Keenakan stik wagyu tomahawk tiada tandingan - Utusan Malaysia

Keenakan stik wagyu tomahawk tiada tandingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tatkala kaki melangkah masuk ke restoran, mata dihidang dengan dekorasi mewah namun santai. Ruang luas yang ditawarkan, dipadankan dengan tona dinding seakan keemasan serta pencahayaan yang redup, itu sekali gus menaikkan mood bersantap.
Pemilik restoran cukup bijak menarik pelanggan, apabila meletakkan penyejuk (chiller) yang sarat diisi potongan daging merah menyala betul-betul di hadapan pintu masuk. Daging bukan sebarang daging, jelas kelihatan bebenang lemak (marble) pada potongan tersebut, memberi mesej bahawa inilah ‘raja segala stik’, iaitu potongan daging wagyu.
Pada bahagian kiri bertentang pintu masuk pula, barisan cef menayangkan kemahiran kulinari masing-masing menyediakan hida­ngan di dapur yang separa terbuka.
Maka, semerbaklah ruang makan dipenuhi aroma harum stik panggang yang disulam melodi ‘desiran’ mentega di atas kuali.
Demikian pengalaman bersantap di restoran mewah Baqara Fine Meat, yang terletak di kawasan elit Bukit Jelutong, Shah Alam.

PAKAR IT TURUN KE DAPUR
Menurut pemilik, Mohd. Johari Othman, 59, ilham menubuhkan Baqara Fine Meat terbenih sejak 2018.
“Sebelum ini, saya berkhidmat sebagai pakar teknologi maklumat. Selepas bersara, saya dan beberapa rakan membangkitkan idea membuka restoran, kerana minat mendalam terhadap stik dan menu berdaging. Maka, mulai 2018, kami membangunkan jenama ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Memilih Bukit Jelutong yang terkenal elit sebagai lokasi, dia berkata Baqara Fine Meat menawarkan menu premium untuk memenuhi keinginan pelanggan yang mendambakan hidangan daging berkualiti tinggi.
“Selain menu daging kami turut menawarkan menu-menu premium berasaskan makanan laut juga,” katanya.

KEKUATAN PADA DAGING
Katanya, antara menu yang paling disebut-sebut oleh pelanggan, semestinya stik tomahawk yang menyelerakan.
“Stik tomahawk adalah stik daging lembu ribeye yang dipotong khusus dengan sekurang-kurangnya lima inci tulang rusuk dibiarkan melekat pada daging.
“Ini memberikan rasa yang istimewa, selain bentuk yang unik menyerupai kapak tomahawk yang sering digunakan orang asli di Amerika Syarikat. Ia juga boleh dirujuk sebagai bone-in ribeye,” katanya.
Menarik pada menu ini, katanya adalah teknik penyediaan yang istimewa. Katanya, cef menggunakan teknik khusus yang tidak boleh diperincikan atas sebab kerahsiaan komersial.
“Pun begitu, menggunakan teknik serta perkakasan berteknologi tinggi, kami berjaya menghasilkan stik lembut, berjus dan penuh rasa semulajadi yang lazat,” katanya.

MAKANAN LAUT LUAR BIASA
Krew Mingguan Malaysia turut dijamu menu-menu premium lain yang tak kurang menyengat. Ini termasuk nasi goreng tomahawk serta butter spicy creamy clams with mantou. Nasi goreng yang kaya aroma itu, diserikan dengan hirisan stik tomahawk yang lembut dan wangi.
Begitu juga butter spicy creamy clams with mantou. Saat mencecah mantou atau roti bulat yang hangat ke dalam stew makanan laut yang pekat, kedua-duanya bersebati dengan cukup serasi sehingga mencetus sensasi luar biasa saat disuap.
“Ini juga menu popular di sini, namun untuk meletakkan kategori menu paling laku keras, ia agak sukar. Ini kerana, jika kita lihat statistik menu-menu kami, boleh kata semua menu laku keras.
“Namun, rata-rata pelanggan memberi maklum balas, bagi peminat daging, andai makan di sini buat pertama kali, pasti akan terus melekat dan jadi pelanggan tetap,” terangnya.
Katanya, selain kekuatan pada menu berdaging, kepelbagaian menu juga menjadi keutamaan dalam menarik pelanggan.
“Di sini, kami menawarkan kira-kira 100 menu termasuk minuman, dari menu kanak-kanak sehinggalah kepada menu premium. Ini memudahkan pelanggan menjamu selera dengan keluarga, kerana di sini semua golongan boleh memesan menu yang disukai,” jelasnya.

Baqara
Fine Meat
Steakhouse

Alamat: D’VIDA, 4-G-07, Jalan Bazar U8/100, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor
Menu menyengat: Stik wagyu tomahawk, butter spicy creamy clams with mantou, New Zealand carbonara mussel, stik angus porterhouse
Tel: 0192887941

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya