Mudah lebam pada badan petanda kanser hati

Mudah lebam pada badan petanda kanser hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kanser hati adalah penyakit yang dikenali sebagai pembunuh senyap kerana ia tidak menimbulkan sebarang petanda atau simptom.

Apabila kanser hati dikesan, ia sebenarnya sudah berada di peringkat lewat atau peringkat akhir iaitu tahap tiga atau empat. Justeru amat penting untuk menjalani ujian saringan bagi mengesan kanser di tahap awal.

Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khairul Najmi Muhammad Nawawi berkata, pesakit biasanya akan berasa letih, tidak lalu makan dan susut berat makan.

“Gejala paling ketara adalah kulit atau mata menjadi kekuningan. Ini disebabkan ada komplikasi hati yang berparut. Risiko tinggi kalau hati sudah berparut atau dikenali sebagai sirosis hati.

“Petanda hati berparut adalah kuning, senang lebam, perut busung, kaki bengkak atau muntah darah. Senang lebam atau senang berdarah di mana-mana bahagian badan.

“Kalau orang biasa tersentuh sikit pun tiada apa-apa tapi pesakit akan terus luka,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dr. Khairul Najmi ditemui pada Hari Kesedaran Kanser Hati Bersempena Hari Kanser Sedunia 2024, baru-baru ini.

Katanya, fungsi hati adalah untuk mengawal kecairan darah. Jadi, apabila fungsi hati tidak normal, darah akan menjadi lebih cair dan senang berdarah jika luka.

Tambahnya, kebanyakan kanser hati dikesan pada tahap tiga dan empat iaitu tahap lewat menyebabkan peluang pesakit sembuh tidak sebaik kanser hati yang dikesan di peringkat awal.

“Bagaimanapun, barah yang di tahap lewat masih mempunyai rawatan walaupun bukan sepenuhnya. Sebaliknya, ia berupaya mengurangkan penyebaran kanser kepada peringkat lebih tinggi.

“Kanser hati bukan sejenis barah yang berkembang secara drastik dan boleh membawa maut dengan cepat. Ia bukan seperti kanser perut atau esofagus yang boleh menyebabkan kematian dalam tempoh terdekat,” katanya.

Oleh kerana kanser hati tiada petanda, penting untuk orang ramai terutama golongan berisiko menjalani saringan.

Faktor risiko kanser hati adalah virus Hepatitis  B dan C. Hepatitis B dan C juga tiada simptom dan sukar dikesan melainkan menjalani ujian darah.

“Mereka yang berisiko tinggi perlu menjalani ujian saringan kanser hati termasuk saringan hepatitis B dan C. Mereka yang mempunyai  sejarah pemindahan darah sebelum 1994 juga perlu menjalani ujian saringan ini.

“Ini kerana sebelum tahun itu, tiada ujian saringan darah dilakukan bagi mengesan  virus di dalam darah.

“Mereka yang mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi seperti homoseks, pengambilan dadah secara suntikan juga perlu menjalani ujian saringan,” terangnya.

Hati berlemak dan berparut

Dr. Khairul Najmi berkata, masalah berat badan berlebihan dan obesiti juga boleh meningkatkan risiko kanser hati.

“Obesiti boleh membawa kepada penyakit hati berlemak atau MAFLD (Metabolic Dysfunction Associated Fatty Liver Disease).  Ia menyebabkan radang dan parut kepada hati. Ini menyebabkan lagi tinggi risiko mendapat kanser.

“Lemak menyebabkan sel hati mengalami keradangan. Kadang-kadang, hati menjadi bengkak, rasa sakit dan bacaan hati tinggi. Ini adalah tanda-tanda keradangan hati. Jika berlarutan lima hingga enam tahun, hati cuba menjadi baik dan menyebabkan terjadi parut,” terangnya.

Parut yang semakin lama semakin banyak pada hati menyebabkan tiada lagi sel normal seterusnya menyebabkan fungsi hati gagal dan menimbulkan komplikasi lain termasuk kanser hati.

Rawatan kanser hati

Kanser hati boleh dirawat tetapi kejayaan rawatan bergantung kepada tahap kanser yang dialami.

Rawatan bukan saja membabitkan pakar gastroenterologi dan hepatologi tetapi juga memerlukan pandangan pakar bedah yang terbabit dalam pembedahan hati, kepakaran pasukan radiologiradiologi dan onkologi.

“Sekiranya saiz kanser kecil, ia masih boleh dibuang. Kalau hati sudah keras dan ada ketumbuhan kecil, mungkin boleh membuat pemindahan hati.

“Sekiranya saiz sel agak besar sedikit, mungkin pakar radiologi akan membuat rawatan memasukkan ubat kemoterapi terus kepada kanser itu bagi menghalang bekalan darah ke kawasan barah,” katanya.

Sebaliknya, sekiranya kanser sudah agak teruk, pesakit perlu makan ubat kemoterapi untuk mengawal perkembangan barah. Malangnya, jika kanser sudah melarat ke paru-paru dan bahagian organ lain,  mungkin tiada rawatan yang berkesan yang boleh dilakukan.

“Matlamat rawatan kanser yang dikesan pada tahap satu, adalah untuk menyembuhkan pesakit. Kebarangkalian untuk sembuh masih ada tetapi ia perlu dipantau kerana terdapat kebarangkalian untuk kanser berulang.

“Matlamat rawatan bagi kanser tahap lewat adalah untuk melambatkan perkembangan kanser sehingga enam bulan lagi. Jika sel kanser membesar, rawatan lain akan diberikan,” katanya.

Tambah Dr. Khairul Najmi, kadar kelangsungan hidup pesakit adalah antara tiga hingga empat tahun walaupun ada barah yang tidak boleh sembuh langsung.

Kos rawatan kanser hati juga agak mahal. Sebagai contoh, rawatan radiologi, harganya mungkin lebih RM15,000. Ubat kemoterapi juga boleh mencecah RM1,000 untuk sebulan.

Langkah pencegahan kanser hati berlaku akibat gaya hidup kurang sihat sehingga menyebabkan seseorang itu mengalami obesiti.

Justeru, amat penting untuk mengubah kepada gaya hidup lebih sihat kerana ia mampu mencegah berlaku obesiti yang menyebabkan hati berlemak dan akhirnya mendapat kanser hati.

“Sebaiknya kurangkan memakan makanan yang tinggi kalori, makanan segera, makanan berlemak, berminyak dan paling penting perlu dikurangkan adalah gula.

“Oleh kerana obesiti adalah faktor risiko utama kanser hati, hendak atau tidak hendak, anda perlu mengurangkan berat badan untuk mencegah kanser ini daripada berlaku,” katanya.

Langkah pencegahan lain adalah dengan melakukan ujian saringan Hepatitis B dan C. Mereka yang berisiko dan berusia 40 tahun ke atas, digalakkan membuat ujian saringan sekurang-kurangan sekali bagi mengesan virus hepatitis B dan C.

Di Malaysia, kira-kira, 48,639 kes kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser dilaporkan pada 2020 (Globocan, 2020). Lebih membimbangkan, pakar meramalkan kanser di Malaysia akan meningkat dua kali ganda menjelang 2040.

Kanser hati adalah salah satu daripada lima kanser paling lazim di Malaysia iaitu kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru dan kanser nasofaring.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN