fbpx

8 Mei 2021, 10:13 am

  TERKINI

Menunggu khabar dari Samudera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen karya Raja Abdul Rahman Raja Basok

HARI kedua Gayah berdiri di tepi pantai. Dari pagi hingga ke petang tetap setia mengunjungi pantai. Melihat samudera nan luas terbentang sambil kepala berselubung kain menutup pancaran terik matahari. Merenung jauh samudera menari ganas menunggu cerita duka sambil membilang buih-buih harapan menyapa singgah di bibir pantai lalu dibaling ke kelipat penantian. Mendongak langit menghitung camar-camar berterbangan bebas dan riang dengan rakus menjunam mencekup mangsa bersenjata paruh tajam. Gayah terus menanti entah bila bayu memberi khabar? Jenuh menanti dan terus menunggu asakan sifat naluri seorang isteri masih dirasai dalam setiap detakan jantung, denyutan nadi dan saluran aliran darah. Azman masih hidup. Ya, Azman masih hidup. Gayah memerhati sekeliling pantai meskipun bayu kencang menampar tubuhnya, menyingkap kain selubung ketika leka tetapi tetap setia di bibir pantai menunggu Azman melambai dari jauh dan mengharapkan perahu Azman muncul di samudera.
Berbekalkan perahu usang dan pendayung pemberian ayahanda dipusakai dari arwah bapa, Azman meredah samudera membadai ribut taufan yang kadangkala menjenguk tanpa memberi salam tapi masih cerah tompokan awan di langit dan tetap pasrah dengan putaran alam ketentuan dari-Nya.
Perahu usang dihiasi tampalan lohong luar dan dalam untuk tidak memudaratkan diri dan memang selayaknya dikawankan di tempat pembuangan sampah masih utuh mengharungi samudera dan tegap di atas air bersulang gelombang bila jala mula ditebar mengaut khazanah samudera pemberian dari-Nya.
Deretan perahu kecil milik Azman dan nelayan setempat tertambat rapi di pangkalan dan bersedia menghambakan diri ketika melata alam masih tertidur lena dibuai mimpi, terdengar kokok ayam memberi pesan Azman harus bergerak meneruskan hari tanpa menoleh belakang dan yakin dengan sepenuh tawaduk bahawa tidak ada sesiapa yang benar-benar dapat mengalahkan waktu bahkan ada yang bersorak ria menobatkan sebuah kemenangan ke atas waktu bila waktu telah memenangkannya
Harapan semua adalah satu iaitu pulang dengan hasil tangkapan yang banyak. Tapi rezeki tidak tidak boleh dijangka, adakalanya pulang dengan hasil yang banyak dan ada ketikanya pulang dikendong hampa. Rezeki mereka bergantung kepada keadaan cuaca.
Andai cuaca baik, mereka dapat turun ke samudera dengan senang hati sebaliknya bila cuaca hujan atau angin kuat, mereka tidak dapat turun ke samudera atas sebab keselamatan.
Samudera luas sudah sebati dalam kehidupan. Tanyalah pada mereka tentang samudera, Insya-Allah mereka petah memberikan sebarang jawabannya. Jika pada malam tersebut hujan, maka pada pagi keesokan harinya mereka tidak akan turun ke samudera kerana ombak besar di tengah semudera.
Jika tidak turun ke samudera maka tiadalah rezeki mereka pada hari itu dan bayangkan macam mana kehidupan mereka di musim tengkujuh? Dapur tidak berasap memungkinkan renget tangis berirama sendu.
Azman selalu istiqamah. Meremehkan sesuatu yang kecil hanya kadangkala merasa punya sesuatu yang lebih. Merasa diri lebih besar, berkedudukan hebat dan berkuasa namun terkadang tidak menyedari hal-hal yang terlihat kecil boleh membuat diri menjadi lebih baik.
Sebaliknya terkadang diri merasa kecil, ada rasa ingatan saat membandingkan upaya diri dengan orang lain. Diri bukan siapa-siapa, tanpa pangkat dan harta akhirnya akan merasa diri kehilangan kendiri.
Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang apa lagi pandemik wabak besar memuramkan kehidupan yang sentiasa mencengkam diri untuk bebas ke mana-mana. Tidak lagi dapat merasa daging empuk yang direneh dan digulai oleh Gayah malah sudah kian lama tumisan daging ayam hilang baunya dari pondok dapur.
Dalam perintah, pengawalan dan SOP yang perlu dituruti dan keadaan cuaca tidak menentu mana mungkin Azman berpeluk tubuh. Azman pasrah dan hilang arah seperti satu cemeti membalun seluruh anggota pancaindera bila menerima sepucuk surat ditamatkan khidmat pekerja pembersihan di sebuah hotel yang tidak mendapat sambutan pelancong dan ketirisan kewangan untuk terus bergerak ke hadapan.
Nyata pandemik telah banyak membunuh nyawa dan ada sedang berjuang untuk terus bernafas menghirup udara walau tubuh diselimuti pelbagai peralatan rawatan dan kaedah perubatan.
Lima mulut perlu disuap, dua orang anak yang diberi rehat lama daripada persekolahan, seorang isteri sentiasa setia di sisi dalam susah dan senang malah ibu bapa yang semakin hari semakin uzur perlu disuap jika tidak nasi yang ditanak hanya bubur penghilang lagu keroncong bernama perut.
Ibu derita lumpuh setengah badan dan ayah demam serta batuk berpanjangan setelah kaki kanan terkena paku berkarat serpihan atap zink berterbangan hinggap di kaki kerana dibadai angin ribut taufan. Tiada wang untuk perbaiki segala kebocoran kerana kesempitan wang mengajar hati menjadi tabah dan reda.
Hutang perlu dilunasi, ubat-ubatan adakala perlu dibeli daripada bergantung harap ubat kerajaan, anak bongsu merengek hendakkan sebuah basikal, bumbung atap zink di pondok dapur sudah lama dibiarkan bocor, pondok pengap ditampali papan meleding meneruskan mastautin di sini dan samudera tempat Azman meraih rezeki membebaskan irama kehidupan dan denyut nadi penghuni-penghuni pondok bertiang tujuh.
Biar nyawa jadi taruhan dari mendengar suara keluh kesah dan tangisan. Biar kudrat empat kerat dijadikan asbab untuk ke samudera tanpa hirau diri sendiri dan bala bencana yang ditempuhi. Urat saraf kehidupan perlu diteruskan selagi diberikan nyawa oleh-Nya.
Kemiskinan yang dihadapi kaum nelayan seperti Azman bukan perkara baru. Entah berapa lama isu ini sering didendangkan dan gah serata tempat oleh pemerintah tapi hasilnya hanya menampi padi burung yang kekenyangan. Bantuan disalurkan seperti menepis air hujan tetapi tetap mengalir dalam ranjau hidup yang semakin mencabar.
Azman sedar hasil dari kajian mendapati komuniti nelayan sepertinya mempunyai lima cabaran hidup miskin. Kesukaran menampung perbelanjaan harian, kesukaran melanjutkan pendidikan, kesukaran memiliki aset, keperluan melakukan pekerjaan sampingan dan ancaman gejala sosial.
Itu rumusan kajian pemerintah dan pihak berkepentingan agar mereka semua lebih memahami cabaran hidup miskin yang berlaku dalam kalangan komuniti nelayan.
Pelbagai rangka strategi yang holistik dibangunkan untuk pembangunan sosio ekonomi tetapi kadangkala hanya melepaskan batuk di tangga. Azman masih begitu, kawanan nelayan masih tetap menjahit jala ketika tengkujuh mula bertandang bersama meraikan guntur berdentam dentum membawa sama kilat berdelat-delat.
Kawanan perahu berderetan termasuk perahu Azman telah banyak berjasa pada sang tuan walau fizikalnya kecil tidak gentar mengharungi samudera luas menghadapi hadangan gelombang. Perahu kecil dan sang tuan tidak pernah bimbang berlabuh bersama kapal dan tongkang besar penangkap ikan yang hasil tangkapan memberikan pulangan laba berlipat ganda tetapi tidak perahu Azman biasanya tangkapan hanya untuk memenuhi perut seisi keluarga tidak memungkinkan dijual pada peraih.
Setiap kali mendayung Azman berharap agar usahanya berjalan lancar. mendapat tangkapan yang banyak, sejumlah wang untuk diberikan kepada keluarga dan membawakan makanan yang enak untuk ahli keluarganya di rumah. Namun, kehidupan nelayan sepertinya kian sempit kerana hasil tangkapan berkurangan dan peningkatan kos seharian membunuh keterbatasannya.
Perahu yang sentiasa terapung di air memberi manfaat besar pada yang bergantung harap untuk melakar sebuah kisah tersendiri. Harmoninya antara nelayan dan perahu menggambarkan hidup ini bukan tentang seberapa besarnya kita, hebat dan berkuasa tetapi tentang sebanyak mana kita boleh memberi dan berkongsi manfaat, tidak tamak akan tetapi mensyukuri rezeki yang dikurniakan oleh-Nya.

***************

JABATAN Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat, rebut petir dan angin kencang berterusan di beberapa kawasan.
Bagi Azman amaran adalah perkara biasa yang selalu ditentang dan selalu menongkah arus. Bukan Meteorlogi menentukan samudera bergelora atau aman. Azman berteman dengan doa-doa yang sentiasa terpahat dalam hati dan akur tidak semua perahu-perahu nelayan akan kembali ke pantai, tidak semua rindu yang dilepaskan ke samudera disambut lambaian tangan di pantai dan tidak semua segunung harapan melayari rakit-rakit kehidupan akan berlabuh di bibir pantai.
Hasil didikan ayah berpuluh tahun menjadikan samudera lubuk rezeki menyara keluarga, dihormati keluhuran budi pekerti, molek santun berbicara, tangkas menyelesaikan kemelut melanda dan ada petua yang ditanamkan pada zuriat tunggak keluarga jika ke samudera.
Guruh bersuara kuat dentumnya, kilat membatang dan bayu berhembus dingin hinggap ke muka maka berlindung dari petaka walau hasil tangkapan gamaknya akan melimpah ruah. Dalam ribut dan gelombang besar menyapa samudera, datang tanpa memberi ingatan, awan tidak mampu menampung air dan mencurah hujan adalah petanda baik kerana hujan akan membunuh angin dan gelombang. Di dasar samudera ikan berasa lapar seperti jala yang kehausan.
Asyik di tengah samudera, Azman terus menebar jala. Sekali dua kali tebaran jalanya memerangkap ikan yang sentiasa mundar mandir di dasar samudera. Perahu mula dipenuhi ikan dan ketika itu juga bayu menderu memukul cuping telinga, riak ombak mula bergelombang menampar perasaan dan di langit sudah mula menunjukkan wajah kelam menyelubungi diri. Sesekali kilat dan petir saling bersahut-sahutan.
Perahu Azman beroleng kiri dan kanan. Pukulan air yang ganas meruah ruang sampan. Sekali sahaja ombak berteriak diiringi tiupan bayu ganas, perahu dikemudi Azman dipukul terbalik. Ikan-ikan riang balik ke habitat asal. Azman berpaut pada perahu tapi ombak bergelombang memisahkan tangan Azman dari perahu usang. Azman tenggelam timbul didodoikan ombak yang terus riang menyanyi dalam alunan tinggi rendah.
Gayah setia di bibir pantai. Menanti Azman tidak kelihatan sejak semalam. Bertanyakan gerangan para nelayan menjejak pasir pantai yang masih diberi kesempatan bersua keluarga tapi mendukacitakan jawaban yang diberi.
Seorang dua memberi khabar melihat kelibat Azman sedang asyik menebar jala walau laungan diajak pulang kerana cuaca sudah memberi ingatan. Azman hanya tersenyum.
Setitik dua air mata merembes membasahi pipi lalu merenung samudera moga ada satu keajaiban bakal menjelma.
Laporan polis dan bomba dibuat walau Gayah merasa berat hati untuk melakukannya. Operasi mencari dan menyelamat digerak dengan bantuan pasukan seramai 12 anggota skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama lima anggotanya bergegas ke tempat kejadian. Setiap kali skuba muncul di permukaan hanya menggelengkan kepala. Tahulah firasat mereka Azman hanyut dibawa arus gelombang ombak entah di mana.
Linangan air mata di tepi pantai. Ramai memujuk mengajak Gayah pulang ke rumah. Gayah masih berteleku di tepi pantai. Berharap satu anugerah dari-Nya berlaku dan Azman ditemukan dalam keadaan selamat.
Gayah asyik merenung samudera luas dan tanpa diketahui samudera telah menyediakan pusara Azman. Ombak serta bayu telah mentalkin seorang insan tunggak harapan sebuah keluarga. Gayah setia menanti di pesisiran pantai nan terbentang menunggu perkhabaran dari samudera. – Mingguan Malaysia

BERITA BERKAITAN