Terra - Utusan Malaysia

Terra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen karya Jamilah Ali

Mosem bersiul riang, langkah terhenti melihat Terra yang ralit merenung kejauhan.
“Hai sahabat, apa yang kau renungkan?” sapa Mosem ceria.
“Ah, kau Mosem, aku lihat mereka di sana.”
Mosem memandang sama.
“Kenapa kau begitu suka dengan mereka, Terra?”
“Mereka golongan unik dan istimewa.” Terra menjawab tenang.
“Bagaimana?” Mosem memancing perhatian Terra.
“Kalau kau betul perhatikan, sebilangan kecil mereka sangat istimewa, ada bezanya, Mosem.”
“Aku tidak nampak kelainan itu, pada aku mereka tetap sama, terutama perkara yang menjadi rebutan golongan mereka.” Balas Mosem yakin.
“Betul aku tidak nafikan, takhta kuasa itu sentiasa diheret ke sana sini, pantang ada peluang jika pemegang takhta tidak memegang kejap lantaran terpesona dengan sesuatu yang baharu, pasti ada yang terus merenggut takhta itu dan dijadikan hak mereka sama ada secara paksa atau paksa rela.” Terra terhenti seketika, riaknya berkerut menahan sesuatu.
“Kenapa dengan kau Terra? Tidak sihat?”
“Tidak ada apa, aku baik-baik saja.”
“Tetapi kau kelihatan seperti tidak selesa, seolah ada sesuatu yang menggeletek tenggorokmu barangkali?”
“Benar, ehem!” Terra mengakui sambil berdehem perlahan.
“Kalau kau berasa ingin batuk, luahkan sahaja, kenapa ditahan-tahan begini, Terra?”
“Aku tidak boleh sembarangan meluah batuk Mosem, nanti Al-Hafiz murka.”
“Oh! Aku faham.”
“Belum masanya Mosem, sampai saat dan ketika sudah pasti Al-Hakam izinkan aku, dan aku akan bebas melepas geli dikerongkongku di mana-mana tanpa siapa dapat menegah, bahkan kau juga tidak mampu.”
Sambil menahan ketawa Terra mengusik Mosem.
“Aku tidak faham betullah, mereka adalah sebaik-baik kejadian, tetapi mereka tidak tahu bersyukurkah?”
“Itu ujian untuk mereka Mosem, penentu untuk mereka nanti di tempat abadi, walaupun ada segelintir yang sungguh gila dengan pesona dunia tapi masih ada ramai yang sayangkan Al-Quddus dan tidak khianat.”
“Macam-macam gelagat mereka, sampaikan bawahan mereka ada yang terabai, ditindas, dipergunakan sesuka hati, untuk mencapai keinginan yang tak pernah surut.
“Baru beberapa detik lepas aku terdengar seorang mereka yang memakai topeng yang sangat elok ukirannya, dikatakan membuat ulah kotor pada bangsa yang lemah dalam kalangan mereka. Berpura-pura menjaga kepentingan marga, pada dasarnya hanyalah ingin menjaga tembolok sendiri. Ini aku cukup benci Terra, rasanya mahu sahaja aku musnahkan serta merta.”
“Sabar Mosem, kita tunggu sahaja arahan Al-Aziz nanti bagaimana dan apa tugasan untuk kita,”
“Tapi Terra, mereka ini semakin melampau, kelebihan dan kemudahan yang mereka dapat tidak digunakan dengan betul, ada sahaja kronikel baharu yang mereka ciptakan bahkan semakin banyak yang kotor dan jijik dilakukan.”
“Itu adalah kelebihan untuk mereka, mereka dikurniakan sesuatu yang kita tidak ada, Mosem.”
“Kehadiran Ona dan tenteranya juga ujian untuk mereka bukan? Tapi aku lihat mereka semakin lali dengan Ona, tidak lagi gerun seperti permulaan dulu, adakah Ona semakin tumpul taringnya?”
“Tidak juga Mosem, Ona adalah hasil tangan mereka, mana mungkin mereka gentar pada belaan sendiri? Pada kiraan aku Ona masih perkasa cuma mereka berasa makin berkuasa lalu melupakan Al-Hasib yang meluluskan segalanya.
“Dek kerana rasa berkuasa, aku percaya mereka sekarang berlumba-lumba menonjol diri siapa paling handal mengawal Ona dan tenteranya. Di samping mereka juga bijak menggunakan kesempatan yang tersedia untuk terus mengukuhkan takhta yang sementara itu.”
“Ah! Aku semakin tidak faham, apa kehendak mereka yang sebetulnya?”
“Tidak perlu kau susahkan diri memahami mereka, cukup sahaja kau faham tiga perkara yang asas. Kuasa, harta dan keseronokan.”
“Kenapa mereka inginkan itu semua Terra? Bukankah semua itu tidak kekal sama seperti aku dan kau?”
“Kerana mereka punya akal dan nafsu, yang sementara itu kelihatan indah, yang tidak kelihatan tetapi dijanjikan benar oleh Al-Wakil, terasa perit dan sukar untuk dijejaki, meskipun itu adalah ganjaran bekalan yang kekal abadi untuk mereka nanti.”
“Sungguh mereka dalam kerugian, aku sedih melihat mereka begitu, Terra. Hanyut dan tenggelam dalam kepalsuan.”
“Tidak kesemua mereka begitu. Ada yang sepenuh kebergantungan mereka diserahkan pada Al-Mutakabbir, mereka ini yang aku sentiasa perhatikan.”
“Oh begitu, barulah aku faham gerangan siapa yang mencuri perhatianmu.”
“Walau keliling mereka disajikan pelbagai janji indah bak pelangi, tetapi mereka yang segelintir ini sangat teliti dalam mengenal jauhari dan manikam. Dan aku yakin mereka teguh pada janji Al-Muhaimin walaupun hal kebenaran itu sekadar berbentuk bayang-bayang.”
“Bilangan mereka sangat kecil, dan melata di mana-mana Terra. Mampukah mereka bertahan dari digoda keindahan palsu hingga hujung hayatmu?”
“Mereka kecil tetapi mereka akan menjadi besar dan sudah pasti mereka mampu bertahan teguh walapun kau selalu melawat mereka dengan dengan bermacam cenderahati.”
Mosem ketawa ditempelak Terra sebegitu. Mereka tetap utuh bersama walaupun terkadang amukan Mosem umpama ingin meranapkan Terra, tetapi Terra tetap melayan mesra Mosem, kerana Terra maklum segala aksi Mosem tidak akan melebihi batasan dari arahan Al-Musawwir.
“Eh, aku hampir terlupa bertanya apa tugasanmu di kawasan kecil ini Mosem?”
“Seperti biasalah, tugasan aku di sini pasti akan akan begini setiap kitaran yang telah ditetapkan.”
Terra memandang sekeliling, kelihatan para pahlawan Mosem yang berupa manis, lembut tetapi dingin itu bersiaga. Ada berwarna hitam, putih jernih, dan bermacam warna lagi berselerakan. Yang pasti putih dan hitam lebih menguasai.
“Boleh tahan gerombolanmu kali ini sahabat,” lirih Terra bersuara.
“Ah kau ini, setiap kitaran sama sahaja, tanda aku bersedia tetapi kau maklum bukan arahan Al-Bari’ biasanya sentiasa berubah. Hatta satu detik pun boleh diubah,”
“Benar katamu, Mosem. Al-Raqib punya kuasa kita sang pelaksana sahaja. Jika mereka tidak leka sudah pasti sapaan mesra saja kita sajikan sebagai tanda ingatan, tetapi kebelakangan ini ramai mereka yang semakin lalai dan sudah pasti terjahan sedikit keras bakal mereka terima.”
“Benar telahanmu Terra, dan aku sangat berharap mereka akan faham dan berubah.”
“Mudahan begitulah, aku sungguh pilu melihat yang tidak bersangkutan juga menerima tempias, maksud aku makhluk hidup lain yang tidak berakal, yang melengkapi dan memberi warna rasa untuk golongan manusia, kadang mereka terhapus tanpa sisa.”
Mosem sekadar mengangguk dan menyertai Terra merenung mereka yang melata serata ruang jasadnya.
Kelompok hidupan yang dikurniakan akal dan nafsu itu ralit melakukan urusan mereka di bahagian-bahagian yang telah ditetapkan.
Walaupun kecil tugas yang kelihatan namun kesan yang mereka tinggalkan terkadang mampu menggegarkan fizikal Terra yang sudah ganyut.
Mosem memandang kagum mereka namun berlawanan dengan Terra yang memandang sayu.
Mereka golongan istimewa, umat manusia yang dikurniakan bermacam kelebihan, tetapi sangatlah sedikit yang tahu menghargai dan memahami kehidupan yang bakal mereka tempuhi di negara akhirat itu bagaimana.
Mereka lebih rakus memenuhi keinginan nafsu yang tidak pernah puas, pangkat menjadi rebutan, kekayaan menjadi dambaan. Kononnya kekayaan itu akan memberi kuasa yang jitu, mampu membahagiakan hati yang rawan. Akhirnya ramai dari mereka yang tersungkur.
Dan ada pihak yang bertepuk gembira apabila melihat umat manusia yang tersungkur, pihak yang telah menyimpul dendam sejak awal kelahiran Bapa Manusia suatu ketika yang lampau.
Bahkan mereka ini tidak pernah berkurang rancangan untuk terus mengait manusia sebegitu menjadi peneman mereka di lubuk jahanam.
“Huh!” Terra mengeluh berat.
“Kau simpati pada mereka Terra?”
“Simpati atau tidak, tiada beza bagi aku, yang pasti kadang aku merasa hiba, mereka makhluk istimewa, dikurniakan berbagai kelebihan, mampu memilih antara kebaikan dan keburukan. Tetapi mereka kelihatan selalu kalah dan salah dalam perhitungan antara pinjaman dan abadi.”
“Mudah sahaja Terra, mereka membiarkan nafsu menjadi tuan.”
“Ya, apabila nafsu menjadi tuan dan diagung-agungkan, segala ilmu dan kanun dari Al-Hadi akan di abaikan.”
“Ah! Sedih sekali pilihan mereka, Terra.”
“Tidak kesemuanya mereka begitu. Segelintir mereka ada sahaja yang sangat cinta dan kasihkan Ar-Rahim dan RasulNya.”
“Benar, itu aku tidak nafikan dan terkadang mereka juga menerima balasan yang sama seperti mereka yang durjana, keadaan yang sangat membuat aku gelisah, Terra.”
“Aku yakin Mosem, golongan bertuah itu sudah pasti berserah sepenuhnya pada Ar-Rahman.”
“Jika begitu, aku akan laksanakan tugasan yang terpikul di pundakku sekarang.”
“Silakan sahabatku, semoga terserlah hikmah yang tersembunyi untuk mereka.”
Mosem yang telah menerima isyarat terus mara bersama para prajuritnya. Mereka merempuh kawasan itu dari segenap penjuru. Dari udara juga tidak terkecuali.
Selepas beberapa detik, bergempitalah marga yang bermukim di situ, berpindah mencari penempatan sementara yang lebih selamat. Hiba pandangan mereka merenung kediaman yang ditenggelami bah.
Dari kejauhan, Mosem diam membatu, tugasan untuk gelombang ketiga itu telah dilaksanakan sebagaimana yang diperintahkan.
Kini Mosem berehat seketika untuk tugasan di kawasan itu, Mosem mengerahkan pasukannya beredar dan sudah pasti Mosem akan kembali lagi bila-bila masa mengikut arahan dan perintah yang akan dilaksanakan penuh taat setia. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya