Pesta keju ayam dan kambing - Utusan Malaysia

Pesta keju ayam dan kambing

Ayam Cheese Tumpah - MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kunjungan Mingguan Malaysia ke restoran yang satu ini, memang satu pengalaman yang akan terpahat dalam memori, sampai bila-bila.
Apa tidaknya, seusai menu ayam dan kambing goreng rangup dihidang atas meja, tuan kedai tanpa lengah, segera menabur keju di atasnya. Kemudian, dihalanya muncung blowtorch untuk membakar dan mencairkan keju yang menggunung itu. Hasilnya? Nah, terpampang di hadapan kami, satu fenomena menakjubkan apabila menu itu ‘marak’ disambar api membara. Itu antara pengalaman berkunjung ke restoran A&J Grill Western di Sungai Merab, Kajang.

PERNAH MAKAN GAJI
Menurut pemilik, Mohd. Hariz Abdul Rani, ilham menubuhkan restoran ini, yang mula beroperasi pada 2017, timbul setelah beliau menamatkan karier di sebuah syarikat surat khabar terkemuka tanah air.
“Saya bertugas di sana sebagai pereka grafik sudah berbelas tahun. Kemudian pada 2016, atas sebab tertentu, saya terpaksa meninggalkan kerjaya. Sejak itu, tanpa menoleh saya membuka kedai makan berkonsep makanan barat ini,” katanya, baru-baru ini.
Jelasnya, sebelum membuka restoran A&J Grill, beliau menghubungi rakan karibnya, yang juga pemilik jenama sama yang beroperasi di Sungai Buloh, Selangor.
Menurutnya, setelah berbincang dan mencapai muafakat, dia kemudian meneruskan legasi restoran itu dengan melebarkan sayap operasi di Sungai Merab.
“Sama seperti di Sungai Buloh, kami menawarkan menu autentik Barat. Ada kira-kira 50 jenis makanan ditawarkan, dengan harga serendah RM10,” katanya.

KEKUATAN PADA KREATIVITI
Menurut sosok 37 tahun ini, kekuatan jenama A&J Grill Western terletak pada kualiti bahan, persembahan serta rasa hidangan yang serba sempurna.
Katanya, dengan lebih 50 jenis makanan Barat dan tempatan dalam menu, pelanggan berpeluang mencuba hidangan yang disifatkannya sebagai kreatif dan luar dari kotak pemikiran.
“Antaranya adalah hidangan laku keras kami iaitu kambing goreng rangup yang dinamakan Kam-mbek Goreng Crispy. Resepi ini menggunakan ramuan khas sebagai perapan, hasilnya kambing itu kaya dengan rasa yang kompleks dan enak.
“Ia kemudian disadur sejenis tepung khas yang berkerak tatkala digoreng jeluk. Kemudian, sewaktu masih panas berasap dalam pinggan, chef akan tabur dua jenis keju di atas hidangan. Lepas itu, kami bakar pula keju itu untuk menambah dinamik rasanya,” katanya.
Daya kreatif itu ternyata membuahkan hasil luar biasa. Saat kambing panas berasap itu disuap ke dalam mulut, ternyata ada kejutan. Siapa sangka, kambing yang digoreng jeluk namun isinya kekal lembut dan berjus!
Lebih menarik, rempah perapan yang digunakan ternyata memberikan satu nikmat dan keasyikan luar biasa saat mengunyah. Ada sedikit rasa pedas berempah yang sarat aroma, dengan sedikit sentuhan myoglobin atau jus kambing.
Lebih mengujakan, profil rasa itu digabungkan pula dengan lemak keju yang cair di atasnya, semua itu menghasilkan satu pesta rasa dalam mulut.

MENU LAIN YANG HEBAT
Menu lain yang dihidangkan, iaitu Lamb Max Platter juga, agak menarik perhatian. Ia adalah menu kombo, yang dipadankan dengan beberapa hidangan berat yang mengenyangkan. Ini termasuk kambing panggang, spaghetti bersos lada hitam serta salad.
“Menu ini boleh dijamu dua ke tiga orang, memang berbaloi,” katanya.
Pada masa sama, turut terhidang adalah sejenis menu yang sangat berlemak dan kaya rasa keju, iaitu Ayam Cheese Tumpah.
Sama seperti hidangan kambing, menjamah Ayam Cheese Tumpah juga ternyata satu pengalaman menakjubkan. Isi ayam yang lembut berasap, saat sahaja masuk ke mulut, seraya membuatkan tekak seakan mahu menjerit kesedapan.
Apa tidaknya, rempah yang digunakan bersebati dengan elok bersama keju yang berjuntaian, sekali gus memberikan pengalaman bersantap ibarat di kayangan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya