Keselamatan rawatan gigi sepanjang pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

Keselamatan rawatan gigi sepanjang pandemik Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh: Dr. Muhd Firdaus Che Musa dan Dr. Yang Rafidah Hassan

Laksana burung diam dalam sangkar, kita umpama orang yang terikat hidupnya.

Penularan virus Covid-19 berserta wujudnya mutasi baharu berterusan menekan jiwa, sosial dan ekonomi rakyat.

Amalan pergigian turut terkesan dan perubahan dapat dilihat melalui pengurusan pesakit.

Pandemik ini telah mempengaruhi keyakinan pesakit untuk mendapatkan rawatan pergigian dengan menunda lawatan atau temu janji di klinik.

Ini memburukkan lagi status dan jurang kesihatan mulut dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan kurang bernasib baik.

Persoalan sering berlegar di fikiran, adakah rawatan pergigian sewaktu pandemik ini selamat dan apakah tindakan penimbal yang diambil oleh pengamal pergigian untuk merungkaikan kekhuatiran, seterusnya menggalakkan mereka hadir ke klinik gigi?

Dalam memastikan pengurusan pesakit di tahap optimum, terdapat keperluan peningkatan tahap pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang boleh meningkatkan lagi profesionalisme pegawai pergigian melalui

CDP

Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) agar perkhidmatan terbaik, selamat dan terkini dapat diberikan.

Pendekatan ini amat penting kerana bidang pergigian turut berkembang hasil penyelidikan dan penemuan terkini, termasuklah kesan Covid-19 kepada perkhidmatan pergigian.

Minimum mata CPD juga diperlukan sebagai syarat untuk memperbaharui lesen amalan tahunan di bawah Akta Pergigian-2018.

Sehingga kini, doktor gigi telah merawat pesakit selama hampir setahun sejak wabak ini mula merebak di Malaysia.

Kejujuran pesakit adalah perlu sebelum melakukan kunjungan ke klinik gigi. – GAMBAR HIASAN

Walaupun ada beberapa pesakit atau staf dijangkiti Covid-19 dari persekitaran sosial mereka ataupun dikesan ketika mendapatkan rawatan, namun sehingga hujung 2020, tiada bukti jangkitan penyakit bawaan udara mahupun Covid-19 dilaporkan berlaku dan berpunca daripada aktiviti klinikal di fasiliti pergigian seperti dibentangkan oleh jurnal perubatan terkemuka di dunia, The Lancet.

Ini kerana doktor gigi bersifat selektif dalam pemilihan pesakit dan jenis rawatan yang diutamakan, serta membuat persediaan rapi untuk rawatan berdasarkan risiko dan lokaliti pesakit berpandukan garis panduan operasi standard (SOP) terkini yang dinilai teliti oleh pakar-pakar penyelengaraan jangkitan-silang.

Dengan mematuhi SOP disyorkan, rawatan pergigian adalah selamat. Namun begitu, pemantauan berskala besar dan berterusan diperlukan untuk terus meyakinkan rakyat.

Penyaringan awal status pesakit melalui telefon, dalam talian ataupun di kaunter pendaftaran sebelum temujanji disarankan untuk mengelak ancaman jangkitan.

Mana-mana pesakit disyaki atau mempunyai gejala Covid-19 ataupun dikategori sebagai kontak rapat mesti ditangguhkan rawatannya dan dirujuk kepada pihak berkaitan.

PENCEGAHAN AWAL

Walaupun kejujuran pesakit mendedahkan status mereka boleh dipertikaikan, kebanyakan pengamal pergigian mengambil langkah pencegahan awal dan beranggapan setiap orang adalah berisiko tinggi untuk menjangkiti orang lain.

Pengesanan langsung kadar risiko pesakit menggunakan MySejahtera, aplikasi mudah alih dikembangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta lokaliti klinik turut membantu sebagai petunjuk awal untuk bersiapsiaga.

Kaedah secara maya menggunakan foto, video dan panggilan video juga boleh dipertimbangkan sebelum mereka datang ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. Namun, ia memerlukan penyeliaan berwajib kerana mempunyai risiko undang-undang kelak.

Kita seringkali disarankan antaranya menjarakkan diri sejauh 1-meter kerana percikan partikel mengandungi virus Covid-19 boleh tersebar ketika batuk atau bersin.

Amalan ini bagaimanapun agak sukar dilakukan di klinik pergigian dengan keadaan pesakit yang perlu membuka mulut sepanjang rawatan. Disebabkan itu, ketika fasa awal pandemik, hanya kes-kes kecemasan dan prosedur yang tidak melibatkan titisan air dibenarkan berdasarkan panduan dikeluarkan oleh Program Kesihatan Pergigian (PKP) dan Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) untuk memastikan rawatan adalah selamat.

Akibatnya, akses kepada rawatan pergigian termasuklah kecemasan adalah terhad disebabkan kekurangan pengetahuan, kemahiran ataupun peralatan perlindungan (PPE) menyebabkan ramai pesakit menderita kesakitan dan mengalami jangkitan mulut yang akut, lalu menyebabkan mereka memilih rawatan alternatif.

Di kala pandemik kembali terkawal, rawatan pergigian mula diperluaskan secara berperingkat. Menjelang 2021, pandemik kembali tidak terkawal, walaubagaimanapun fasiliti pergigian mempunyai sedikit kelebihan dari segi pengalaman, pengetahuan dan persediaan fasiliti/peralatan untuk menghadapi gelombang terbaru ini.

Karies gigi atau gigi berlubang boleh berlaku pada semua lapisan masyarakat bergantung kepada faktor seperti diet, penjagaan gigi, fluorida dan selainnya.

Pelanjutan penundaan lawatan pergigian bukan sahaja memburukkan lagi gigi berlubang tetapi turut mengundang pelbagai masalah pergigian lain. Disebabkan itu, sokongan fasiliti swasta amat diperlukan sejajar dengan peningkatan fungsi dan kualiti yang memberangsangkan dari sektor ini untuk menampung kekurangan fasiliti kerajaan ketika ini.

 

Kaedah maya membantu doktor mengesan situasi pesakit. – GAMBAR HIASAN

Di sebalik perspektif negatif Covid-19, virus ini bagaimanapun membuka ruang refleksi untuk pembuat polisi dan pengamal pergigian untuk melakukan reformasi secara radikal iaitu:

Penstrukturan fasiliti dan perkhidmatan pergigian kerajaan yang berkualiti perlu dioptimumkan sebaik mungkin, termasuklah sektor swasta.

Skim pelindungan insurans pergigian harus dipertimbangkan secara serius dan holistik.

Pegawai pergigian yang juga pasukan bersama di baris hadapan dalam menyaring Covid-19 harus diberikan penghargaan sewajarnya kerana mereka juga aset penting negara.

Peningkatan kemahiran dan ilmu berkaitan jangkitan-silang harus diperluaskan ke staf sokongan pergigian dan bukan pergigian kerana mereka ternyata mampu bekerjasama dalam satu pasukan.

Terakhir dan yang terpenting, perkhidmatan pergigian pada masa hadapan harus memberi lebih fokus kepada pencegahan.

Secara konklusi, pendekatan kes selektif beserta persediaan rapi berdasarkan SOP mampu menjamin keselamatan dan kesejahteraan pesakit menerima rawatan dengan selamat.

Di samping itu, pengamal pergigian perlu sentiasa kemaskini pengetahuan dan kemahiran mereka.

Dengan ini, rakyat diberi peluang meletakkan kembali keutamaan mereka kepada kesihatan am dan pergigian memandangkan pandemik ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat walaupun dengan kehadiran vaksin.

  • Dr. Muhd Firdaus Che Musa ialah Pensyarah dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Kulliyyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Pahang manakala Dr. Yang Rafidah Hassan ialah Pakar Pergigian Ortodontik di Sungai Petani, Kedah dan Pensyarah Sambilan di Penang International Dental College, Pulau Pinang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN