Ramai yang hanya membincangkan influenza sebagai penyakit yang menjejaskan kanak-kanak, namun hakikatnya, warga emas juga berisiko tinggi mengalami komplikasi serius akibat jangkitan ini.
Warga emas merangkumi sehingga 70 peratus kemasukan ke hospital berkaitan influenza dan 90 peratus daripada kematian berkaitan influenza.
Pengerusi Malaysian Influenza Working Group (MIWG), Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, influenza bukar sekadar jangkitan ringan terhadap golongan berusia.
“Influenza boleh mencetuskan komplikasi serius termasuk pneumonia, serangan jantung dan strok.
“Bagi yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung, jangkitan influenza boleh memburukkan lagi keadaan sedia ada dan mengancam nyawa,” katanya.

Justeru, sempena Hari Warga Emas Sedunia yang disambut setiap Oktober, warga emas disaran mendapatkan suntikan vaksin influenza terutamanya dengan jangkaan peningkatan kes influenza pada musim cuti hujung tahun.
Tindakan mudah ini mampu mengurangkan risiko penyakit serius, kemasukan ke hospital dan kematian.
Lebih-lebih lagi, Program Khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyediakan vaksinasi influenza percuma untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik (tertakluk kepada ketersediaan) di klinik kesihatan (KK).
SUKAR DIKESAN
Setiap tahun, ribuan warga emas di seluruh dunia dimasukkan ke hospital akibat influenza dan sebahagian daripadanya kehilangan keupayaan fizikal atau nyawa hanya kerana menganggap selesema bermusim ini tidak berbahaya.
Lebih membimbangkan, simptom influenza dalam kalangan warga emas sering kali tidak jelas dan mudah disalah anggap sebagai tanda penuaan biasa.

Pakar Perunding Geriatik, Prof. Dr. Tan Maw Pin berkata, selain demam dan batuk, pesakit warga emas mungkin hanya menunjukkan gejala seperti pening, kekeliruan atau delirium.
“Apabila gejala sebenar dikenal pasti, mereka biasanya sudah dimasukkan ke hospital dengan komplikasi serius,” katanya.
Selain ancaman kesihatan, influenza juga memberi kesan besar terhadap kualiti hidup warga emas.
Pesakit yang dimasukkan ke hospital atau perlu berehat lama di atas katil sering mengalami kehilangan kekuatan otot dan keupayaan bergerak.
Lebih membimbangkan. kemerosotan itu kadangkala tidak dapat dipulihkan.
“Akibatnya, mereka sering mengalami kemurungan dan kehilangan rasa berdikari.
“Pada masa yang sama, keluarga turut berdepan beban kewangan yang berat, bukan sahaja daripada kos rawatan hospital tetapi juga kehilangan pendapatan apabila penjaga perlu mengambil cuti kerja,” ujarnya.
KURANGKAN RISIKO
Vaksin influenza digunakan secara selamat selama lebih 70 tahun untuk melindungi tubuh daripada virus tersebut.
Pihak berkuasa kesihatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Centers for Disease Control and Prevention (CDC) dan KKM mengesyorkan suntikan tahunan bagi mengurangkan penyakit teruk serta
mencegah komplikasi serius influenza yang boleh mengakibatkan kemasukan ke hospital atau kematian.
Kajian menunjukkan vaksinasi dalam kalangan warga emas dapat mengurangkan risiko komplikasi berkaitan influenza seperti pneumonia, serangan jantung dan strok.
Penyelidikan terkini juga menunjukkan suntikan influenza dapat mengurangkan risiko demensia dalam kalangan warga emas, terutama apabila vaksinasi dilakukan secara tahunan.
Prof. Dr. Zamberi berkata, vaksin tahunan diperlukan bagi memastikan tubuh sentiasa bersedia melawan strain baharu yang sedang beredar memandangkan virus influenza berubah dari semasa ke semasa.
“Walaupun telah divaksin tahun lalu, anda tetap perlu mendapatkan suntikan baharu setiap tahun untuk kekal dilindungi.
“Vaksinasi tahunan kekal sebagai salah satu cara paling berkesan untuk membantu warga emas mengekalkan kesihatan, berdikari dan kualiti hidup mereka,” tambahnya.
Justeru, golongan berusia disaran memanfaatkan peluang vaksinasi percuma yang disediakan KKM selagi stok masih ada.
“Sekiranya stok percuma habis, jangan risau. Klinik pengamal perubatan am di seluruh negara turut menawarkan vaksin influenza pada kadar bayaran yang berpatutan.
“Jangan tunggu sehingga terlambat, cegah sebelum terkena,” ujarnya.










