Semanis kurma Ajwa - Utusan Malaysia

Semanis kurma Ajwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Karya TUAN SITI MASTAZAMEATUN

Keadaan tubuh ketika berbadan dua memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata yang ada di dalam kamus. Apatah lagi ingin dijelaskan dengan bahasa yang paling mudah difahami oleh semua manusia. Hanya yang mengalami proses kehamilan akan dapat berempati dengan situasi yang sedang aku alami ini. Memboyot dengan usia kandungan memasuki bulan keempat, bukan suatu kondisi yang membolehkan aktiviti lasak atau berat dilakukan. Tambahan pula, kandungan ini adalah si sulung. Semua pengalaman ini adalah asing dirasakan buat seorang bakal ibu sepertiku.
Solat tarawih yang sudah disempurnakan secara berjemaah sebanyak 20 rakaat dan 3 rakaat witir sebentar tadi, hakikatnya sangat menduga. Rasa loya yang bermula seawal semester pertama mengandung masih berlarutan. Namun itu tidak melemahkan iman seorang hamba untuk terus sujud kepada-Nya. Malam ini sudah masuk hari kelima aku berpuasa. Sesungguhnya, fizikal seorang wanita yang sedang mengandung adalah sangat berlainan daripada wanita lain. Dia boleh merasa pening, loya dan mungkin muntah secara tiba-tiba.
Oleh kerana itu, aku sering membawa bekal minyak angin di dalam poket jubah, walau ke mana sahaja destinasiku. Aku sangat bersyukur kerana diberikan kekuatan oleh-Nya untuk menikmati pengalaman baharu berpuasa ketika berbadan dua.
Semua jemaah sudah mula meninggalkan surau secara perlahan-lahan. Penjarakan satu meter di antara para jemaah, tidak membolehkan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman, dilakukan. Maka, semua jemaah sekadar melayang senyum dan memberikan isyarat mesra tangan kepada satu sama lain.
Keputusan kerajaan untuk aktiviti solat tarawih dibenarkan, adalah satu kurniaan Ilahi paling indah. Mana tidaknya, selepas serangan wabak Coronavirus sejak awal tahun 2020, Ramadan tahun itu menempatkan semua jemaah di rumah masing-masing. Sungguhpun diperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di surau ini, seperti mengehadkan bilangan jemaah, penjarakan kedudukan dalam saf, dan pemendekan keberadaan dalam surau, namun suasana syahdu menyempurnakan solat sunat tarawih secara berjemaah kali ini amat terasa.
Seusai melipat sejadah, aku yang menapak ke arah pintu surau, dihentikan oleh kewujudan sesusuk tubuh bertelekung putih yang masih duduk di saf. Sudah lima malam berturut-turut aku melihatnya begitu pada setiap kali ingin meninggalkan surau. Memang tidak pernah aku lihat kelibatnya pada saat masuk ke surau, kerana mengejar tempat dalam saf.
Tetapi, setiap kali ingin pulang, susuk itu sentiasa menarik pandangku. Entah mengapa naluriku pada malam itu, amat ingin tahu tentangnya. Aku menarik nafas panjang apabila tiba-tiba diserang rasa loya memual. Dengan pantas, kucapai minyak angin di poket jubah dan cepat-cepat melesek sedikit minyak di hujung jari ke dua bukaan rongga hidungku sambil memejam mata. Berkali-kali aku menarik nafas untuk melegakan kemualan dengan bau minyak angin. Selepas berasa selesa, aku membuka mata perlahan-lahan.
Aneh sekali kerana susuk yang sedang duduk di saf tadi, sudah tidak kelihatan. Sedikit rasa pelik menerjah ke fikiran.
Apakah aku salah mata atau tersalah memandang sebentar tadi? Atau apakah dia telah keluar ketika aku sedang sibuk melayan mualku? Mustahil, kerana jasad itu jelas di pandanganku dan masakan dia mampu keluar sedang aku berdiri di muka pintu bahagian Muslimat ini?
“Sayang, oh, sayang. Sudah dah ke? Jom!”
Kecelaruanku terhenti oleh sapaan suamiku, Syahmi, yang berada di kaki tangga surau bahagian muslimat. Pasti dia sudah sudah jenuh menungguku dari tadi, menyebabkan dia datang menjenguk.
Aku menggeleng-geleng kepala dan memejam katup mata beberapa kali. Mungkin benar, aku berhalusinasi sebentar tadi. Dengan keadaan yang tidak sesegar mana dan dalam keletihan, memang mudah untuk seorang individu mengalami halusinasi sebegitu.
“Ok, bang,” jawabku seraya meninjau-ninjau sekali lagi ke dalam kawasan surau. Ternyata tiada sesiapa di situ.
Segera aku mendapatkan Syahmi. Aku buka lipatan tongkat yang digenggamnya dengan sedikit bebelan manja, “Kenapa abang tak buka tongkat ni. Kalau terpijak lubang, nanti jatuh.”
Syahmi sekadar tertawa kecil. Dia meraba-raba tongkat yang aku hulurkan ke telapak tangan kanannya.
“Alhamdulillah, si buta ini punya jiwa yang menyintainya. Bertuah sangat abang kerana ada sayang,” seloroh Syahmi.
Aku memeluk lengan kiri Syahmi dan melangkah seiring meninggalkan kawasan surau. Kegelapan malam di sekitar kawasan kampung ini, semakin memekat tatkala jarum panjang jam tanganku menegak ke arah nombor 10.
Aku sangat sukakan kegelapan kerana ia memberikan gambaran tentang pemandangan yang dinikmati Syahmi sejak dia kehilangan deria penglihatan tahun lepas akibat dilanggar lari, beberapa bulan sebelum kami mendirikan rumah tangga.
Asbab Covid-19, Syahmi yang komited bekerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan domestik untuk mengumpul duit bagi melangsungkan perkahwinan kami, telah dibuang kerja bersama-sama hampir 1,000 orang pekerja lain kerana kerugian yang dialami oleh syarikat.
Larangan merentas negara, negeri dan daerah di negara-negara yang diserang virus durjana itu, mengakibatkan syarikat penerbangan tempat Syahmi mencari rezeki telah mengalami kelumpuhan kewangan. Akhirnya Syahmi terpaksa menjadi penghantar atau rider di Foodpanda iaitu sebuah pasaran penghantaran makanan mudah alih yang mana pengguna memesan atau menempah makanan dari restoran atau kedai makan menggunakan aplikasi di telefon pintar.
Matlamat untuk tidak menunda perkahwinan kami memaksa Syahmi keluar menghantar makanan tidak kira waktu; pagi, petang, siang, malam, panas atau hujan. Dan pada suatu petang tika hujan lebat membasah bumi tanpa belas, motor berlogo Foodpanda yang dipandu oleh Syahmi telah dilanggar oleh sebuah kereta sedan yang terbabas kerana dipandu laju.
Lebih malang apabila cermin helmet yang dipakai Syahmi telah pecah akibat hentakan kuat kepalanya ke atas jalan raya tar dan tertusuk ke dalam kedua-dua belah matanya. Doktor juga tidak dapat menyelamatkan anak mata yang sudah cedera teruk, dek kerana tidak dibawa segera ke hospital. Pemandu kereta sedan juga telah menghilang selepas kemalangan berlaku.
“Sayang, kenapa dulu sayang nak juga kahwin dengan abang, walaupun abang dah tak sempurna masa tu?” soal Syahmi, sekali gus mematikan lamunanku.
Aku mengukir senyum. Angin malam Ramadan keenam itu, aku sedut sedalam-dalamnya sambil terus merangkul lengan Syahmi. Langkah kami masih seiring menuju ke pondok bahagia kami berdua.
“Sebab sayang janji nak kahwin dengan abang, bukan kerana abang sempurna. Sayang pun tak sempurna. Jadi, kenapa nak memungkiri ikatan kita, hanya semata-mata kesempurnaan itu sudah tiada?” soalku, untuk sebuah soalan daripada insan yang paling kucintai itu.
Syahmi mengeluh. Raut wajahnya berubah risau. Aku yang disisinya amat faham dengan kegelisahan itu. Lagi lima bulan, anak sulung kami akan dilahirkan, dengan izin Allah. Kerisauan itu, berkali-kali disuarakan oleh Syahmi. Dia amat khuatir dengan kehadiran zuriat kami dalam kekurangan yang dimilikinya sebagai seorang suami dan ayah.
“Abang, sayang kan masih boleh buat kuih-muih untuk dijual di pasar pagi. Dan juga usahakan kedai makan, peninggalan arwah bapa tu. Insya-Allah, bang. Allah tidak menguji hamba-Nya di luar batas kemampuannya. Kita berusaha dan berdoa, bang. Selebihnya, serahkan kepada Allah. Tak baik kita mengeluh di atas nikmat Allah yang paling istimewa ni,” ujarku sambil mengambil telapak tangan kiri Syahmi dan meletakkan ke atas perutku yang sudah mula memboyot.
“Astaghfirullahal‘aziim. Abang lupa bahawa dugaan ini juga adalah nikmat Allah kepada hamba-Nya. Alhamdulillah, abang dikurniai cinta seorang wanita yang sangat ikhlas seperti sayang,” Syahmi bersuara sebak, lantas rangkulanku diusap lembut olehnya.
Keesokan malamnya, aku dan Syahmi menyempurnakan lagi solat sunat tarawih di surau. Cuma malam itu, aku membuat tekad untuk mencari susuk yang setiap malam muncul mencuri pandangku.
Aku bernasib baik kerana berjaya menegur si empunya susuk bertelekung. Rupa-rupanya, dia bernama Faridah. Seorang wanita di penghujung usia 60-an. Saat dia kutegur, kelihatan wajah tua itu berseri dengan senyum penuh mesra.
Dia mengajak aku berbual di luar kawasan surau kerana mengikut SOP, surau mesti ditutup seusai solat sunat tarawih disempurnakan. Moreh juga sekadar dengan membahagi-bahagikan bungkusan makanan kepada jemaah, itupun jika ada yang mahu mengumpul pahala bersedekah untuk jemaah.
Syahmi turut bersamaku ketika Faridah membuka cerita. Memang benar bahawa aku melihat susuknya semalam. Dia bukan menghilang, tetapi dia sebenarnya mengejar kelibat Syahmi ke bahagian muslimin.
Dia gagal mendapatkan Syahmi kerana tubuh yang sudah tua, tidak mampu bergerak pantas. Apabila mendapati Syahmi tiada, dia keluar daripada surau melalui pintu di bahagian muslimin.
“Puan mencari saya? Kenapa? Maaf puan, saya tidak mengenal nama puan. Apatah lagi tidak berdaya menatap wajah puan,” ujar Syahmi perlahan.
“Masya-Allah, Syahmi. Sungguh bernasib baik Mami dapat jumpa hang,” ujar Faridah yang selesa membahasakan dirinya sebagai ‘Mami’.
“Biarlah Syahmi tak kenal Mami pun. Mami kenal sangat hang. Cari lama dah hang. Awal Ramadan ni baru tahu cerita daripada anak menakan Mami. Sebenarnya, laki kepada anak menakan Mami yang melanggar hang dulu.
“Mami sayang sangat kat anak menakan Mami tu, sebab Mami tiada anak sendiri. Tapi, sebab laki dia langgar lari hang dulu, Mami nak marah sangat. Alhamdulillah, selepas tahu hang ni orang kampung ni juga, Mami duk usaha, cari masa nak bagitahu. Kami anak-beranak setuju nak bagi pampasan pada hang sekeluarga. Dan dengar cerita isteri hang berniaga kan? Kami juga nak jadi penaja untuk perniagaan hangpa. Tak perlu kata setuju ke tidak, esok Mami pi rumah, kita sembang kasi jadi ya,” ujar Faridah secara panjang lebar.
Aku dan Syahmi terkesima. Kami lebih terkejut apabila sebuah kereta mewah berhenti di pinggir jalan tidak jauh dari tempat kami berbual, dan Faridah mempelawa kami untuk dihantar pulang.
Setibanya di pondok kami, sebelum beredar pergi, Faridah menurunkan cermin kereta dan menjenguk ke arah kami. Dihulurkan sebuah kotak yang berhias gambar buah kurma ranum di tangkai.
“Ni ada kurma Ajwa. Hangpa pakat makan lah. Semoga sihat lah baby hang nanti selepas makan kurma Nabi ni. Syahmi, Allah itu Maha Pemurah. Insya-Allah, Mami tolong hang sekeluarga. Mami balik dulu. Assalamualaikum,” Faridah melambai dari dalam kereta mewah yang berlalu pergi.
Aku memandang kereta yang semakin hilang daripada pandangan. Ramadan yang penuh keberkatan ini memekar sejuta rasa syukurku kepada Allah SWT.
Dengan segala ujian yang ditimpakan ke atas Syahmi, Allah mengurniai pengakhiran segala keresahan hamba-Nya itu dengan nikmat tidak terduga yang semanis kurma Ajwa di dalam kotak yang kupegang. Dalam kebisuan penuh syahdu, aku dan Syahmi melangkah masuk ke pondok kami dengan titis air mata syukur. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya