Kotak wasiat Abah - Utusan Malaysia

Kotak wasiat Abah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen karya Ramli Abdul Halim

“ABAH seorang bapa yang gagal”
Itu ungkapan yang sering terpancul keluar dari mulut Abah ketika dia masih sihat. Ketika dia mula sakit sehinggalah ke hujung usianya, itulah juga yang Abah sering ungkapan. Sukar untuk ditolak ungkapan Abah itu daripada berputar dalam kepala Izuddin.
Ketika semua orang sudah meninggalkan kawasan perkuburan setelah urusan pengebumian selesai, Izuddin masih bersimpuh di sisi pusara Abahnya.
Wajah penuh kecewa dengan sikap anak-anak, tertayang di ruang mata Izuddin, menyebabkan air jernih meniti di pipinya.
“Kalau Abah mati, jangan batu-nisankan pusara Abah” itu antara pesanan dan wasiat Abah.
“Abah tidak mahu anak cucu anggap Abah pernah wujud di muka bumi ini” itu kata Abah bila ditanya kenapa Abah tidak mahu pusaranya ada tanda.
Malah, Abah kata selepas kematiannya, tidak payahlah namanya disebut-sebut, tidak ada apa yang anak cucu boleh dan patut warisi daripada Abah.
Katanya, tidak ada harta benda untuk dipesakakan kepada anak cucu, tak ada teladan yang boleh diteladani dari Abah selaku bapa yang gagal.
“Abah seorang bapa yang serba tidak mampu” itu kata Abah apabila meluahkan kekecewaan daripada tidak mampu mengawal perilaku adik yang liar, keras pedal, buruk laku dan tidak dengar ‘gemala’.
“Adik lebih utamakan kecek kawan-kawan daripada akur-patuh pada nasihat dan bebelan Abah,” Bebel Abah.
“Apa yang Abah tidak suka buat, itulah yang adik buat kerana akur dengan kecek kawan bahawa Abah orang tua berfikiran kolot dan ketinggalan zaman” bebel Abah lagi.
“Kononnya cara hidup yang Abah mahu adik corakkan adalah corak cara zaman ‘tokong tonggek’, zaman putung berasap dan ketinggalan zaman,” tokok Abah.
“Abah tidak dapat mewahkan anak-anak. Kerana itu Abah dilihat tidak ada sebarang nilai di mata anak-anak” tokok Abah lagi.
“Walaupun Abah bukan pemalas tetapi rezeki untuk Abah liat, Abah tidak tahu apa silap dan dosa Abah sehingga dikifarah dengan susah nak dapat rezeki,” ujar Abah yang kerana terlalu dukacita membawa kepada Abah jatuh sakit.
Abah pernah berjaya dalam apa yang diusahakan tetapi akhirnya musnah kerana menjadi mangsa rakan yang tidak jujur dan mengambil kesempatan daripada sikap mudah berkira Abah.
Dalam keadaan nanar menghadapi kejadian yang di luar jangka berlaku kepadanya, Abah menerima surat dari Mahkamah Syariah, surat permohonan cerai daripada Mama.
Abah akur dengan permohonan Mama kerana Abah tidak mahu berkongsi kesusahan yang tidak dapat dipastikan bila akan berakhir kerana untuk bangkit setelah jatuh bukan perkara mudah.
Sejak itu, Abah tidak seceria dulu lagi, malah bila bercakap, Abah banyak menghina diri sendiri di samping meramalkan masa depan yang kelabu dan kelam.
“Abah tahu anak-anak tidak sukakan Abah, anak-anak tidak pernah berasa bangga berbapakan Abah, malah mungkin anak-anak menyesal kerana berbapakan Abah,” kata Abah.
“Kerana itulah anak-anak tak pernah mahu dengar cakap Abah, nasihat Abah. Apa yang Abah tak suka, itulah yang anak-anak suka buat,” kata Abah lagi.
“Kawan-kawan yang Abah tidak suka anak-anak jadikan kawan rapat, maka kawan-kawan itulah yang anak-anak Abah jadikan kawan,” tambah Abah.
“Abah sedar, anak-anak Abah buat apa yang Abah tidak suka adalah disebabkan anak-anak protes kerana Abah seorang bapa yang gagal,” tambah Abah.
“Akhirnya Abah terpaksa biarkan anak-anak buat yang anak-anak mahu dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana nasihat Abah dianggap bebelan seorang bapa yang ortodoks,” tokok Abah.
“Abah bukan mahu anak-anak takutkan Abah tetapi Abah mahu anak-anak hormati Abah sebagai bapa,” tokok Abah.
“Apa yang Abah suruh dan larang adalah untuk kebaikan anak-anak dan Abah cuba memenuhi tuntutan dan kewajipan seorang bapa,” ujar Abah.
“Abah mahukan anak-anak tak tinggal solat, sebagai tanda protes terhadap kemahuan Abah, waktu sepatutnya anak-anak solat ada anak yang memetik gitar, ada yang berfacebook, ada yang main game,” ujar Abah lagi.
“Ketika Abah mahu ke masjid untuk solat berjemaah, ada anak-anak yang mengamuk minta hantar ke pasar raya, ke gelanggang futsal dan macam-macam” tokok Abah.
“Sebenarnya amukan itu adalah amukan syaitan dan iblis yang disalurkan melalui anak-anak Abah yang jauhkan diri dari masjid dan surau, menjadikan diri dekat dengan syaitan dan iblis,” tokok Abah lagi.
“Kerananya Abah berasa sangat kecewa dan merasakan Abah adalah satu-satunya bapa paling malang dan paling gagal pernah muncul di muka dunia ini,” kata Abah.
“Abah tak merokok tetapi anak-anak Abah menjadi perokok tegar kerana Abah tak suka anak-anak merokok, maka sebagai protes itulah yang paling suka anak-anak buat,” tambah Abah.
“Bila ditegur anak-anak balik lambat setelah tidak patuhi larangan Abah supaya jangan keluar malam, anak-anak akan bangkitkan kenapa bila Mama balik lambat, malah adakalanya Mama tidak balik langsung bila keluar rumah, Abah tidak bebelkan Mama pun,” tambah Abah.
“Kerananya Abah bukan sahaja merasakan diri sebagai bapa yang gagal, tetapi juga Abah merasakan Abah adalah suami yang gagal,” sambung Abah.
“Kerana itu bila Mama memohon perceraian di Mahkamah Syariah, tanpa banyak soal Abah ceraikan Mama walaupun anak-anak tidak setuju, marah dan protes,” sambung Abah lagi.
Air jernih terus mengalir di pipi Izuddin.
Mengenangkan bebelan Abah, membuatkan hati Izuddun terhiris kerana dia adalah antara anak Abah yang paling tidak mendengar nasihat Abah, yang sentiasa memperlekehkan teguran dan bebelan Abah.
Bila Abah larang keluar malam, semakin kerap dia keluar.
Bila diingatkan supaya jangan balik lambat, akan disengajakan lambat balik, malah sering dia tidak balik langsung dan bermalam di rumah kawan.
Tujuannya untuk menyakitkan hati Abah, untuk tunjuk protes dan memperlekeh nasihat dan teguran Abah kerana Abah bukan orang ternama, bukan orang kaya dan berdarjat.
Setelah Abah tidak ada lagi, barulah Izuddin sedar betapa perlunya seorang bapa kepada seorang anak.
Malah bila Abah sering sebut dia adalah bapa yang gagal, pusaranya tidak mahu dipacak batu nisan dan anak cucu diharapkan tidak mengenalinya dan tidak akan sedar kewujudan di dunia, barulah dia sedar bahawa Abah sebenarnya sangat kecewa.
Sikap anak-anak benar-benar mengecewakan Abah.

(ii)
Kotak kecil yang di luarnya bertulis wasiat, dibuka.
Sebagaimana berdebarnya Izuddin, abang dan kakak-kakaknya juga berdebar.
Masing-masing pasti tidak sabar untuk mengetahui isi kandungan kotak wasiat Abah.
“Hanya sekeping kertas,” kata Izuddin.
“Tentu ada catatan pada kertas itu?” kata seorang daripada kakaknya.
“Bacalah, kami nak dengar,” desak seorang lagi kakaknya.
“Anak-anakku! Melalui wasiat sekeping kertas ini, Abah sebagai bapa yang gagal, yang tidak ada nilai di sini anak-anak, ingin tegaskan bahawa anak-anak tetap agung di mata dan di hati abah.
Abah bekerja keras untuk dinilai sebagai seorang bapa yang hebat, disukai, dihormati dan dibanggai anak-anak, tetapi Abah gagal.
Kerananya Abah jadi bapa yang gagal dan sangat layak benar untuk tidak dihargai,malah amat wajar dipandang lekeh oleh anak cucu.
Walaupun anak-anak menjadikan Abah sebagai bapa yang gagal tetapi Abah tidak pernah bencikan anak-anak.
Walaupun anak-anak tidak pernah doakan untuk kesejahteraan Abah, namun Abah tidak pernah lupa berdoa untuk kesejahteraan anak-anak.
Abah berbohong kalau Abah katakan Abah tak berkecil hati dengan anak-anak sebagai bapa yang gagal.
Tetapi Abah minta Allah ampunkan dosa besar dan dosa kecil anak-anak.
Abah berdoa supaya Allah tidak senaraikan anak-anak sebagai anak-anak yang derhaka.
Juga nyatakan kepada Mama bahawa Abah memaafkannya dan tidak pernah mengangapnya sebagai isteri derhaka.
Untuknya Abah berdoa kepada Allah supaya dia tidak dibebankan dosa kerana minta cerai, satu perbuatan yang boleh menyebabkan bergegarnya tiang Arasi.
Yang Abah harap dan merayu sangat-sangat supaya anak-anak lelaki Abah tidak ikut jejak Abah menjadi bapa yang gagal, mahu pun sebagai suami yang gagal.
Anak-anak perempuan jangan jadi isteri-isteri yang gagal.
Pastikan cucu cicit Abah tidak juga tidak ikut jejak Abah.
Anak-anak Abah jumpalah dengan pengurus yang Abah gajikan untuk menguruskan syarikat Abah.
Tanya ke mana perginya lebih sejuta ringgit duit Abah yang Abah kumpul untuk anak-anak.
Kalau masih ada, agihlah secara saksama dalam kalangan anak Abah. Jangan berbalah dan bermusuh sesama sedarah sedaging kerana wang, kekalkan hubungan adik beradik hingga hujung nyawa.
Kalau wang itu diberitahu sudah tidak ada, jangan marahinya dan berdoalah kepada Allah semoga bekas pengurus syarikat Abah diberi hidayah dan diampuni dosanya.
Wang yang dihilangkan anggapkan sahaja sebagai sedekah.
Paling penting anak-anak jangan tinggal solat, kena selalu meningkatkan kualiti iman dan takwa.
Amal ibadah anak yang soleh akan membantu menselesakan Abah di alam kubur dan di alam akhirat nanti.
Seksa Abah di dalam kubur dan di alam akhirat nanti kalau anak-anak hidup dengan perangai buruk dan culas dengan masjid atau madrasah, apatah lagi kalau tinggalkan sembahyang.
Masing-masing kena ingat bahawa anak-anak Abah bakal mati, mahu atau tak mahu, suka atau tak suka, semuanya akan mati.
“Akhirnya Abah ingin ulangi bahawa Abah sayangi kamu semua walaupun kamu semua mungkin bencikan Abah sebagai bapa yang gagal.”
Kertas wasiat terlepas dari tangan. Izuddin dan adik beradiknya gagal menahan tangis.
Masing-masing sedar bahawa masing-masing telah melukakan hati seorang Abah tetapi sudah terlambat untuk memohon keampunan.
Abah sudah pergi untuk selama-lamanya dengan meninggalkan kotak wasiatnya! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya