Tiada cara elak Katarak? - Utusan Malaysia

Tiada cara elak Katarak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rata-rata dari kita sering mendengar tentang penyakit katarak, iaitu penyakit yang menyerang mata. Namun, pernahkah kita terfikir, apa sebenarnya penyakit ini? Dan pernahkah terfikir, jika ia menyerang, apa langkah yang perlu diambil si pesakit?

LATAR BELAKANG
Menurut Pakar Oftamologi dari Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dr. Rasdi Abdul Rashid, kehadiran katarak menyebabkan gangguan kemasukan cahaya ke dalam mata dan seterusnya ke retina.
“Ini menyebabkan pesakit yang mempunyai masalah katarak akan mengadu silau, penglihatan kabur, penglihatan berkabus, tompok hitam, sukar bezakan warna dan penglihatan berganda di sebelah mata,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

KATARAK SENIL
Beliau berkata, terdapat beberapa jenis katarak yang boleh dikenalpasti seperti katarak senil, katarak kongenital, katarak sekunder dan katarak traumatik.
“Majoriti adalah katarak senil, disebabkan oleh peningkatan usia yang mana ia mula menyerang seawal umur 50 tahun. Katarak jenis ini disebabkan oleh faktor keturunan dan perubahan protein di dalam kanta selari dengan peningkatan usia. Gangguan dan perubahan protein dalam kanta ini menyebabkan kanta menjadi keruh dan tidak lagi lutsinar,” katanya.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata, katarak kongenital pula menyerang bayi yang baru dilahirkan dan juga kanak-kanak.
Pun begitu, beliau menjelaskan majoriti penyebab katarak jenis ini tidak diketahui dan antara sebab-sebab yang boleh dikenalpasti adalah penyakit genetik seperti down’s syndrome, faktor ibu mengandung seperti malnutrisi, jangkitan kuman, keracunan ubat-ubatan atau radiasi, faktor janin itu sendiri seperti kekurangan oksigen, penyakit metabolik dan kecederaan semasa lahir.
KATARAK SEKUNDER, TRAUMATIK
Katanya, katarak sekunder pun merujuk keadaan anak mata menjadi keruh disebabkan oleh masalah penyakit mata lain.
“Antara penyebabnya adalah inflamasi di dalam mata seperti uveitis, endophthalmitis dan ulcer kornea yang kronik. Selain itu, penyakit glaukoma, retinitis pigmentosa, dan kanser mata seperti retinoblastoma dan melanoma juga boleh menyebabkan pembentukan katarak jenis sekunder ini,” katanya.
Sementara itu, jelasnya lagi, katarak jenis traumatik pula berlaku akibat kecederaan mekanikal dan fizikal.
“Antara kecederaan yang boleh berlaku adalah, kecederaan disebabkan benda tumpul atau benda tajam, terkena bahan kimia terutamanya yang beralkali, renjatan elektrik, panahan petir dan pancaran radiasi,” katanya.

RAWATAN
Rasdi berkata, pada peringkat awal pembentukan katarak, rawatan awal adalah dengan menggunakan cermin mata sekiranya penglihatan masih boleh dipulihkan lagi dengan cermin mata.
“Pun begitu, kaedah rawatan utama untuk masalah katarak adalah dengan cara pembedahan. Pembedahan disarankan bila cermin mata tidak lagi boleh berfungsi untuk memperbaiki penglihatan, katarak sudah mengganggu aktiviti harian pesakit atau katarak menghalang pemeriksaan dan rawatan penyakit mata seperti retinopati diabetik.
“Pembedahan katarak adalah apabila kanta atau lensa yang sudah menjadi keruh itu akan dkeluarkan dan digantikan dengan kanta tiruan yang lebih jernih atau lutsinar,” katanya.

TIPS
Menjelaskan soal tips penjagaan mata, beliau berkata, kebanyakan penyakit katarak adalah disebabkan oleh faktor usia dan sehingga kini tiada lagi kaedah yang boleh mencegah daripada berlakunya penyakit ini.
“Bagaima­napun, terdapat beberapa tips atau cara penjagaan mata yang boleh diamalkan bagi mengurangkan risiko atau menghindar dari terkena penyakit katarak. Di antaranya adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang terutamanya yang mengandungi vitamin A,C,E, dan antioksida.
“Seterusnya kita perlu melakukan senaman secara berkala, mengamalkan cara hidup sihat dan menghindari daripada rokok. Selain itu, pesakit diabetes perlu mengawal paras gula sepanjang masa dan kita juga perlu mengelakkan daripada mengambil ubat-ubatan yang mengandungi steroids tanpa nasihat daripada doktor,” jelasnya.

Laman kesihatan webmd.com dalam rencana “How Can I Prevent Cataracts?”, menjelaskan beberapa tips elak katarak:

Makan banyak buah kaya vitamin C seperti:
 Buah sitrus (oren, grapefruit, limau nipis)
 Tomato
 Lada benggala merah dan hijau

Makan bahan kaya vitamin E:
 Minyak bunga matahari
 Minyak bunga saff (saff flower oil)
 Makanan kaya germa gandum (wheat germ)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya