Bangunan Seri Negara saksi seni bertemu sejarah

Bangunan Seri Negara saksi seni bertemu sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada bangunan yang kita lihat sekadar susunan batu dan kaca, berdiri tanpa makna. Namun ada juga bangunan yang lebih daripada sekadar struktur fizikal, ia seolah-olah berbicara, menyimpan lapisan sejarah dan mengundang rasa kagum setiap kali mata memandang.

Seri Negara tergolong dalam kategori kedua ini. Tenang pada wajahnya, tapi sarat dengan kisah dan makna di sebaliknya.

Terletak di tengah kehijauan Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, Seri Negara bukan sahaja mercu tanda sejarah, malah menggabungkan seni bina moden dengan suasana alam yang menenangkan.

Dari luar, ia kelihatan sederhana tapi teguh iaitu blok segi empat bertingkat, simetri, garis mendatar dan menegak yang jelas, seakan-akan menggambarkan ketegasan dan kestabilan pentadbiran.

Seri Negara bukan sahaja mercu tanda sejarah, malah menggabungkan seni bina moden dengan suasana alam yang menenangkan.

Namun, formaliti itu tidak menjadikan bangunan ini kaku. Permainan cahaya pada permukaan kaca ketika pagi dan bayang-bayang yang jatuh perlahan di dinding konkrit memberikan sentuhan lembut.

Hasilnya, Seri Negara bukan sahaja kukuh, tetapi indah dipandang. Seni bina moden yang berpadu dengan alam sekeliling membuat pengunjung terasa tenang, dan kadang-kadang, ingin menjelajah setiap sudutnya.

Bangunan ini dibina pada tahun 1913, pada mulanya dikenali sebagai Government House, kemudian dinamakan King’s House, berfungsi sebagai kediaman rasmi pegawai tinggi British. Ia pernah menyaksikan pelbagai rundingan penting sebelum kemerdekaan, termasuk Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan persiapan menuju Kemerdekaan 1957.

Setiap dinding seolah menyimpan kisah lama, mengingatkan kita kepada jasa generasi terdahulu dan perjalanan negara yang penuh warna.

Masuk ke dalam, pengunjung akan dibawa menyelusuri Galeri Seri Negara yang tersusun dalam empat tema utama, masing-masing mendedahkan aspek berbeza sejarah negara.

Galeri 1: The Walls Speak

Di sini, dinding bangunan seakan-akan ‘bercerita’ sendiri. Setiap artifak dan sudut memperkenalkan sejarah awal Seri Negara, memberi penghargaan terhadap nilai sejarah yang sering tersembunyi di sebalik dinding lama.

PENGUNJUNG berpeluang menyelusuri Galeri Seri Negara yang terdiri daripada empat bahagian utama.

Galeri 2: People, Power and Place

Fokus beralih kepada manusia di sebalik sejarah. Wajah, suara rakyat, pemimpin, dan komuniti pra-Merdeka dipaparkan dengan cara yang hidup. Bukan sekadar dokumen, tapi hubungan sosial, cabaran, dan aspirasi yang membentuk pembangunan masyarakat turut terasa, menjadikan sejarah lebih dekat dan penuh warna.

Galeri 3: Merdeka and Nationhood

Galeri ini membawa pengunjung lebih dekat dengan detik penting menuju kemerdekaan. Melalui dokumen, rakaman perbincangan, gambar dan visual peristiwa bersejarah, pengunjung dapat merasai ketegangan, harapan, dan semangat generasi terdahulu. Setiap langkah seolah menyusun semula perjalanan negara, mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukan sekadar tarikh di kalendar, tetapi hasil usaha dan pengorbanan ramai pihak.

Galeri 4: Celebrating Malaysia: Voices, Visions, and Hopes

Menutup lawatan, galeri ini menekankan Malaysia moden. Pengunjung dapat melihat simbol, budaya, aspirasi rakyat, dan harapan untuk masa depan. Ia memberi inspirasi untuk terus menghargai sejarah, sambil menyumbang kepada pembangunan negara.

Dari tingkat dua, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan Kuala Lumpur yang menakjubkan. Siluet bangunan tinggi berpadu dengan kehijauan taman dan tasik yang berkilauan di bawah sinar mentari, menghasilkan gambaran visual yang menghubungkan masa lalu dengan hari ini. Sudut ini memberi ruang untuk refleksi sambil menghargai perjalanan sejarah yang baru dilalui.

Lawatan ke Seri Negara bukan sekadar menatap sebuah bangunan lama. Dari seni binanya yang memikat, galeri merakam perjalanan sejarah negara, setiap sudutnya menghadirkan pengalaman bermakna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN