Memberi percuma pada zaman segalanya berbayar - Utusan Malaysia

Memberi percuma pada zaman segalanya berbayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZAMAN sekarang boleh dikatakan serba serbi berbayar. Maklumlah dengan peningkatan segala barangan keperluan lebih-lebih lagi makanan. Hanya hujan yang turun. Lain-lain naik harga. Sebenarnya banyak faktor menjadi penyumbang kepada situasi hari ini.
Tetapi bukan itu yang mahu saya tuliskan dalam kolum Redah kali ini, sebaliknya ada yang lebih penting untuk kita fikirkan dan pelajari.
Dalam pada saat hampir semuanya mengejar materialistik dan mahu mengikut arus kemodenan, masih ada yang bertentangan arus pemikirannya.
Bagi Jah Awang Kenit, 39, dia mahu berbakti selagi mana yang boleh walaupun bukan daripada segi wang ringgit semata-mata.
Menerusi Darul Jariyah iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan kira-kira tujuh tahun lalu, dia menyalurkan bantuan dan bertindak sebagai sebuah badan kebajikan.
Katanya, banyak keperluan asas terutama melibatkan makanan seperti telur, beras dan minyak masak telah diberikan kepada mereka yang memerlukan terutama fakir miskin sepanjang ditubuhkan.
Menceritakan detik penubuhan Darul Jariyah, Jah berkata, dia melihat banyak pihak di sekelilingnya memerlukan bantuan pada masa itu.
“Saya tengok mereka dalam keadaan sangat memerlukan. Kemudian saya terfikir mengapa tidak saya usahakan sesuatu? Pada masa itu pula bukan hanya individu sahaja yang perlukan bantuan, tetapi turut melibatkan pusat tahfiz, rumah anak yatim dan pelbagai lagi,” ceritanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Sejak itu, dia cuba mengumpul barangan dan turut membuka ruang kepada orang ramai sama-sama bersedekah. Rumahnya pula dijadikan sebagai pusat pengumpulan dan pemberian barangan keperluan kepada penerima.
Namun selepas beberapa tahun dengan cara sedia ada, dia kini tidak hanya memberikan barangan semata-mata, tetapi mewujudkan sebuah tempat pembangunan sukan sunnah antaranya sukan berkuda, memanah dan memanah berkuda.
Apa yang menarik, semuanya percuma tanpa apa-apa bayaran. Kalau dikira kos untuk makanan dan segala macam hal berkaitan kuda sahaja sudah mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Ada syarat bagi mereka yang mahu menyertai aktiviti di Darul Jariyah mesti bersama-sama melakukan khidmat sukarelawan. Malah kita galakkan juga kalau ada yang mahu memberi sumbangan wang ringgit untuk memperluaskan lagi aktiviti di sini,” jelasnya.
Tetapi dia tahu segalanya tidak mustahil dengan pertolongan Allah SWT dan niatnya hanya mahu mengembangkan sukan sunnah Rasulullah SAW.
Katanya, perbelanjaan turut diperoleh menerusi sumbangan orang ramai terutama mereka yang pernah berlatih di situ.

Bagaimanapun, dia juga tidak terlepas berdepan cabaran sepanjang menjalankan kerja kebajikan.
“Antara cabaran melakukan kerja kebajikan sudah tentu dana kerana kami tidak dibantu secara tetap. Justeru kita agihkan mengikut jumlah sumbangan bagi memastikan bantuan sentiasa ada bagi yang memerlukan,” terangnya.
Selain itu, dia turut menguruskan kem motivasi yang turut diberikan secara percuma untuk melahirkan lebih ramai pelajar berketerampilan dan mempunyai akhlak tinggi demi agama dan bangsa.
“Alhamdulillah, kita pun sudah kerap mengadakan kem cuti sekolah. Cuma ada beberapa kelengkapan lagi yang perlu ditambah,” ujarnya.
Saya yakin apa yang dibuat oleh Jah mampu kekal dan terus berkembang. Saya kagum kerana di saat orang lain lebih memikirkan tentang untung dan rugi, ada insan yang tidak kisah mengorbankan masa dan tenaga serta wang.
Sebab itu penting untuk kita sentiasa menyokong apa yang dilakukan olehnya dan membuktikan bahawa perbuatan memberi itu lebih baik daripada menerima. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya