1,001 croissant di NedNatcroisserie - Utusan Malaysia

1,001 croissant di NedNatcroisserie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH menjadi kebiasaan croissant dinikmati bersama mentega dengan pelbagai jenis jem.
Namun di NedNatcroisserie, terdapat hampir 20 hidangan croissant telah digabungkan mengikut selera tempatan dan Barat selain beberapa hidangan lain.
Nama-nama seperti Dill Smoked Salmon; Apam Balik Croissant; Croissant Malaysia dan Creamy Tuna antara pembuka selera bagi mereka yang berkunjung ke kafe ini untuk menikmati kepelbagaian croissant.
Paling menarik, anda seakan-akan berada di rumah sendiri dengan suasana santai di samping kualiti makanan yang terbaik.
Malah, kunjungan saya ke NedNatcroisserie ini seperti berada di sebuah kafe jenama terkenal dunia dengan dilengkapi kemudahan wi-fi.
Bagi mereka yang tidak mahu hidangan terlalu berat dan terlalu ringan, French Croissant Toast wajib di cuba dengan gabungan kopi Roasted Hazelnut.
Terus terang saya katakan, menu berkhasiat ini amat sesuai bagi mereka yang mahu menggabungkan sarapan pagi dan makan tengah hari.
Dengan ditambah buah-buahan seperti kiwi, beri, walnut, strawberi beserta roti croissant dan dicampur salted caramel sauce sudah cukup untuk memberi tenaga sepanjang hari.
Malah, hidangan ini juga mencetuskan tarikan sendiri daripada segi warna dan rupanya, bak kata pepatah dari mata turun ke hati.
Bagi mereka yang sukakan pasta, hidangan Pesto Chili Padi dan Pesto Grilled Chicken Creamy Chicken patut dicuba serta tidak mengecewakan.
Cuma hidangan Pesto Chili Padi terlalu ringkas dan mungkin perlu ditambah ayam sebagaimana menu pasta lain bagi mengimbangi antara karbohidrat serta protein.
Usah bimbang bagi mereka yang dalam proses mengurangkan pengambilan kalori harian kerana anda boleh memesan Berry The Salad jika berkunjung ke sini.
Menu dengan nutrisi lengkap dan berkhasiat ini dibuat khusus dengan olahan tersendiri mengandungi ayam, cruitton, buah beri, strawberi dan salad.
Jadi anda masih boleh menikmati makanan di sini dengan cara tersendiri.
Dalam pada itu, pemilik bersama NedNatcroisserie, Natasha Diana Mas’od dan Nurul Nadia Mohammed Yussof berkata, idea membuka kafe tersebut tercetus selepas melihat potensi di premis yang sebelum ini hanya digunakan untuk menyiapkan pesanan pelanggan sahaja.
“Sebelum ini, pelanggan hanya datang membuat pesanan terlebih dahulu dan kemudian hanya datang mengambil makanan di premis ini sahaja.
“Lama-kelamaan kami terfikir mengapa tidak untuk sediakan kopi, minuman dan makanan lain selepas melihat ruang yang ada ini untuk berpotensi dijadikan kafe,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Kafe yang terletak di 9A Jalan Rasmi 7, Taman Rasmi Jaya, Ampang, Kuala Lumpur ini dibuka setiap hari kecuali Selasa dari pukul 9 pagi sehingga pukul 6 petang. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.