tidak tahu bagaimana makan pakainya jika ajal menjemput Tipah terlebih dahulu.
“Sedap sungguh sambal yang kau buat ini, Tipah,” puji Leman sehingga Tipah malu-malu. Kalaulah Leman tahu bahawa sambal itu cuma dibuat daripada bawang dan cili hidup sahaja, tentu Leman tidak percaya.
“Ramuannya mudah saja, bang. Yang penting, teknik memasak dan garam gula yang cukup rasa. Sambal ini boleh tahan lama. Kalau nak masak cepat, campakkan saja sambal ini dan letaklah ayam, ikan, udang atau apa saja yang mahu dimakan,” kata Tipah bangga. Kembang-kempis hidungnya semasa bercerita.
Dia yang memang tidak pernah bekerja sejak berkahwin memang hanya tahu memasak sahaja. Leman memandang Tipah lama.
Ada sesuatu yang menjalar di ruang mindanya. Dia segera membasuh tangan dan mencapai pensel kontot milik anaknya. Leman mencatat bahan yang diperlukan untuk membuat sambal.
Tidak lama kemudian, Leha cuma mendengar bunyi deruan motor Honda yang sudah berkarat milik Leman. Tercengang-cengang Tipah dibuatnya. Dia hanya memandang sepi pinggan yang ditinggalkan Leman. Masih bersisa dengan nasi dan separuh ikan goreng.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Leman dan Tipah berganding bahu mahu mencari rezeki dengan meniaga sambal. Leman yang tidak pernah tahu cara mengupas bawang sanggup berpenat-lelah belajar dengan Tipah. Tiga empat kali juga dia mengaduh sakit apabila jarinya terhiris dek mata pisau yang tajam.
Bagi Leman, bisa pisau masih mampu ditahan. Yang dia tidak tahan apabila lidah Tipah lebih tajam daripada mata pisau.
Acapkali dia disindir kerana terkial-kial memotong bawang dan cili. Mujur Tipah sebagai guru memasak tidak mengetuk kepalanya dengan sudip.
Leman dan Tipah tersenyum bangga apabila berjaya menghasilkan 50 botol sambal. Tidak sia-sia mereka berdua bertungkus-lumus bermandikan peluh mencari bahan dan memasak.
“Bagaimana kita mahu menjualnya?” soal Tipah. Dia tidak tahu berniaga. Leman meyakinkan Tipah bahawa dia pasti berjaya menjual kesemua botol itu dalam tempoh seminggu.
Leman menggunakan semua saluran yang ada untuk memasarkan produknya, Sambal Leman. Dari Facebook, Instagram hinggalah aplikasi WhatsApp, dia mengiklankan Sambal Leman tanpa jemu. Tidak sampai empat hari, Leman berjaya menjual kesemua sambal yang dibuatnya bersama Tipah.
Untuk sesi memasak kali kedua, Leman mengambil langkah bijak dengan mengambil pesanan pelanggan terlebih dahulu atau pra pesanan. Kaedah ini membuatkan dia tidak perlu membeli bahan mentah berlebihan dan kerugian untuknya juga berkurang.
Leman dan Tipah berusaha gigih. Jenama Sambal Leman sudah menjadi buah mulut masyarakat setempat. Leman tersenyum bangga. Kali ini, pra pesanan sudah mencecah 400 botol.
Leman dan Tipah tidak berdaya melakukannya jika berdua sahaja. Dia membuka rezeki dengan mengambil pembantu. Dari seorang kini sudah menjadi tiga. Leman dan Tipah cuma mengarah saja dan sesekali turun padang membantu.
Tujuh bulan kemudian. Leman dan Tipah masih lagi giat menjual Sambal Leman yang menjadi produk laku keras di pasaran.
Satu hari, Leman terserempak dengan majikan lamanya. Saling bertanya khabar, Leman memberitahu apa aktivitinya kini.
“Tahniah. Aku seronok melihat kejayaan kau. Tapi, perniagaan sambal ini sudah dimonopoli oleh ramai orang. Pasti kau tidak akan kekal lama,” kata bekas bosnya seakan mengejek. Leman sekadar tersenyum hambar.
Bekas bosnya itu memang bersikap sebegitu dari dulu lagi. Bab kenaikan gaji berkira. Hal ehwal kebajikan pekerja dipandang secara sambil lewa. Senang cakap, bosnya memang pandai ambil kesempatan. Leman menukar topik perbualan pada perihal anak -anak bosnya pula.
“Aku baru dihubungi guru anakku. Katanya, anakku memuat naik video dengan memaki–hamun dan mencarut guru kelas dan pihak sekolah.” Bulat mata Leman.
Zaman sudah berubah. Guru yang layaknya dihormati tidak lagi dipandang tinggi. Teknologi yang semakin canggih membuatkan situasi menjadi buruk. Dengan sekali hantaran menerusi laman Facebook contohnya, satu dunia sudah tahu isinya.
“Jadi apa bos jawab?” tanya Leman.
“Aku cakap anakku masih belum matang lagi. Guru tidak perlu ambil hati.”
“Mengapa bos berkata begitu? Kalau aku, sudah aku sebatkan,” jawab Leman kurang bersetuju.
Mujur dia bukan lagi kuli pada bosnya. Jika tidak, tentu bibirnya sudah bengkak akibat ditumbuk.
“Sekolah perlu berubah. Harus dibangunkan sebagai bangunan kasih sayang. Guru-guru jangan suka-suka mahu memarahi pelajar kerana pelajar ini punya hak, punya suara yang perlu didengar,” bersungguh bekas bosnya memberi hujah.
Leman manggut-manggut kepalanya sebelum mengambil dua botol Sambal Leman lalu dihulurkan pada bosnya. Baru dia tahu walaupun lelaki itu belajar tinggi dan selalu cakap dirinya bijak pandai, rupa-rupanya masih belum cukup bila masuk ilmu kehidupan.
“Kau mahu jual padaku?”
“Tidak. Anggap saja sebagai hadiah buatmu. Kuberikan percuma saja,” balas Leman sambil menyentuh janggutnya yang sejemput saja.
Bukan dia tidak tahu bos lamanya itu kedekut. Duit sekupang besarnya seperti roda kereta lembu!
“Bos, aku mahu bos tahu bahawa sambal aku ini sambal ajaib. Selain rasanya yang sedap, bos boleh gunakan untuk mencili mulut anakmu. Aku bimbang jika bos tidak mencili mulutnya sekarang, sepuluh tahun lagi dia mungkin memuat naik video menghina Tuhan,” kata Leman lalu meninggalkan bos lamanya dengan wajah yang terpinga-pinga. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya