R&D MPOB hasilkan mesin lima dalam satu - Utusan Malaysia

R&D MPOB hasilkan mesin lima dalam satu

DR. Ridzuan Ramli (kiri) bersama pasukan penyelidiknya melihat serat kelapa sawit yang telah siap dikeringkan sebelum diproses menjadi pelet ,– UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 2018 jumlah kawasan penanaman pokok sawit di negara ini adalah kira-kira enam juta yang telah menghasilkan 100 juta tan biomas sawit.

Biomas sawit merujuk kepada batang, pelepah, tandan kosong sawit, fiber mesokap, tempurung dan air kumbahan/efluen sawit .

Hanya 10 peratus daripada biomas tersebut diguna pakai untuk menghasilkan pelbagai produk hiliran yang bernilai tambah.

Penggunaan biomas sawit untuk menghasilkan panel komposit seperti papan partikel dan papan gentian berkepadatan sederhana (medium density fiber board, MDF) telah meningkat kerana permintaan pasaran yang tinggi. Panel komposit dibuat daripada campuran serat lignoselulosa, resin sintetik dan pengikat (binder).

Malaysia adalah pengeluar papan partikel terbesar dunia. Terdapat lebih 15 kilang yang menghasilkan panel komposit di negara ini yang kebanyakannya menggunakan kayu getah sebagai bahan mentah utamanya.

Adalah dianggarkan bahawa bekalan kayu getah tidak akan mencukupi untuk memenuhi permintaan pengeluaran papan partikel tersebut.

Kebolehdapatan (avaibility) biomas sawit yang banyak dari kilang dan ladang sawit setiap tahun mampu menyediakan bahan mentah alternatif untuk pengeluaran panel komposit bagi menggantikan kayu getah.

Walau bagaimanapun, biomas sawit seperti batang dan pelepah sawit mempunyai kandungan air atau kelembapan yang tinggi.

Tandan kosong sawit pula mengandungi minyak . Maka kedua-dua faktor ini (air dan minyak) mempengaruhi kekuatan dan sifat fizikal papan komposit yang dihasilkan.

Justeru, pemerosesan komersial kini menggunakan lima jenis mesin untuk menyiat, mengoyak, menghasilkan serpihan dan memendek bagi menghasilkan fiber pelbagai saiz dengan kandungan kelembapan yang rendah menepati spesifikasi pembuatan produk komposit.

Bilangan mesin yang banyak ini menyumbang kepada kos penghasilan gentian dan produk komposit yang tinggi kerana melibatkan kos elektrik, penyelenggaraan mesin yang tinggi serta masa pemprosesan yang panjang.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mereka bentuk dan membangunkan satu inovasi yang dinamakan sebagai snipper press.

Ia berkapasiti tujuh tan sejam untuk menghasilkan serat gentian pendek berkualiti tinggi dan separa kering gabungan proses pemotongan dan pemerahan dalam satu mesin sahaja

Bagi tujuan itu, MPOB bekerjasama dengan Syarikat Hur Far Engineering Sdn. Bhd.bermula pada 2014.

Menurut ketua penyelidiknya, Dr. Ridzuan Ramli, mesin dwifungsi snipper press merupakan inovasi yang dibangunkan untuk menghasilkan gentian pendek dan separa kering menggunakan kombinasi penekan berskru dan pisau pemotong

Ia adalah mesin dua fungsi iaitu memotong/mengoyak dan memerah minyak serta air di dalam gentian biomas sawit seperti tandan kosong, pelepah dan batang sawit bagi menghasilkan serat fiber bersaiz antara empat hinga enam inci panjang dan separa kering dengan kandungan kelembapan antara 50 hingga 60 peratus.

Keupayaan snipper press untuk memendekkan saiz fiber dan mengurangkan kandungan kelembapan menggunakan satu mesin saja telah mengurangkan jumlah bilangan mesin yang diperlukan bagi menghasilkan serat fiber pendek dalam proses komersial sedia ada.

“Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, mesin berkenaan mempunyai gabungan kon tirus berbilah (bladed taper cone), pisau pemotong, sangkar perahan dan plat discaj berskrin.

Bentuk kon yang tirus membantu proses pemerahan dengan efektif dan pusingan bilah yang terpahat pada kon menyiat dan mengoyak fiber biomas menjadi lebih pendek.

Semasa proses pemotongan tersebut, fiber turut ditekan oleh kon tirus berbilah ke arah sangkar perahan bagi mengekstrak minyak dan kelembapan yang terkandung dalam fiber.

Tindakan memotong dan menekan gentian bergerak ke arah pisau pemotong membolehkan bahan tersebut ditolak keluar melalui plat discaj berskrin.

Kaedah yang digunakan dalam inovasi ini adalah gabungan proses memendekkan saiz gentian secara koyakan dan potongan menggunakan kon tirus berbilah dan pisau pemotong.

Proses ini berlaku secara serentak dengan proses pemerahan keluar minyak dan kelembapan menggunakan kon tirus berbilah yang berpusing dan menghimpit kepada sangkar pemerah.

Teknologi ini sebenarnya menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon ke udara, berdasarkan data dari kajian analisis kitaran hayat bagi penghasilan produk panel komposit

Panelnya adalah komposit hijau kerana biomas sawit merupakan boleh mentah yang diperbaharui dan biodegradasi.

Antara komponen kereta yang dibuat menggunakan serat sawit.

 

MESIN BERJAYA DIKOMERSIALKAN

Sebanyak 21 unit mesin dwifungsi telah dikomersialkan iaitu 14 unit di kilang sawit Malaysia dan tujuh unit di Indonesia bermula 2016 hingga 2020.

Kejayaan penyelidikan tersebut dengan hanya menggunakan geran dalaman MPOB dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, ia mendapat kerjasama Syarikat Hur Far Engineering Work Sdn. Bhd. sekali gus menunjukkan keupayaan penyelidik tempatan membangunkan inovasi boleh guna untuk kegunaan industri.

Apatah lagi ciri-ciri mesin membantu untuk menghasilkan bahan yang sesuai digunakan sebagai pengganti kayu dalam penghasilan komposit kayu plastik (WPC).

WPC ini dibuat dengan komposisi 50 peratus serbuk kayu dan 50 serat plastik untuk kegunaan industri perabut, lantai kayu dan bahan bangunan.

Gentian berasaskan sawit ini juga digunakan sebagai bahan pengisi (filler) dalam pembuatan thermoplastik bagi menghasilkan komponen dalaman kereta seperti kepingan pelenyap bunyi.

Industri yang menghasilkan tenaga boleh menggunakan pelet bahan api yang diperbuat dari gentian tandan kosong yang dihasilkan dari mesin dwifungsi snipper press.

Begitu juga industri makanan ternakan haiwan ruminan seperti lembu dan kambing menggunakan gentian daripada batang dan pelepah sawit sebagai ramuan utama dalam pelet makanan.

Campuran gentian pendek daripada tandan kosong dan efluen sawit digunakan bagi menghasilkan baja organik yang mesra alam untuk tumbesaran pokok sawit, buah-buahan dan sayuran bagi menggantikan baja bukan organik yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Mesin ini sangat sesuai untuk kilang sawit, loji menghasilkan tenaga elektrik, industri automotif, industri panel komposit, industri pembuatan baja dan makanan ternakan.

Selain Dr. Ridzuan, turut terlibat dalam kumpulan peyelidik ialah Rohaya Mohamed Halim yang juga Ketua Unit Pengilangan dan Pemprosesan MPOB, Zawawi Ibrahim, Dr. Astimar Abdul Aziz, Ahmad Amril Zamri, Sri Rahayu Muhammad Nur dan Abd. Wahid Mohammad.

Kelebihan

  • Mengurangkan peringkat pemerosesan daripada lima peringkat kepada hanya satu peringkat.
  • Menghasilkan gentian pendek.
  • Gentian yang dihasilkan ini merupakan bahan mentah alternatif yang sesuai untuk pembuatan panel komposit, komposit kayu plastik (WPC), pelet bahan api, baja kompos dan pelet makanan ternakan.
Serat sawit yang siap dikeringkan (kiri) sebelum diproses menjadi pelet (kanan).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN