Covid-19 adalah virus bersaiz kecil dan boleh tersebar melalui titisan kecil atau mikroskopik di udara. Oleh yang demikian, seseorang individu mudah dijangkiti Covid-19 apabila titisan kecil tersebut dihidu oleh pesakit. Virus tersebut akan masuk ke saluran pernafasan (hidung, tekak dan mulut) dan seterusnya ke paru-paru.
Semasa pandemik itu melanda negara pada Mac 2020, ramai pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) mengesyorkan untuk mengelakkan penggunaan alat endoskopik hidung dan tekak.
Sebabnya khuatir virus Covid-19 boleh tersebar dan menjangkiti pakar bedah ENT dan pekerja kesihatan yang berada di sekeliling.
Ada juga pesakit Covid-19 yang dijangkiti virus tersebut tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala. Ini menyebabkan diagnos masalah hidung dan tekak menjadi sukar kerana prosedur endoskopik hidung dan tekak sering kali perlu dijalankan untuk melihat dan menilai keadaan di dalam hidung dan tekak.
SESUAI DIKOMERSIALKAN
Jabatan Otorinolaringologi-Pembedahan Kepala dan Leher atau ENT bersama Jabatan Kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berganding bahu untuk mencipta satu alat yang bernama Face Mask Valve.
Alat ini adalah hasil ciptaan pensyarah dan Pakar Bedah ENT, Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Dr. Hardip Singh Gendeh, Ketua Jabatan dan Pakar Bedah Kanan ENT PPUKM, Prof. Dr. Salina Husain, pelajar sarjana ENT, PPUKM, Dr. Abdul Razak dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan UKM, Prof. Madya Dr. Zainuddin Sajuri.
Alat tersebut boleh dipasang pada topeng muka 3 ply atau 2 ply yang sedia ada. Alat ini bertujuan membolehkan pakar bedah ENT menjalankan prosedur endoskopik ke atas hidung dan tekak pesakit ENT. Ia sekali gus mengurangkan penyebaran aerosol atau titisan kecil daripada saluran pernafasan yang mungkin mempunyai partikel virus Covid-19
Alat tersebut adalah kecil dengan diameter dua sentimeter (sm). Ia mempunyai dua bahagian; bahagian luar dan bahagian dalam yang boleh dikepilkan bersama. Di tengah-tengah alat ini terdapat satu injap atau valve yang diperbuat daripada plastik yang mempunyai garisan berlubang yang dihasilkan melalui potongan laser yang nipis.
Garisan berlubang ini membolehkan bahagian injap yang diperbuat daripada plastik tersebut memeluk endoskop yang dimasukkan melalui injap. Ini mengurangkan saiz lubang semasa skop dimasukkan melalui injap tersebut menerusi topeng muka yang dipakai oleh pesakit.
Justeru, alat ini digunakan bersama topeng muka di klinik, sekali gus mengurangkan risiko penyebaran aerosol Covid-19 ke persekitaran.

Alat ini dihasilkan daripada barangan buatan tempatan yang mudah didapati dengan harga yang berpatutan. Ia membolehkan klinik ENT dan prosedur endoskopik hidung dan tekak untuk berjalan seperti biasa semasa perintah kawalan pergerakan di Malaysia yang disebabkan oleh peningkatan kes Covid-19.
Selain itu, ciptaan ini boleh juga digunakan untuk pesakit yang mempunyai penyakit berjangkit lain (melalui titisan udara) seperti penyakit Tuberkulosis (TB) di mana bakteria Mycobacterium Tuberculosis (M. tubreculosis) boleh tersebar melalui titisan daripada saluran pernafasan.
Malah, ia boleh diubahsuai untuk digunakan oleh pakar perubatan gastroentrologi, pakar perubatan respiratori, pakar bius dan pakar bedah semasa menjalankan prosedur endoskopik perut (gastroscopy) and paru-paru (bronchoscopy) yang perlu dimasukkan melalui hidung atau mulut.
Oleh yang demikian, injap topeng muka untuk endoskopik hidung dan tekak ciptaan UKM ini boleh dihasilkan secara komersial untuk kegunaan industri perubatan awam dan swasta di Malaysia.
- Dr. Hardip Singh Gendeh ialah Pensyarah dan Pakar Bedah ENT di Pusat Perubatan UKM










