Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan beban penyakit tifoid di peringkat global adalah antara 11-21 juta kes dengan 128,000 hingga 161,000 kematian setiap tahun.
Kebanyakan kes berlaku di Asia Tenggara atau Selatan (SEA) dan sub-Sahara Afrika, menjejaskan kanak-kanak dan orang dewasa.
Kemunculan komuniti penghantar dan penyedia makanan bagaikan cendawan tumbuh lepas hujan, akibat pandemik turut menimbulkan kerisauan mengenai status kesihatan mereka.
Pakar Perunding Kesihatan Awam dan Doktor Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak berkata, menjaga aspek kebersihan sahaja belum cukup sebagai langkah keselamatan.

Sebaliknya mereka yang mengendalikan makanan, disaran mendapatkan vaksin penyakit tifoid atau demam kepialu dalam menjamin keselamatan makanan disediakan.
Katanya, ia berikutan penyakit cegahan vaksin (VPD) adalah penyakit akut yang sangat mudah merebak dan berjangkit.
“Kepelbagaian perniagaan makanan dari rumah secara dalam talian yang muncul hari ini, memang menarik, bagaimanapun, ramai pengendali makanan kali pertama, tidak sedar mengenai bahaya dan keseriusan penyakit tifoid,” katanya melancarkan Kempen Pengendali Sihat, Makanan Selamat baru-baru ini.
Ia dianjurkan bersama Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia AOEMM dan Kumpulan Facebook (FB) CARING MOMS.
Dr. Marzuki berkata, pengendali makanan dari rumah perlu sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka melindungi diri sendiri dan pelanggan dengan mengambil langkah proaktif mendapatkan vaksin tifoid. Ini terutamanya menjelang Ramadan, di mana makanan menjadi suatu keperluan utama.
KEBERSIHAN
Kempen berkenaan memberi tumpuan terhadap keselamatan dan kebersihan dalam penyediaan serta penghantaran makanan menerusi vaksin terhadap penyakit tifoid.
Kempen berbentuk program pendidikan kesihatan ini dianjurkan berikutan kemunculan ramai perniagaan penghantaran makanan dari rumah dalam tempoh yang singkat akibat pandemik Covid-19.
Kempen itu juga adalah berdasarkan kepada Akta Makanan 1983 Malaysia yang melindungi masyarakat daripada risiko kesihatan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, serta
Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang menegaskan peraturan berkaitan dengan pengendali makanan.
Vaksinasi terhadap tifoid adalah satu syarat mengikut undang-undang bagi perniagaan makanan dari rumah kerana ia menguatkan keyakinan pelanggan bahawa makanan yang mereka beli, telah disediakan di bawah terma selamat dan bersih.
LANGKAH PERLU
Antara langkah perlu diambil ialah:
* Mendaftar melalui sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM) di bawah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia.
* Mematuhi keperluan kebersihan asas dalam penyediaan, pengendalian dan pengedaran makanan seperti yang diajar dalam kursus Pengendali Makanan BKKM.
* Berjumpa dengan pegawai perubatan atau Majlis Perbandaran yang ada Unit Suntikan Tifoid.
* Dapatkan vaksin. Jika sebelum ini anda telah mendapatkan vaksin terhadap Tifoid, vaksinasi semula diperlukan setiap tiga tahun.

TIFOID
» Tifoid adalah jangkitan sistemik disebabkan oleh bakteria S. Typhi (Salmonella Typhi) yang cukup virulen dan invasif.
» Berjangkit melalui pengambilan makanan atau minuman tercemar.
» Antara gejala ialah demam, keletihan, sakit kepala, loya, sakit perut, sembelit, cirit-birit dan ruam.
» Sebanyak 1 ke 4% pesakit dijangkiti S. Typhi adalah pembawa tanpa gejala atau simptom (asimptomatik) kronik.
» Pembawa asimptomatik boleh bertindak sebagai takungan kerana mereka membawa bakteria S. Typhi dalam saluran usus dan pundi hempedu mereka selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun tanpa menunjukkan sebarang gejala.
» 10 hingga 15% pesakit mengalami demam tifoid teruk dengan simptom seperti demam panas berterusan, ketidakselesaan perut, keletihan dan sakit kepala.
» Komplikasi paling biasa tetapi mengancam nyawa ialah penumonia, pendarahan dan kebocoran usus.










