Jalan sesak boleh jejaskan kesihatan? - Utusan Malaysia

Jalan sesak boleh jejaskan kesihatan?

Jumlah pendaftaran kenderaan baharu terus meningkat lebih tinggi berbanding dengan sistem pengangkutan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesesakan lalu lintas sememangnya tidak dapat dielakkan apatah lagi dengan pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya. Berhadapan dengan keadaan ini boleh membuatkan tahap tekanan atau stres anda melonjak.
Cuba bayangkan setiap hari kita berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, tanpa disedari anda mula stres dan simptom tersebut muncul.
Menurut Pakar Perubatan Dalaman KPJ Johor Specialist Hospital, Datuk Dr. M Singaravelo, sikap kebanyakan orang boleh berubah 360 darjah semasa di dalam trafik jam.
“Seorang penyabar dan lemah lembut pun ketika kesesakan lalu lintas boleh bertukar jika stres dan tertekan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.
Tambah Dr M. Singaravelo, pemandu akan berasa tertekan dengan pemandu dan penumpang lain yang menggunakan jalan raya sehingga menjadikan pemikiran lebih negatif dan mudah marah. Selain itu, mereka akan berasa sakit hati, sakit kepala dan sakit jiwa dengan cara pemanduan sebilangan kecil pemandu bermasalah ini.
“Rasa geram, marah dan tertekan akan memberi salah satu faktor besar kepada pengguna jalan raya untuk melenting. Stres berlarutan atau kronik akan meningkatkan risiko penyakit jantung.
“Ia merangsang penyakit tekanan darah, dinding saluran darah menebal, merangsang mendapan lemak dan sel darah beku pada dinding saluran darah,” jelasnya.
Tambah beliau, dari segi fisiologi, perubahan pada kelajuan nafas dan denyutan jantung pemandu yang sedang marah sukar dikawal. Perasaan marah yang membuak-buak sukar dikawal sehingga membawa kepada tindak balas yang lebih agresif terhadap semua perkara.
Akibatnya, ketidakseimbangan perasaan ini menjadi faktor paling besar yang boleh menjurus kepada sakit jantung atau strok.
“Selain degupan jantung cepat dan badan banyak berpeluh, tanda amaran stress yang lain termasuk loya, bernafas kencang, cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil, sejuk kaki dan tangan, sakit-sakit badan yang tidak diketahui puncanya, tidak dapat menumpukan perhatian dan gangguan tidur.
“Cuba bayangkan setiap hari kita berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, tanpa disedari anda mula stres dan simptom-simptom tersebut muncul. Orang ramai juga bakal berhadapan dengan pembunuh senyap atau kematian mengejut akibat serangan jantung,” ujarnya.
Tidak ketinggalan, kesesakan jalan raya ini dapat mendorong kepada berlakunya penyakit fizikal. Kesesakan jalan raya yang serius boleh menyebabkan pencemaran paru-paru, sesak nafas dan pening kepala.
“Bunyi bising enjin kenderaan boleh menyebabkan kerosakan pendengaran dan masalah gangguan konsentrasi. Selain itu, kesesakan jalan raya juga boleh menimbulkan ketegangan psikologi.
“Ini terjadi kerana para pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan masa lama di jalan raya. Kajian yang dijalankan oleh pakar psikologi menunjukkan masyarakat bandar sering terdedah kepada isu ketegangan akibat kesesakan jalan raya, pencemaran alam sekitar dan bunyi bising,” katanya.
Dalam pada itu, kesesakan lalu lintas mengakibatkan kepekatan karbon monoksida meningkat di udara dan ini menyebabkan iskemia kepada otot jantung yang kekurangan oksigen. Hasilnya, stres atau tekanan perasaan menyebabkan kadar denyutan jantung meningkat. Malah, kekecewaan dan kerapkali berlaku keganasan di jalan raya kesan dari hilang kawalan emosi dan tercetusnya rasa marah dan kemurungan.
“Selain itu, hormon adrenalin yang meningkat menyebabkan kadar degupan jantung turut bertambah, dinding jantung menebal serta merangsang peningkatan insulin yang boleh menebalkan dinding saluran darah.
“Tidak ketinggalan peningkatan hormon CRP dan homosistein semasa stres turut menyumbang kepada risiko sakit jantung koronari dan serangan jantung. Selain itu, tekanan luar biasa yang berpanjangan mempunyai kesan-kesan psikologi negatif dan menjejaskan fungsi jantung, sistem penghadaman dan rangka otot,” katanya.
Justeru, isu ini perlu ditangani dengan kaedah yang terbaik oleh semua pihak bagi mengelakkan ia menjadi gejala tidak terkawal.

Cara mengatasi atau mengurangkan tekanan:
– Tidur diperlukan untuk pertumbuhan semula tisu badan dan minda. Kurang tidur menyebabkan tekanan pada sistem imun tubuh dan membuat anda lebih terdedah kepada penyakit. Jika tidur anda tidak baik secara konsisten, anda akan bertemu dengan keresahan dan keletihan. Tarik nafas dan cuba untuk mengawal perasaan dengan mendengar muzik lembut.
– Kurangkan pergerakan atau berdiam diri untuk mengurangkan degupan jantung.
– Meregangkan otot-otot anda dengan melakukan senaman seperti menggerakkan jari kaki, jari tangan dan lain-lain pergerakan yang boleh menenangkan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya