STRAWBERI shortbread matcha merupakan antara pencuci mulut moden yang semakin mendapat perhatian ramai kerana gabungan rasa manis, rangup, dan unik.
Pencuci mulut ini menampilkan campuran rasa coklat putih, strawberi, dan matcha yang menyerlah, memberikan pengalaman menikmati setiap gigitan yang memikat.
Adunan shortbread dibakar hingga keemasan sebelum dicampur dengan coklat, strawberi, dan matcha, menghasilkan pencuci mulut yang mudah dibuat dan sesuai untuk dinikmati bila-bila masa.
BAHAN-BAHAN:
Biskut Shortbread (Lapisan bawah):
250 gram mentega
80 gram gula aising
70 gram susu tepung
280 gram tepung gandum
Lapisan coklat strawberi (Lapisan atas biskut):
300 gram coklat putih
10 gram esen strawberi (Emulco perisa strawberi)
25 gram minyak masak
Hiasan lorekan:
30 gram coklat salutan matcha Jepun
30 gram coklat putih
CARA PENYEDIAAN:
Biskut Shortbread:
- Putar mentega, gula aising dan susu tepung sehingga sebati dan berkrim.
- Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit.
- Teruskan menguli sehingga adunan menjadi doh biskut yang lembut dan tidak melekat di tangan.
- Alas loyang bersaiz 12 x 12 inci dengan kertas minyak.
- Timbang kira-kira 730 hingga 740 gram doh untuk setiap loyang.
- Tekan pemotong loyang (cutter) di atas doh sebelum dibakar bagi mendapatkan bentuk yang kemas.
- Panaskan ketuhar pada suhu 150°C selama 10 minit. Bakar biskut bersama pemotong selama 35 minit untuk menghasilkan bentuk segi empat yang cantik selepas dibakar.
Lapisan coklat strawberi:
- Sejukkan biskut seketika selepas dibakar.
- Sementara menunggu biskut sejuk, cairkan coklat putih menggunakan kaedah ‘double boil’ selama kira-kira 10 minit sehingga licin.
- Masukkan minyak ke dalam coklat putih bagi mendapatkan tekstur yang lebih cair.
- Tambahkan esen strawberi ke dalam coklat putih.
- Kacau sehingga coklat sebati dari segi warna dan rasa strawberi.
- Tuangkan coklat strawberi ke atas biskut shortbread.
- Ratakan lapisan coklat supaya sekata di seluruh permukaan biskut.
- Lorekkan coklat matcha dan coklat putih di atas lapisan coklat strawberi.
- Gunakan lidi yang bersih untuk membentuk corak pada permukaan coklat.
- Simpan biskut di dalam peti sejuk selama 20 minit sehingga coklat mengeras.
- Keluarkan biskut dan tanggalkan pemotong dengan berhati-hati.
- Biskut shortbread sedia untuk dipotong, disusun dan dinikmati.
TIPS
– Putar mentega, gula aising dan susu tepung sehingga benar-benar sebati sebelum memasukkan tepung gandum.
– Ratakan doh biskut dengan kemas di dalam loyang bagi memastikan saiz dan ketebalan setiap biskut adalah sekata.
– Untuk lapisan coklat strawberi, digalakkan menambah sedikit pewarna merah jambu bagi menghasilkan warna yang lebih menarik.
– Kuantiti minyak dalam coklat tidak perlu terlalu banyak bagi mengelakkan coklat mudah cair pada suhu bilik.
Kredit: SAUFIA ALIAS, Instagram: @saufia.sa










