Sengsara kena kayap

Sengsara kena kayap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS mengalami sakit gigi geraham, tiba-tiba pipinya dinaiki ruam berupa gelembung-gelembung air. 

Gelembung air itu kemudian merebak ke hidung dan dahi dalam masa singkat, lantas menyebabkan sebelah penglihatannya ‘hilang’ seketika. 

Paling memeritkan apabila ia disusuli dengan rasa mencucukcucuk dan panas terbakar di bahagian kanan wajahnya yang terlibat. 

“Sebulan saya menanggung kesakitan dan kesengsaraan itu tanpa mengetahui ‘ruam’ tersebut adalah kayap. 

Kipas dan penyaman udara pun tidak mampu menyejukkan muka yang rasa ‘terbakar’ selain mata kanan yang tertutup,” kata bekas penghidap kayap, Rabiatul Adawiyah Zakaria, 37, ketika ditemui dalam majlis pelancaran vaksin kayap Shingrix baru-baru ini. 

Turut hadir Naib Presiden dan Pengurus Besar GSK Malaysia dan Brunei, Ruxandra Nastasa di samping Pengarah Perubatan Negaranya, Dr. Alap Gandhi. 

Biarpun kayap atau herpes zoster lebih mudah menyerang warga emas, namun wanita ini disahkan menghidapnya di usia semuda 19 tahun. 

 

MUKA BERPARUT 

Akibat kejadian itu, Rabiatul Adawiyah terpaksa menangguhkan satu semester pengajian di samping berdepan masalah kurang keyakinan diri selama hampir lima tahun akibat parut di wajahnya. 

Setelah 18 tahun berlalu, Rabiatul Adawiyah mengakui masih diselubungi rasa takut jika penyakit itu berulang buat kali kedua. 

“Zaman dulu, masyarakat kurang kesedaran dan pendedahan tentang penyakit kayap, sampaikan ada yang menyangka saya terkena buatan orang. 

“Tetapi, sekarang sudah banyak maklumat-maklumat di media sosial dan rawatan segera dapat melegakan simptom serta memendekkan tempoh penyakit,” katanya. 

BUDAK KENA KAYAP 

Kayap merupakan penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh virus varicella zoster. Ia merupakan virus sama yang mengakibatkan cacar air atau chicken pox. 

Ini bermakna jika seseorang pernah mengalami penyakit itu, besar kemungkinan individu tersebut boleh mendapat kayap jika sistem pertahanan tubuhnya lemah. 

Pakar perunding dermatologi dari Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Peter Ch’ng Wee Beng berkata, kayap lazimnya berlaku pada bahagian muka, dada dan punggung pesakit yang berusia 50 tahun ke atas. 

Namun, situasi makin berubah apabila kanak-kanak seawal sembilan tahun turut dikesan mengalaminya. 

Justeru, beliau mengakui yang trend kayap di Malaysia kini di tahap membimbangkan. 

“Saya tiada data mengenainya tetapi berdasarkan pengalaman saya dan rakan sekerja, jumlah kes yang dirawat meningkat dengan luar biasa selepas pandemik Covid-19,” ujarnya. 

Justeru, Peter mengingatkan masyarakat agar tidak memandang ringan penyakit kayap kerana ia boleh menyebabkan buta di samping komplikasi pada saraf dan organ dalaman pesakit. 

Jelasnya, pengambilan vaksin kayap yang julung kali diperkenalkan di Malaysia dapat membantu mencegah penyakit tersebut. 

Vaksin tersebut direka bagi dewasa berumur 50 tahun ke atas dan 18 tahun ke atas yang berisiko tinggi. 

KAYAP BAWA MAUT MITOS 

Usah terpedaya dengan dakwaan kononnya kayap ular yang bersambung boleh menyebabkan seseorang meninggal dunia. 

Kata Peter, ia hanyalah mitos semata-mata kerana kayap tidak akan melilit keseluruhan badan pesakit, sebaliknya berlaku pada bahagian kiri atau kanan tubuh sahaja. 

“Segelintir orang Melayu dan Cina masih percaya tentang mitos kayap ular bersambung itu hingga sanggup berjumpa pengamal perubatan tradisional demi untuk sembuh. 

“Sebenarnya, kalau pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan, gelembung-gelembung air itu boleh kering sendiri dalam tempoh kira-kira dua minggu jika tiada jangkitan kuman sekunder,” katanya. 

 

VAKSIN TERBAHARU 

Sementara itu, mengulas mengenai vaksin Shingrix, Alap berkata, ia direka bagi dewasa berumur 50 tahun ke atas dan 18 tahun ke atas yang berisiko tinggi. 

Katanya, vaksin itu diberikan secara intramuskular dalam dua dos dalam tempoh enam bulan. Malah, kajian mendapati keberkesanan vaksin itu adalah sehingga 97 peratus dalam kalangan dewasa berumur 50 tahun ke atas, sepanjang tempoh susulan kira-kira tiga tahun. 

“Pengenalan vaksin ini diharap dapat membantu mengurangkan beban penyakit kayap yang dialami masyarakat di Malaysia,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×