Minum air mencukupi elak kelesuan haba

Minum air mencukupi elak kelesuan haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cuaca panas yang melanda negara sekarang dijangka berterusan sehingga bulan depan dengan suhu mencecah antara 35 hingga 38 darjah celcius.

Berpuasa dalam cuaca panas akan membuatkan kita mudah letih dan haus kerana cepat kehilangan air daripada tubuh. Justeru walaupun berpuasa, amat penting untuk kita memastikan minum air mencukupi untuk kekal bertenaga sepanjang hari.

Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Seremban 2,

DR. Nur Aishah Abdul Latiff

berkata, keperluan air berbeza mengikut umur, berat badan serta aktiviti yang dilakukan sepanjang hari.

“Aktiviti berat yang mengeluarkan tenaga dan peluh menyebabkan keperluan air lebih tinggi. Keperluan air akan menurun mengikut umur tetapi meningkat mengikut berat badan seseorang.

“Menurut Garis Panduan Diet Malaysia, keperluan air kosong secara purata adalah enam sehingga lapan gelas sehari. Berdasarkan Cadangan Pengambilan Nutrien (RNI), lelaki dewasa memerlukan lapan ke hampir 10 gelas air sehari dan wanita memerlukan tujuh hingga lapan gelas air sehari,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Remaja lelaki berusia 10 hingga 18 tahun pula memerlukan lapan hingga 11 ½ gelas air sehari manakala remaja perempuan berusia 10 sehingga 18 tahun, memerlukan lapan ke sembilan gelas air.

Jumlah air yang dinyatakan oleh RNI mengambil kira air kosong serta air berperisa seperti jus, teh atau kopi. Sekiranya cuaca panas atau anda banyak berpeluh, tambahkan dua gelas air kosong dalam jumlah keperluan harian anda.

“Bagi memastikan air mencukupi ketika berpuasa adalah dengan membahagikan air yang perlu diminum pada waktu sahur dan selepas waktu berbuka.

“Secara purata semua yang berpuasa memerlukan lapan gelas air kosong bersamaan 250ml x lapan gelas iaitu dua liter air. Secara peribadi, saya akan membahagikan air kepada dua pertiga untuk diminum selepas berbuka dan satu pertiga ketika bersahur,” katanya.

Tambah Dr. Nur Aishah, air boleh disukat menggunakan botol air kerana kadang-kadang berisiko terlupa jumlah penggunaan gelas pada waktu berkenaan.

Pastikan air diminum semasa bersahur, berbuka, selepas berbuka, antara solat Tarawih dan sebelum tidur.

Namun begitu, nasihat untuk keperluan air ini tertakluk kepada keadaan anda. Sekiranya anda pesakit jantung lemah atau mempunyai kegagalan buah pinggang, keperluan air berbeza dan perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan.

“Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap anak-anak terutama yang baru-baru cuba belajar berpuasa. Pastikan anak minum air mencukupi semasa berbuka dan bersahur.

“Ini kerana badan mereka banyak menggunakan air dan keperluan air berkenaan meningkat apabila ditambah dengan keadaan suhu yang tinggi,” katanya.

AIR KOSONG

Ramai yang memilih minuman dan makanan yang dikatakan boleh ‘menyejukkan badan’ ketika berbuka bagi mengurangkan suhu dalam badan.

Bagaimanapun, Dr. Nur Aishah berkata, air minuman yang terbaik untuk diminum adalah air kosong. Bagaimanapun, katanya tiada makanan yang khusus untuk menyejukkan badan.

“Di dalam bidang perubatan, tiada kajian jitu yang mengatakan jenis makanan atau minuman yang boleh menyejukkan badan. Hal ini kerana setiap bendalir atau makanan yang diambil akan mengikut suhu badan kita sendiri apabila dihadam.

“Namun begitu, di dalam konteks mencegah dehidrasi, makanan yang tinggi kandungan air seperti tembikai, tembikai susu, timun, tomato, seleri dan banyak lagi sumber buah dan sayur sayuran,”katanya.

Bagi mengurangkan rasa cepat dahaga ketika berpuasa, sebaiknya pastikan juga anda mengurangkan pengambilan minuman berkafein seperti teh, kopi dan coklat. Ini kerana kafein mempunyai kesan diuretik yang menyebabkan anda lebih kerap membuang air kecil.

Tanda bahaya akibat cuaca panas

Badan manusia diciptakan untuk beradaptasi dengan cuaca. Namun begitu, setiap perkara ada hadnya.

Dr. Nur Aishah berkata, suhu panas boleh menyebabkan masalah kesihatan sekiranya tidak dibendung.

“Pendedahan badan manusia kepada suhu tinggi pada jangka masa lama boleh menyebabkan badan tidak dapat menangani perubahan suhu dan menyebabkan kelesuan haba.

“Sekiranya kelesuan haba tidak dibendung, manusia boleh mendapat keadaan yanglebih serius dikenali sebagai strok haba yang boleh membawa kematian,” katanya.

Justeru, perhatikan sebarang tanda-tanda awal terutama ke atas anak dan ahli keluarga yang berkemungkinan mengalami kesan cuaca panas.

Suhu badan mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius adalah tanda-tanda awal yang menunjukkan kelesuan haba. Ini disusuli dengan degupan jantung yang laju, berpeluh, badan terasa letih dan lesu, kepala terasa pening atau sakit dan terasa loya atau muntah.

Sekiranya badan masih terdedah dengan suhu tinggi, mangsa boleh mengalami strok baba yang boleh mengancam nyawa.

“Tanda-tanda bahaya yang perlu kita kenali, antaranya suhu badan melebihi 40 darjah Celsius, pertuturan menjadi tidak jelas, pesakit nampak keliru atau tidak dapat fokus, mengalami sawan, tahap kesedaran semakin kurang sehingga pitam dan tidak berpeluh.

“Sekiranya ada ahli keluarga atau rakan menunjukkan tanda-tanda ini, segera dapatkan bantuan dengan menghubungi talian kecemasan 999 dan bawa mereka ke kawasan lebih sejuk,” katanya.

Gejala kelesuan haba termasuk:

Sakit kepala
 Loya
 Pening
 Kelemahan
 Kerengsaan
 Dahaga
 Banyak berpeluh
 Suhu badan meningkat
 Kurang buang air kecil

Bantuan  mangsa kelesuan haba:

 Bawa pesakit ke tempat redup dan baringkan.
 Pastikan kaki pesakit lebih tinggi dari paras kepala.
 Hubungi pasukan kesihatan atau ambulans.
 Longgarkan pakaian mangsa serta basahkan pakaian mangsa.
 Sejukkan bahagian badan yang peka kepada suhu seperti leher, ketiak dan pangkal paha dengan tuala basah atau ais.
 Hindari daripada memberikan minuman atau makanan kepada pesakit sekiranya berada di dalam keadaan separuh sedar kerana terdapat risko tersedak. Ini akan menyebabkan air dan makanan termasuk di rongga pernafasan.

Cara merawat kelesuan haba

Kelesuan haba adalah tindak balas tubuh ke atas kehilangan air dan garam lazimnya akibat banyak berpeluh ketika cuaca panas.

Golongan warga emas, pesakit tekanan darah tinggi, kanak-kanak dan mereka yang bekerja dalam cuaca panas lebih berisiko mengalami kelesuan haba.

Dr. Nur Aishah berkata, berbeza dengan pesakit strok haba, pesakit yang mengalami kelesuan haba masih sedar.

“Oleh itu, mereka dibenarkan untuk minum air. Cara rawatan lain hampir sama dengan rawatan strok haba. Sekiranya pesakit beransur pulih, pesakit boleh dipantau dan dirawat di rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN