Aidilfitri disambut sebagai hari kemenangan selepas sebulan berpuasa serta menjadi medan mengeratkan silaturahim melalui amalan ziarah dan rumah terbuka. Pelbagai juadah tradisional seperti ketupat, rendang, lemang dan biskut raya turut memeriahkan sambutan.
Namun, di sebalik kemeriahan ini, aspek keselamatan makanan tidak boleh dipandang ringan. Penyediaan makanan dalam jumlah besar serta pendedahan pada suhu bilik melebihi empat jam boleh meningkatkan risiko pencemaran makanan.
Jika tidak dikendalikan dengan baik, keadaan ini boleh menyebabkan keracunan makanan yang menjejaskan kesihatan ahli keluarga dan tetamu.
LIMA KUNCI KESELAMATAN MAKANAN
Amalkan lima kunci keselamatan makanan yang digariskan oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa penyediaan juadah hari raya bagi mengurangkan risiko makanan cepat rosak dan tidak selamat dimakan.

Pertama: Kekalkan kebersihan
Cuci tangan sebelum dan selepas mengendalikan makanan. Pastikan juga peralatan memasak dan persekitaran dapur berada dalam keadaan bersih.
Kedua: Asingkan makanan mentah dan makanan masak
Gunakan papan pemotong, pisau serta bekas yang berasingan bagi makanan mentah seperti ayam atau daging bagi mengelakkan pencemaran silang kepada makanan yang telah dimasak.
Ketiga: Masak dengan sempurna
Pastikan hidangan yang khususnya berasaskan ayam, daging, telur dan makanan laut perlu dimasak dengan sempurna.
Keempat: Simpan makanan pada suhu selamat
Makanan panas perlu dikekalkan pada suhu melebihi 60°C, manakala makanan sejuk hendaklah disimpan pada suhu di bawah 5°C.
Kelima: Gunakan air bersih dan bahan mentah yang selamat
Pilih bahan mentah yang segar serta gunakan air yang bersih ketika membasuh dan menyediakan makanan.
TIP MASAK RENDANG DENGAN SELAMAT, BERSIH
Rendang daging atau ayam merupakan antara hidangan paling popular ketika Aidilfitri. Antara langkah yang boleh diamalkan bagi memastikan rendang yang dimasak selamat dimakan adalah:
Pilih bahan mentah yang segar
Pastikan daging atau ayam yang digunakan tidak berlendir, tidak berbau dan berada dalam keadaan segar.
Nyahbeku dengan cara yang betul
Jika menggunakan daging atau ayam beku, bahan tersebut hendaklah dinyahbekukan menggunakan kaedah yang selamat seperti di bawah air yang mengalir, disimpan di dalam peti dingin (chiller) sebelum digunakan atau menggunakan fungsi nyahbeku (defrost) dalam ketuhar gelombang mikro (microwave).
Cuci tangan selepas mengendalikan daging mentah
Langkah ini penting bagi mengelakkan bakteria daripada daging mentah mencemari bahan lain.
Masak sehingga sempurna
Pastikan daging dimasak sehingga empuk dan tidak berdarah bagi memastikan bakteria berbahaya dimusnahkan.
Gunakan santan segar
Santan mudah rosak dan boleh menjadi medium pembiakan bakteria sekiranya tidak disimpan dengan betul.
Simpan rendang dengan betul selepas dimasak
Rendang perlu disimpan dalam bekas bertutup. Jika dihidangkan pada suhu bilik, makanan tersebut perlu dimakan dalam tempoh empat jam.
BAKTERIA KEBAL
Satu daripada punca utama keracunan makanan ialah pencemaran silang, iaitu pemindahan bakteria daripada makanan mentah kepada makanan yang telah dimasak melalui tangan, peralatan dapur atau permukaan tercemar. Makanan yang dibiarkan pada suhu bilik terlalu lama juga berisiko kerana bakteria mudah membiak pada suhu antara 5°C hingga 60°C. Oleh itu, makanan yang telah dimasak tidak seharusnya dibiarkan pada suhu bilik melebihi empat jam.
Hidangan Aidilfitri sering menggunakan bahan mentah berisiko tinggi seperti ayam, daging, santan dan telur. Jika tidak segar atau tidak disimpan dengan betul bakteria seperti Salmonella spp. dan Escherichia coli boleh membiak dan menyebabkan keracunan makanan. Gejala termasuk sakit perut, cirit-birit, muntah dan demam.
Keracunan makanan juga boleh menyumbang kepada kerintangan antimikrob atau bakteria kebal, iaitu keadaan apabila bakteria menjadi kebal terhadap antibiotik sehingga rawatan menjadi lebih sukar.
Kini semakin ramai pengguna membeli juadah raya siap dimasak seperti lemang, rendang dan biskut raya. Oleh itu, pengguna disaran mengamalkan konsep ‘perhati dan pilih’ dengan menilai kebersihan premis serta cara makanan dikendalikan. Amalkan juga konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum menikmati makanan bagi memastikan ia masih selamat dimakan.
Keselamatan makanan ialah tanggungjawab bersama. Dengan pengendalian makanan yang selamat, risiko keracunan makanan dapat dikurangkan dan sambutan Aidilfitri dapat diraikan dengan lebih selamat dan sejahtera.
Penulis adalah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan & Kualiti Makanan), Kementerian Kesihatan Malaysia.










