Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 baru-baru ini, mendedahkan 65 peratus wanita berusia 20 tahun ke atas tidak menjalani ujian pap smear bagi mengesan tanda-tanda kanser serviks sejak tiga tahun lalu.
Saringan pap smear sangat penting bagi mengesan awal sel kanser di pangkal rahim atau tanda-tanda tidak normal lain bagi meningkatkan peluang sembuh tanpa perlu membuang sistem peranakan.
Pakar Perunding Sakit Puan KPJ Tawakkal, Dr. Patricia Lim Su-Lyn berkata, kanser serviks atau kanser pangkal rahim adalah kanser nombor empat yang berlaku dalam kalangan wanita selain kanser payudara dan kanser lain.

“Ia juga adalah kanser nombor dua dalam kalangan wanita berusia 15 hingga 44 tahun. Setiap tahun lebih kurang 1,740 wanita didiagnos kanser serviks dan seramai 991 meninggal dunia.
“Justeru amat penting menjalani ujian saringan pap smear. Ujian ini perlu dijalankan dalam tempoh setahun atau tiga tahun sekali terutama bagi wanita berisiko tinggi seperti ada sejarah keluarga mengalami kanser serviks,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah beliau, dalam prosedur pap smear, doktor akan menjalankan biopsi iaitu prosedur mengambil sampel atau calitan dinding pangkal rahim. Sample itu kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk diuji.
Sekiranya hasil pemeriksaan mendapati ada ketumbuhan atau apabila saringan pap smear menandakan penemuan tidak normal, pemeriksaan lanjut akan dijalankan.
“Semua wanita tidak terkecuali daripada risiko kanser serviks terutama yang sudah berkahwin atau pernah melakukan hubungan intim sama ada usia muda atau warga emas walaupun selepas menopaus,” katanya.
Gejala kanser serviks
Kanser serviks adalah ketumbuhan yang tidak terkawal di pangkal rahim yang boleh merebak ke organ berdekatan seperti rahim, vagina, ovari dan menyebabkan kematian kepada wanita.
Dr. Su- Lyn berkata, kanser boleh berlaku 70 peratus disebabkan jangkitan virus Human Papiloma Virus (HPV) yang dibawa daripada individu ke individu lain melalui hubungan seks.
HPV dijangkiti melalui hubungan seksual seperti seks faraj, dubur dan oral. Ia juga boleh berlaku jika virus HPV bersentuhan dengan selaput lendir atau cairan tubuh seperti mulut, bibir, dubur dan bahagian alat kelamin.
“Simptom awal kanser ini adalah berlaku pendarahan selepas mengadakan hubungan intim, keputihan luar biasa atau bercampur darah serta pendarahan di luar kitaran haid.
“Wanita yang berisiko tinggi boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser serviks. Sebagai contoh seseorang yang melakukan hubungan seks rambang atau mempunyai ramai pasangan,” katanya.
Tambah Dr. Su-Lyn, mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser serviks juga berisiko tinggi mengalami kanser ini seperti ibu atau adik- beradik.
Justeru beliau menekankan supaya wanita atau remaja perempuan yang berisiko supaya menjalani saringan kanser serviks atau pap smear pada masa yang ditetapkan.
Kanser serviks adalah satu-satunya kanser yang boleh dicegah dengan suntikan vaksin Human Papiloma Virus (HPV). Vaksin ini berpotensi mencegah lebih daripada 90 peratus kanser yang disebabkan oleh HPV.
Vaksin HPV berfungsi dengan cara sama dengan vaksin lain. Ia merangsang sistem imun badan untuk membangunkan antibodi melawan HPV. Badan kita boleh mengenali HPV dan melawannya sebelum ia menyerang sel yang sihat.
Dr. Su-Lyn berkata, secara khususnya, vaksin ini diberikan kepada kanak-kanak berusia 9 sehingga 14 tahun tetapi wanita yang lebih dewasa atau berkahwin dan mempunyai anak juga boleh mendapatkan vaksin ini.
Vaksinasi HPV secara suntikan diberikan di lengan sebanyak tiga kali bagi mencegah kanser serviks. Suntikan pertama berdasarkan tarikh pelalian pertama diberi di sekolah atau klinik. Suntikan kedua pula diambil satu bulan selepas suntikan pertama dan suntikan ketiga diambil selepas enam bulan dari suntikan pertama.
Rawatan
Dr. Su-Lyn berkata, rawatan kanser serviks bergantung kepada setiap individu dan peringkat kanser dialami. Peringkat awal boleh membabitkan pembedahan organ reproduktif dengan radioterapi serta kemoterapi atau mana-mana diperlukan.
“Pembuangan rahim dan organ reproduktif akan memandulkan seseorang wanita. Namun, organ ini boleh dikekalkan atau diselamatkan menerusi perbincangan dengan pakar bagi mencari kaedah lain.
Apakah ujian Pap Smear?
Ujian Papanicolaou atau ujian Pap Smear adalah pemeriksaan sel secara mikroskopik di mana sel diambil dari serviks rahim. Pap ialah versi yang dipendekkan daripada nama doktor yang menghasilkan ujian saringan ini.
Pengalaman dan prosedur bagi ujian pap smear adalah tidak rumit dan tidak menyakitkan.
Masa terbaik untuk menjalani Pap smear adalah apabila wanita tidak menstruasi.
Dua hari sebelum ujian, elakkan perkara berikut kerana ia boleh menjejaskan keputusan ujian:
Persetubuhan
’Douches’
Ubat vagina (kecuali seperti yang diarahkan oleh doktor)
Kontrasepsi vagina
Wanita selepas menopaus juga perlu menjalani ujian Pap smear seperti biasa.
Wanita berumur lebih daripada 65 tahun yang mempunyai tiga atau lebih ujian Pap smear yang normal berturut-turut dan tiada keputusan ujian Pap smear yang tidak normal dalam tempoh 10 tahun lalu boleh memilih untuk berhenti menjalani ujian Pap smear.
Faktor yang meningkatkan risiko mendapat jangkitan HPV adalah:
Aktif seks pada usia yang muda
Mempunyai ramai pasangan seks
Hubungan seksual dengan lelaki yang mempunyai ramai pasangan seks
Hubungan seksual dengan lelaki yang ada ketuat di penis.
Sistem imun yang lemah- seperti jangkitan Virus Human Immunodeficiciency (HIV)
Herpes – jangkitan virus herpes pada bahagian kemaluan berisiko tinggi mendapat barah pangkal rahim
Ubat Diethylstilboestrol (DES) – anak perempuan kepada ibu yang mengambil ubat yang bertujuan mengelak keguguran semasa hamil berisiko mendapat barah pangkal rahim
Merokok – meningkatkan risiko barah pangkal rahim jenis barah sel squamous sebanyak empat kali ganda.
Sejarah kanser serviks atau displasia serviks (pra-kanser)
“Kebiasaannya jika wanita itu masih muda dan sudah berkahwin serta belum mempunyai anak, perkara ini akan dipertimbangkan bagi membolehkan mereka hamil dan dapat zuriat.” katanya.
Sekiranya kanser di peringkat akhir, organ itu mungkin tidak boleh diselamatkan. Sebaliknya jika masih di peringkat awal, kemungkinan ada cara untuk menyelamatkan organ ini. Pesakit perlu berbincang dengan pakar kesuburan untuk merancang dan mempertahankan kebolehan reproduktif selepas atau sebelum rawatan kanser.
Kanser serviks yang didiagnos pada peringkat awal mempunyai peluang tinggi untuk sembuh sepenuhnya. Bagaimanapun, jika seseorang didiagnos pada peringkat lewat dan kanser sudah merebak, maka ia sukar sembuh sepenuhnya.
Kematian akibat kanser serviks sudah berkurangan sejak bertahun-tahun lagi kerana keberkesanan pencegahan, pemeriksaan, dan pengesanan awal melalui ujian pap smear yang dijalankan. –UTUSAN










