;MELAKA 15 Mac Selepas deretan kekalahan akhirnya Melaka FC berjaya meraih kemenangan apabila menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat semalam.
Pemain gantian skuad Sang Kancil, Che Rashid Che Halim muncul hero apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-65 selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.
Kemenangan buat Melaka FC bagaimanapun tidak banyak mengubah kedudukan pasukan itu masih menghuni tangga ke-12 Liga Super manakala TRW pula di tempat ke-11.
Seawal minit kelima Melaka FC membuat kejutan apabila membuka tirai jaringan pertama menerusi G. Durrkeswaran.
Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Ahmad Zulhadi Dzulkifli apabila Durrkeswaran berada pada posisi off-said menerusi semakan video bantuan pengadil (VAR).
Namun kejutan awal tuan rumah tidak melemahkan pasukan pelawat apabila pada minit ke-12 pemain importnya, Enzo Nicolas meledakkan jaringan pertama mengamamkan seketika pemain tuah rumah.
Gol awal TRW itu menyedarkan pemain Melaka FC bangkit menggandakan asakan namun sukar menembusi benteng pertahanan lawan.
Bagaimanapun seminit sebelum rehat pemain import Melaka FC dari Mesir, Ahmed Samsaldin berjaya menyamakan kedudukan 1-1.
Gol tercipta apabila berlaku keadaan kelam kabut di depan pintu gol TRW, Ahmed tangkas menyepak masuk menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.
Pada minit ke-65, Che Rashid Che Halim menjaringkan gol kedua tuan rumah mengutip bola muntah dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol KRW dan mudah menyepak masuk.










