12 gelanggang pickleball yang menarik di Selangor

12 gelanggang pickleball yang menarik di Selangor

pickleball
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukan Pickleball kini semakin mendapat tempat di Malaysia, dan negeri Selangor tidak terkecuali! Tapi, apa sebenarnya sukan pickleball ini? Ia merupakan sukan dengan pergerakkan yang pantas dan menyeronokkan yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan ping pong.

Dimainkan di gelanggang yang lebih kecil menggunakan paddle dan bola plastik berlubang, pickleball sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kemahiran.

Popularitinya yang semakin meningkat kerana ia mudah dipelajari dan cukup mencabar untuk membuat anda terus ketagih. Sama ada anda pemain baharu atau berpengalaman, Selangor menawarkan pelbagai lokasi menarik untuk anda bermain, berlatih dan bersosial. Inilah 12 gelanggang pickleball yang menarik di Selangor yang wajib anda kunjungi.

1. Grand Rally Pickleball, Shah Alam

Grand Rally Pickleball yang terletak di aras bumbung tingkat 5, Pusat Komersial A, Jalan Plumbum, Seksyen 7 Shah Alam, menawarkan 17 gelanggang bersaiz kejohanan termasuk pilihan VIP dan Grand VIP yang eksklusif. Dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga pukul 1 pagi, terdapat tiga pilihan gelanggang mengikut bajet anda iaitu Lounge Courts hanya RM45 sejam sebelum pukul 5 petang pada hari biasa, RM65 selepas pukul 5 petang dan hujung minggu, VIP Courts hanya RM50 sejam sebelum pukul 5 petang, RM80 selepas pukul 5 petang dan Grand VIP Court hanya RM110 sejam, memberikan anda pengalaman bermain pickleball yang tiada tandingan,
pada bila-bila masa!

Terdapat juga kedai makanan tersedia seperti BoiBoi Deli, kedai Pickle Parlour dan ruang lounge mezzanine, semuanya dalam satu tempat yang sama.

2. DINKiT Pickleball, Kota Kemuning Shah Alam

Terletak di Kota Kemuning, Shah Alam, DINKiT Pickleball kini muncul sebagai salah satu destinasi pickleball paling meriah di Selangor! Dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 1 pagi, pusat ini menampilkan dua jenis gelanggang, VIP Fenced Courts dan BC Open Courts, gelanggang yang direka khas untuk memenuhi keperluan semua pemain, tidak kira tahap kemahiran anda. Kadar sewaan gelanggang bermula serendah RM29 sejam pada hari bekerja dan hanya mencecah RM55 sejam pada waktu puncak termasuk hujung minggu dan cuti umum.

Lebih daripada sekadar gelanggang, DINKiT menawarkan pengalaman sukan yang lengkap dengan kemudahan seperti ruang istirahat yang bersih, kedai lengkap dengan peralatan pickleball, parkir percuma, serta makanan dan minuman untuk anda nikmati selepas bersukan. Selesai berpeluh, singgah minum kopi dan kudapan lazat di Kafe Brew N Bread, atau luangkan masa petang anda dengan berjalan santai, berkelah atau bergambar bersama
keluarga di Taman Tasik Kota Kemuning yang hanya 6 minit dari pusat ini.

3. The Pickle Vibe, Seri Kembangan

Terletak di The Atmosphere Commercial Park, Blok C, Tingkat 2, pusat ini menampilkan 14 gelanggang indoor yang luas dan selesa. Dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 1 pagi, The Pickle Vibe menawarkan dua jenis gelanggang – Standard Court dengan kadar RM55 sejam pada hari bekerja sebelum pukul 5 petang dan RM69 sejam selepas pukul 5 petang serta sepanjang hujung minggu, manakala gelanggang International Tournament bermula serendah RM45 sejam sebelum 5 petang dan RM59 sejam selepas 5 petang dan juga pada hujung minggu.

Sesuai untuk yang mahu mula bermain Pickeball dan juga pemain berpengalaman, The Pickle Vibe turut menganjurkan permainan sosial, sesi latihan dan kejohanan secara berkala untuk membantu anda kekal aktif dan terus mengasah bakat anda.

Pickleball Factory, di Subang Jaya

4. Pickleball Factory, Subang Jaya

Pickleball Factory terkenal dengan lima gelanggang tertutup dan satu gelanggang terbuka yang sesuai untuk semua peringkat pemain. Suasananya cukup meriah, terutamanya selepas waktu kerja atau hujung minggu.

Gelanggang ini menawarkan harga sewa peralatan yang sangat berpatutan dengan raket berharga hanya RM4 sahaja, waktu operasi yang fleksibel termasuk sesi lewat malam dan bola yang berkualiti tinggi untuk permainan santai mahupun tahap profesional.

Pada luar waktu puncak, anda boleh bermain di gelanggang tertutup dengan hanya RM45 sejam dan RM40 sejam untuk gelanggang terbuka. Manakala waktu puncak selepas pukul 5 petang pada hari bekerja dan sepanjang hujung minggu pulak berharga RM65 bagi gelanggang tertutup dan RM60 bagi gelanggang terbuka.

Apa yang menjadikan tempat ini lebih menarik? Pickleball Factory bukan sekadar tempat bermain sukan. Anda juga boleh mengikuti kelas yoga, pilates atau barre untuk keseimbangan badan dan mengisi semula tenaga dengan sajian lazat di Kaiizo Café & Restaurant yang turut berada di sini. Semuanya tersedia dalam satu lokasi!

pickleball
Gelanggang pickleball, Pickle Park Petaling Jaya.

5. Pickle Park, Petaling Jaya

Pickle Park yang terletak di Seksyen 13 menjadi destinasi wajib dikunjungi! Dengan tujuh gelanggang terbuka, ia sesuai untuk pemain dari semua peringkat. Dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga pukul 1 pagi, memudahkan anda untuk menikmati permainan ini bila-bila masa. Anda juga boleh sertai sesi latihan, permainan sosial dan acara bulanan untuk mempertingkatkan kemahiran serta berkenalan dengan komuniti pemain lain.

Kadar sewa gelanggang ialah RM80 sejam pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu dan cuti umum, kadar adalah RM70 sejam. Apa yang membezakan Pickle Park ialah suasananya yang meriah dan fasiliti yang baik, termasuk ruang istirahat serta ruang acara terbuka. Tambahan pula, terdapat kafe Flour, Fire & Stone yang selesa, menawarkan segala-galanya daripada kopi di waktu pagi sehinggalah pelbagai juadah istimewa di waktu malam. Semuanya tersedia di sini!

Tempahan gelanggang juga mudah melalui aplikasi mudah alih. Anda boleh kumpul jam bermain melalui aplikasi untuk menebus ganjaran seperti diskaun serta masa bermain percuma.

6. Hyprground Pickleball Cyberjaya

Tunjukkan aksi hebat anda di Hyprground Pickleball Court. Terletak di Tamarind Square, Cyberjaya, gelanggang tertutup trendy ini menawarkan dua jenis gelanggang yang sesuai untuk semua. Gelanggang Komuniti bermula serendah RM30 sejam dari pukul1 pagi hingga 7 pagi pagi, RM35 sejam pada waktu pagi di hari bekerja dan RM50 sejam pada waktu petang serta pada hujung minggu dan cuti umum.

Mahukan pengalaman yang lebih eksklusif? Pilih Gelanggang Lounge yang hanya RM30 sejam pada waktu lewat malam. Apa yang paling menarik, Hyprground turut menawarkan perkhidmatan katering lengkap untuk acara, dengan  pilihan makanan yang lazat dan sihat untuk melengkapkan pengalaman pickleball anda disini.

Mereka juga menganjurkan permainan sosial, acara komuniti dan kejohanan yang menjadikan suasana di sini sentiasa meriah! Tiada peralatan yang cukup? Jangan risau, penyewaan paddle hanya RM5 dan bola turut dijual di sini.

7. ATP Pickleball Centre, Klang

Terletak di Klang, ATP Pickleball Centre sentiasa meriah dengan semangat permainan dan dibina khas untuk pemain santai mahupun kompetitif. Dibuka setiap hari dari pukul 7 malam hingga pukul 1 pagi, pusat ini menjadi pilihan utama buat yang ingin beraksi selepas waktu bekerja.

Lebih menarik, kadar sewaan hanya RM10 sejam dari pukul 7 pagi hingga pukul 11 pagi dan anda akan menerima 4 paddle secara percuma setiap sesi, sesuai untuk ajak kawan-kawan datang bersama! Sama ada anda baru berjinak atau sudah mahir, ATP Pickleball Centre menawarkan suasana yang mesra dengan adanya tempat bersantai.

Lepas bersukan, teruskan hari anda dengan bersiar-siar di GM Klang atau Klang Parade, dua pusat beli-belah paling popular di Klang yang hanya beberapa minit dari gelanggang.

8. Pickle Drive @ Talent Champs Sports Complex, Kajang

Berada di Kajang, Pickle Drive di Talent Champs Sports Complex adalah lokasi ideal untuk pemain di semua peringkat. Dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga pukul 1 pagi, pusat ini menampilkan enam gelanggang premium dan tiga gelanggang terbuka yang memenuhi keperluan semua tahap permainan. Kadar sewa gelanggang tertutup adalah RM29 sejam pada hari bekerja termasuk hujung minggu dan cuti umum. Untuk gelanggang terbuka, kadar sewa hanyalah RM24 sejam pada waktu siang hari bekerja, manakala kadar pada waktu malam dan hujung minggu adalah sama seperti gelanggang tertutup.

Bukan itu sahaja, sewaan paddle juga disediakan pada harga hanya RM5 bagi setiap sewaan termasuk satu bola untuk sesi selama dua jam. Selain gelanggang, pemain turut boleh menikmati kemudahan yang lengkap yang
disediakan seperti ruang rehat, bilik mandi, parkir percuma, minuman menyegarkan dan juga surau untuk menunaikan solat.

9. High on Pickle, Puchong

High On Pickle adalah destinasi yang wajib anda kunjungi! Terletak di Bandar Puchong Jaya, fasiliti ini menawarkan gelanggang berkualiti tinggi serta komuniti yang mesra dan mengalu-alukan semua pemain.

Beroperasi sepanjang hari dalam ruang tertutup, pusat ini menyediakan pelbagai pilihan gelanggang yang sesuai untuk setiap tahap dan gaya permainan. Gelanggang VIP disewakan pada kadar RM49 sejam, Gelanggang HOPE yang lebih mesra bajet pada RM39 sejam dan Gelanggang Latihan hanya RM29 sejam pada hari bekerja sebelum pukul 5 petang.

Tiada peralatan untuk bermain? Jangan risau. Sewaan paddle hanya RM5 satu sesi dan bola juga boleh dibeli di sini. Sama ada anda baru bermula atau sudah berpengalaman, anda boleh sertai sesi sosial, latihan dan kejohanan yang dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran dan mengenali rakan baharu.

Pickle Crown @ Tropicana Sport Center, Sungai Buloh.

10. Pickle Crown @ Tropicana Sport Center, Sungai Buloh

Ayuh beraksi di Pickle Crown @ Tropicana Sports Centre, Sungai Buloh. Spot pickleball  premium dengan 11 gelanggang bersaiz kejohanan yang penuh dengan aura semangat sukan!

Dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga pukul 12 tengah malam bermula 1 Jun, kadar sewaan gelanggang ialah RM45 sejam pada hari bekerja sebelum pukul 5 petang, manakala pada hujung minggu dan cuti umum kadar tetap ialah RM65 sejam sepanjang hari. Berita gembira untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas, promosi Golden Years, Golden Deals menawarkan kadar diskaun dari pukul 8 pagi hingga pukul 4 petang.

Selain gelanggang berkualiti tinggi, kemudahan di sini turut merangkumi ruang istirahat yang bersih, tempat untuk bersantai yang selesa dan kedai untuk melengkapkan peralatan permainan anda.

11. Seven Fit Sports Centre

Bakar kalori, tingkatkan koordinasi dan kekal aktif di Seven Fit Sports Centre! Pusat sukan ini menawarkan kemudahan terbaik untuk anda mula bermain pickleball. Dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga pukul 2 pagi, ia sesuai untuk semua lapisan pemain! Dengan kadar serendah RM20 hingga RM50 sejam pada waktu puncak termasuk hujung minggu dan cuti umum, anda boleh bermain tanpa had. Sewaan paddle pula hanya RM5 untuk setiap sesi, sesuai untuk yang ingin mencuba buat pertama kali.

Pusat ini juga lengkap dengan zon santai, tempat letak kereta percuma, surau untuk beribadah dan minuman untuk menyegarkan diri selepas permainan. Dengan kemudahan bertaraf tinggi dan komuniti yang mesra, Seven Fit sememangnya lokasi terbaik untuk menyemarakkan semangat pickleball anda!

12. 9pickle Setia Alam

9Pickle merupakan salah satu hab pickleball terbaik di Setia Alam dengan 10 gelanggang separa tertutup bertaraf kejohanan! Terletak bersebelahan Menara Top Glove, pemain boleh memilih daripada tiga kategori gelanggang iaitu Standard, VIP dan Grand. Gelanggang Grand bermula dari RM75.60 sejam, VIP dari RM54 sejam dan Standard dari RM45 sejam, bergantung kepada masa dan hari.

Dibuka setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, pusat ini turut dilengkapi dengan kedai, kawasan makanan dan minuman, ruang santai yang selesa serta kemudahan lengkap untuk pengalaman premium yang sempurna.

Tahun ini, 9Pickle bukan sekadar tempat bermain ia juga menjadi tuan rumah kepada acara utama seperti PPA Asia pada Julai 2025 dan PANAS CUP 2025! Daftar sekarang. Inilah vibe sebenar yang anda cari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN